Nurul Aini lancar jenama fesyen sopan Solulu Closet; pakaian laku habis dijual
Golongan wanita yang tinggi menggalah pasti sangat faham dengan dilema mencari pakaian yang menepati ketinggian mereka.
Pelakon dan pengacara Nurul Aini lancar jenama fesyen sopan untuk wanita tinggi sepertinya. (Gambar: Instagram/Sofian Roslan)
Kini sudah ada satu pilihan pakaian sopan dalam pasaran untuk golongan wanita tinggi.
Pada 28 Februari lalu, pelakon dan pengacara tempatan Nurul Aini 'melahirkan' jenama pakaian yang dipanggil Solulu Closet.
Semua pakaian keluaran Solulu Closet itu memang direka khas untuk wanita-wanita tinggi, seperti Nurul Aini yang tingginya 1.72m.
Koleksi pertama jenama itu termasuk set abaya (jubah) sutera, 'dress' panjang selain kaftan sifon, dengan harga antara S$59 dengan S$89.
Bercerita tentang jenamanya itu, Nurul berkata beliau memulakan koleksi tersebut kerana sering terpaksa memilih antara pakaian "sopan" dan "yang terletak dengan betul", lapor 8days.
"Mengapa tidak keduanya sekali? Di sini (Solulu Closet), anda akan dapat pakaian bergaya dan sopan yang sesuai dengan ketinggian anda tanpa mengorbankan keselesaan atau keyakinan," menurut beliau di laman jenama tersebut.
"Terus terang: Wanita tinggi layak memakai pakaian yang tidak kelihatan seolah-olah kita menggeledah almari adik kita," tambah beliau.
Pada hari pelancaran, suami Nurul, Sofian Roslan juga memuat naik catatan akaun Instagram beliau untuk meraihkan detik istimewa itu bersamanya.
"Kesungguhan dan dedikasi yang beliau tonjolkan untuk memulakan koleksi jenama pakaian sendiri - tidak kira masa, usaha dan cabaran yang perlu beliau harungi untuk merealisasikannya. Hari ini adalah harinya," tulis Sofian.
Dalam satu video yang dirakam 10 minit sebelum pelancaran jenama tersebut, Nurul dilihat mundar mandir dalam bilik, sambil berkata: "Saya sangat gementar."
Pelakon itu juga berkongsi bahawa beliau risau tentang penjualan koleksi pertamanya.
"Bagaimana kalau hanya ada dua pembelian?" katanya, sambil tertawa.
Namun, segala kebimbangan beliau hilang begitu sahaja kerana Solulu Closet menerima tempahan pertama tetap pukul 12.00 tengah hari, iaitu waktu laman jenama itu dilancarkan.
Semua pakaian habis dijual menjelang pukul 1.10 tengah hari, hanya sejam dan 10 minit selepas pelancaran, lapor 8days.
"Saya sangat bersyukur dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang," kata Nurul, yang dilihat menitiskan airmata.
Di hujung video, Nurul dan Sofian dilihan berpelukan sebagai meraikan kejayaan besar jenama tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.