Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nurul Jihadah Hussain, disenarai antara 100 wanita cemerlang dalam teknologi di S'pura

Dalam tempoh hanya empat tahun sahaja - lebih 1,000 wanita sudahpun meraih manfaat daripada program-program teknologi yang dianjurkan The Codette Project.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila Cik Nurul Jihadah Hussain memulakan The Codette Project pada 2015, beliau mahu mengupaya, menambah akses dan membuka peluang untuk kaum wanita Melayu/Islam dalam bidang teknologi.

Ini dilakukan menerusi pelbagai wadah termasuk bengkel-bengkel, program seperti Hackathon dan perkongsian naratif pengalaman dan kejayaan wanita dalam bidang teknologi.

Hari ini - dalam tempoh hanya empat tahun sahaja - lebih 1,000 wanita sudahpun meraih manfaat daripada program-program teknologi yang dianjurkan The Codette Project.

Pengasas The Codette Project, Nurul Jihadah Hussain. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pengasas The Codette Project, Nurul Jihadah Hussain. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Semasa BERITAmediacorp bertemu dengan Cik Nurul Jihadah di restoran Fika pada Selasa (8 Sept), beliau berkata sebanyak 80 peratus peserta yang mengikuti program-program anjuran pertubuhannya itu adalah wanita Melayu/Islam yang berusia antara 18 dengan 25 tahun.

"Lebih dari 1,000 wanita minoriti Islam terutamanya telah menyertai program-program kita. Program kita memang percuma. Kita tidak kenakan bayaran sesiapa peserta untuk semua program kita termasuk Hackathon yang kami telah diadakan," kata Cik Nurul Jihadah, 33 tahun.

Pengasas The Codette Project, Nurul Jihadah Hussain. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pengasas The Codette Project, Nurul Jihadah Hussain. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

HANYA 2 WANITA MELAYU/ISLAM DALAM SENARAI S100WIT

Tahun ini pula, badan bukan mencari untung itu memperkenalkan pula program Codette Cares yang memberi dana, biasiswa atau bimbingan untuk menggalak pelajar dan peniaga mencapai kejayaan menerusi inisiatif-inisiatif berunsur teknologi.

Inisiatif terbaru itu dimulakan sebagai menyokong mereka yang mungkin terjejas dek pandemik COVID-19.

Hasil daripada wawasan dan usaha-usaha tersebutlah, Cik Nurul Jihadah dijulang dalam senarai sulung 100 Wanita Dalam Teknologi Singapura (Singapore 100 Women In Tech) atau SG100WIT.

100 wanita cemerlang dalam bidang teknologi. (Gambar: sgwomenintech.sg)

(Gambar: sgwomenintech.sg)

Beliau hanya seorang daripada dua wanita Melayu/Islam yang ada dalam senarai itu, yang mengiktiraf kecemerlangan ketokohan golongan wanita dalam bidang teknologi. Mereka dipilih daripada lebih 850 pencalonan.

Seorang lagi wanita Melayu yang diiktiraf dalam senarai itu ialah Cik Liyana Dhamirah - Pengasas Virtual Assistant Singapore.

Inisiatif yang dimulakan sejak tahun 2014 itu membantu para klien mengendalikan operasi perniagaan sekali gus mengurangkan kos-kos tetap dengan hanya membayar khidmat-khidmat yang diperlukan sahaja.

EKOSISTEM WANITA TIMBA KEMAHIRAN TEKNOLOGI

Bagi Cik Nurul Jihadah, kaum wanita perlu saling mendukung dan bekerjasama untuk mengecap kejayaan. Itu jugalah yang beliau gerakkan menerusi The Codette Project.

Menurut Cik Nurul Jihadah, beliau mahu mewujudkan sebuah ekosistem yang membolehkan kaum wanita mempelajari, menimba kemahiran teknologi dalam sekitaran yang membangkitkan keyakinan mereka untuk memanfaatkannya.

Inilah yang disifatkan oleh Cik Nurul Jihadah sebagai kejayaan dalam teknologi.

"Bila kita ada contoh kejayaan dalam kalangan wanita minoriti Muslim dalam bidang teknologi, barulah mereka (kaum wanita) dapat lihat bahawa ini sesuatu yang mampu mereka lakukan, mampu capai dan mereka tahu ada orang di luar sana untuk mereka dampingi untuk mendapatkan sokongan," kata Cik Nurul Jihadah kepada BERITAmediacorp.

(Gambar: The Codette Project)

(Gambar: The Codette Project)

HACKATHON UNTUK WANITA

Setelah lima tahun menggerakkan pelbagai inisiatif di bawah The Codette Project, Cik Nurul Jihadah juga berkongsi dua pencapaian yang membakar semangat beliau.

Pertama adalah program hackathon yang menjadi satu-satunya program seupama itu yang melibatkan 100 peratus wanita.

"Kita yang pertama lakukannya. Mula-mula ada juga kekangan kerana orang tidak biasa melihat wanita menyertai hackathon. Apalagi wanita Muslim minoriti.

"Maka kami lakukannya dan wujudkan suasana yang membuat kaum wanita berasa selesa untuk datang. Dua tahun kami adakan hackathon dan ticket bagi kedua-duanya habis dijual!" cerita Cik Nurul Jihadah.

(Gambar: The Codette Project)

(Gambar: The Codette Project)

Suasana yang dimaksudkan beliau adalah makanan halal, bilik solat, bilik menyusu badan dan juga khidmat menjaga anak-anak sedang ibu-ibu 'belajar' tentang teknologi.

DAPAT SOKONGAN DANA DARIPADA FACEBOOK, ZENDESK

Kedua ialah dari segi dana yang tidak disangka-sangka.

The Codette project merupakan antara dua warga Singapura yang pernah menerima dana sehingga AS$50,000 (S$69,000) daripada Facebook pada 2018 sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan syarikat gergasi media sosial itu.

"Ia sesuatu yang membuatkan saya dan pasukan saya rasa emosi kerana ketika itu kami kumpulan yang kecil sahaja Namun Facebook mahu memberi dana kepada kami," kata beliau.

Satu lagi dana yang datang ibarat duit turun dari langit, adalah dana yang ditawarkan oleh syarikat sofwe perkhidmatan pelanggan, ZenDesk, baru-baru ini.

"Saya ingatkan ia satu penipuan. Bila dihubungi wakil syarikat itu, saya terus menangis. Maklumlah, di tengah-tengah COVID-19 ini kita tidak mahu meminta dana kerana ada masyarakat lebih perlukannya.

(Gambar: The Codette Project)

(Gambar: The Codette Project)

Waktu itu, menurut Cik Nurul Jihadah, The Codette Project malah mengeluarkan wang untuk membiayai inisiatif Codette Cares dan berdepan dana yang berkurangan.

"Tiba-tiba sahaja ZenDesk hubungi kami nak beri dana. Kita tidak mengenali mereka pun sebelum ini. Dana yang mereka beri itu lebih daripada cukup untuk membiayai program kami sekurang-kurangnya sehingga tahun depan," kongsi Cik Nurul Jihadah.

MAHU LEBIH RAMAI WANITA MUSLIM DALAM SENARAI

Yang jelas, ini bukanlah suatu projek yang mahukan hasil segera kerana perubahan kepada para peserta hanya dapat dilihat "setahun atau dua tahun kemudian".

"Dalam tempoh 5 tahun lalu, saya rasa sangat gembira atau bangga bila saya lihat peserta yang kami jumpa mungkin pada tahun 2015, pada tahun 2016 atau 2017 yang sekarang ada perniagaan mereka sendiri dan untuk The Codette Project kami melihat sukses itu pada jangka masa yang panjang," tambah beliau.

(Gambar: The Codette Project)

(Gambar: The Codette Project)

Mengulas tentang namanya yang dijulang sebagai antara 100 wanita cemerlang dalam teknologi, Cik Nuru Jihadah melahirkan satu harapan yang tinggi.

"Saya harap masyarakat tidak melihat senarai ini sebagai sesuatu yang statik. Saya benar-benar ingin melihat senarai 100 yang seterusnya termasuk lebih ramai wanita Muslim minoriti yang saya tahu ada dalam kalangan masyarakat kita. Saya percaya mereka layak menerima kejayaan yang lebih lagi," kata Cik Nurul Jihadah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan