Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nur’Aini Mohamad Yasli rangkul 2 pingat gangsa, 1 kilogram kurang daripada rekod peribadi

Atlit wanita Nur’Aini Mohamad Yasli berjaya meraih dua pingat gangsa dalam sukan angkat berat kategori berat badan bawah 50 kilogram di temasya Sukan Para ASEAN di Kemboja pada Ahad (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Nur’Aini Mohamad Yasli rangkul 2 pingat gangsa, 1 kilogram kurang daripada rekod peribadi

Nur'Aini Mohamad Yasli bersama dua pingat gangsa yang dirangkul semasa Sukan Para ASEAN 2023 (Gambar: Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC))

BERITAmediacorp: Atlit wanita Nur’Aini Mohamad Yasli berjaya meraih dua pingat gangsa dalam sukan angkat berat kategori berat badan bawah 50 kilogram di temasya Sukan Para ASEAN di Kemboja pada Ahad (4 Jun).

Dua kategori yang dipertaruhkan adalah kategori percubaan angkat berat terbaik dan jumlah keseluruhan bagi tiga percubaan.

Bagi percubaan angkat berat terbaik, Nur'Aini berjaya mengangkat berat 80 kilogram pada percubaan terakhirnya sekali gus menduduki tempat ketiga.

Pingat emas dimenangi atlit Vietnam yang berjaya mengangkat berat 95 kilogram manakala atlit dari Thailand merangkul pingat perak selepas mengangkat berat 90 kilogram.

Nur'Aini berkata, "Untuk percubaan pertama, saya mengangkat berat 75 kilogram. Itu sudah biasa seperti yang saya lakukan di dalam latihan tetapi percubaan angkat berat 80 kilogram, saya gementar sedikit. Daya mental terjejas. Untuk percubaan kedua, saya rasa takut sedikit dan saya rasa begitulah bagaimana percubaan itu gagal."

"Percubaan ketiga, saya mengingatkan diri saya untuk bertenang dan fokus kepada proses dan bukan hasilnya dan secara mental, saya ingat kembali langkah-langkah yang perlu saya lakukan dan bukannya memikirkan tentang beratnya. Saya cuba tenangkan diri," tambah Nur'Aini.

'
Bagi kategori percubaan keseluruhan pula, Nur'Aini menduduki tempat ketiga selepas mengangkat berat sebanyak 155 kilogram.

Pingat emas juga dimenangi atlit Vietnam yang berjaya mengangkat sebanyak 279 kilogram selepas tiga percubaan manakala atlit dari Thailand merangkul pingat perak selepas mengangkat berat 175 kilogram.

PERTAMA KALI BERTANDING DALAM KATEGORI BERAT BADAN BAWAH 50KG

Ini merupakan kali pertama Nur'Aini bertanding dalam kategori berat badan bawah 50 kilogram.

Beliau selalunya bertanding dalam kategori berat badan bawah 45 kilogram.

Menurut Nur'Aini, ia semestinya satu pengalaman yang baru.

Nur'Aini berkata, "Secara fizikal dan mental, saya rasa lebih baik kerana saya dapat makan, saya tidak perlu berdiet terlalu banyak."

"Apabila saya bertanding di bawah 45 kilogram, saya kenal semua pesaing saya, kita berkawan jadi ia rasa seperti satu persaingan mesra tetapi di bawah kategori baru, para pesaing saya semuanya baru. Pada permulaan pertandingan, jurulatih saya sudah memberitahu untuk tidak bandingkan diri saya dengan para pesaing lain dan berikan fokus kepada diri sendiri saja," tambah beliau.

'
Menurut Nur'Aini, latihan buat Sukan Para ASEAN sudah bermula sejak permulaan tahun ini.

Temasya sukan itu juga merupakan acara sukan pertama yang beliau sertai tahun ini, selepas kali terakhir beraksi buat negara dalam Sukan Komanwel pada bulan Ogos tahun lalu.

Nur'Aini menjelaskan, "Saya dan jurulatih bersetuju agar saya berikan yang terbaik sahaja. Ini pertandingan pertama saya untuk tahun ini. Jadi ia juga menjadi kayu ukur untuk tahu sama ada rancangan latihan kita berjaya atau tidak."

"Saya sangat bersedia, persembahan saya juga agak baik. Jurulatih saya melakarkan program latihan yang berperingkat di mana apabila saya tiba di Kemboja, prestasi saya perlu berada di puncaknya," ujarnya. 

KEMBALI BERLATIH UNTUK KEJOHANAN DUNIA SEJURUS PULANG KE SG

Selepas aksi beliau di Sukan Para ASEAN di Kemboja ini, Kejohanan Angkat Berat Para Dunia 2023 yang akan diadakan di Dubai pula menanti Nur'Aini.

Ia merupakan salah satu kejohanan yang wajib disertai para atlit untuk melayakkan diri ke Paralimpik 2024 di Perancis.

"Saya akan bertanding dalam Kejohanan Dunia pada bulan Ogos. Saya akan berikan fokus untuk pertandingan itu. Saya akan membawa pulang pengajaran-pengajaran baik daripada pertandingan ini dan akan cuba membuat perubahan untuk kejuaraan dunia," kata Nur'Aini.

Dengan persembahan baik yang dicatatkannya di Sukan Para ASEAN kali ini, beliau rasa lebih bersemangat untuk kembali berlatih.

"Saya mengharapkan prestasi lebih baik. Jurulatih saya ada rancangan yang baik dan kita bersedia untuk bekerja keras dan memperbaiki diri semasa kejuaraan dunia pada bulan Ogos."

Rekod peribadi berat yang diangkat Nur'Aini adalah 81 kilogram, yang beliau berjaya lakukan di Kejohanan Dunia dua tahun lalu. 

Nur'Aini mencipta sejarah sebagai atlit angkat berat pertama Singapura yang bertanding di Paralimpik Tokyo dua tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan