Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nurul 'Izzah, Aqil Nazhan, antara 3 pelajar terbaik GCE A Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah mencatat kelulusan 100 peratus bagi dua subjek H2 dan dua subjek H1 dalam peperiksaan GCE 'A' tahun ini.

Keputusan tersebut, yang diumumkan pada Jumaat (17 Feb), adalah lebih baik berbanding kelulusan 92.3 peratus yang dicatatnya tahun lalu.

Antara tiga pelajar cemerlang tahun ini ialah Nurul 'Izzah Zaini, 19 tahun.

'Izzah pernah muncul sebagai antara pelajar terbaik di sekolahnya dalam peperiksaan GCE 'O' dan PSLE.

Bagaimanapun, keputusan itu sesuatu yang tidak beliau duga kerana kerap dibelenggu perasaan negatif sewaktu membuat persiapan.

"Subjek-subjek yang saya duduki sangat banyak, tambahan pula dengan subjek-subjek dalam bahasa Arab yang saya ambil di sekolah. Jadi kepenatannya memang sesuatu yang tidak dapat saya elakkan," kongsi Izzah kepada BERITAmediacorp.

"Kepenatan itulah yang kadangkala akan membuat saya rasa ingin putus asa, rasa takut, rasa risau dan memang cabaran itulah yang terbesar," tambahnya.

CUBA JADI KAWAN, MURID, ANAK TERBAIK


(Gambar: MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah/Facebook)

Namun segala kebimbangan itu dapat diatasi berkat dorongan ibu bapa, guru-guru dan teman-temannya.

'Izzah meraih keputusan yang membanggakan, termasuk tiga gred 'A' untuk subjek-subjek Ukhrawi, dan gred 'B' bagi kertas H2 Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.

"Cara pembelajaran saya semuanya tidak adalah yang luar biasa. Saya rasa pelajar-pelajar lain pun ada yang bahkan lebih baik daripada saya," kata 'Izzah, adik bongsu kepada tiga orang abang.

"Tetapi antara pegangan yang selalu saya terapkan dalam diri saya ialah untuk mendapatkan restu dan berkat ibu bapa, guru-guru dan juga sahabat dan saya rasa sepanjang perjalanan persekolahan saya, saya cuba yang terbaik untuk menjadi seorang kawan yang baik, seorang murid yang baik, seorang anak yang baik," tambahnya.

INGIN JADI GURU

'Izzah ingin melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Al Quran dan Sunnah dan berharap dapat memenuhi cita-citanya untuk menjadi guru.

Beliau berminat untuk menjadi guru sejak kecil lagi.


'Izzah bersama guru dan seorang lagi pelajar terbaik Madrasah Wak Tanjong, Nurul Huda 

"Mengajar ini saya rasa seperti sebuah kerja yang sangat tinggi dan sangat mulia, tetapi kadangkala orang melihatnya sebagai biasa-biasa sahaja kerana banyak kerjaya lain yang lebih menarik dan lebih hebat," ujar 'Izzah.

"Tetapi mengajar sendiri adalah sesuatu yang saya ingin teroka dan ceburi kerana saya mendapat banyak inspirasi melihat guru-guru saya sendiri mengajar saya dan saya ingin menjadi seorang guru yang dapat meraih pengalaman seperti mereka."

SERING TERTEKAN BUAT PERSIAPAN ENGGAN PUTUS ASA


(Gambar: Khaulah Nur Mujahidah)

Seorang lagi pelajar yang muncul sebagai pelajar terbaik ialah Aqil Nazhan Ahmad Rifa'ai, 19 tahun.

Seperti 'Izzah, Aqil juga sering berasa tertekan dan hampir berputus asa dengan jumlah mata pelajaran yang banyak.

"Saya ada mengalami beberapa tekanan dan acap kali saya rasa saya ingin berputus asa. Memang terdapat beberapa hari di mana memang saya tidak dapat bangun pun dari katil kerana memang rasa sangat letih, sangat susah dan memang rasa ingin putus asa," kongsi Aqil kepada BERITAmediacorp.

Lantas, apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang pelajar terbaik, Aqil berasa syukur kerana segala usaha dan titik peluhnya "membuahkan hasil yang sangat memuaskan".

Aqil berjaya meraih dua gred 'A' untuk subjek-subjek Ukhrawi, dan dua gred 'A' bagi kertas H2 Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan H1 Matematik.

AQIL TIDAK LOKEK ILMU; RASA INI DAPAT BANTU SEMUA BERJAYA BERSAMA-SAMA

Ditanya apakah rahsia kejayaannya, ini jawapan Aqil:

"Saya selalu mengkaji di Internet dan saya cuba mencari maklumat-maklumat dan sumber-sumber pelajaran yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan saya.

Jadi saya rasa kalau kita tidak lokek ilmu, kita dapat berjaya bersama-sama dan kita pun dapat rasa puas dengan kejayaan kita."



Aqil merancang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) kerana sangat minat pada pengajian Melayu.

"Memang daripada peringkat sekolah menengah saya sudah sangat berminat dengan mata pelajaran Sastera Melayu dan apa yang membuat saya tertarik dengan pelajaran itu ialah isu-isu atau persoalan-persoalan yang diterokai dalam teks-teks yang dikaji untuk peperiksaan," ujar Aqil, yang mempunyai seorang kakak.

Selain Pengajian Melayu, Aqil juga berharap dapat meneroka ilmu dan bidang lain termasuk sosiologi dan falsafah apabila berada di universiti nanti.

"Insya-Allah selepas universiti, saya mempunyai beberapa pilihan. Mungkin saya ingin menjadi seorang guru dan sambung pengajian di Institut Pendidikan Nasional (NIE) selepas NUS ataupun saya menjadi seorang penterjemah," menurut Aqil.

Namun, pelajar itu juga berkongsi bahawa walau apa pun kerjaya yang diceburinya, beliau ingin menulis dan menerbitkan karya-karya yang dapat "membawa manfaat untuk masyarakat dan bangsa".

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan