Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nuradee kembali sebagai penghibur jalanan demi muzik dan terapi

Pasangan adik-beradik itu yang pernah mewarnai industri muzik tanahair dalam tahun-tahun 90an dengan lagu-lagu seperti 'Diam' dan 'Tekad' menjadi penghibur jalanan sejak bulan Ogos lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: "Menyanyi sebagai penghibur jalanan atau 'busker' adalah kerja yang paling mulia. Anda menghiburkan orang. Jika orang terhibur, mereka akan doakan anda."

Demikian luahan hati Encik Mohamed Noor Abdullah, 54 tahun yang lebih dikenali sebagai Nur daripada duo tempatan, Nuradee, yang kini kembali menyanyi di khalayak ramai namun sebagai penghibur jalanan.

(Encik Mohamed Noor Abdullah atau Nur)

Pasangan adik-beradik itu yang pernah mewarnai industri muzik tanahair dalam tahun-tahun 90an dengan lagu-lagu seperti 'Diam' dan 'Tekad' menjadi penghibur jalanan sejak bulan Ogos lalu.

"Sebenarnya kami telah mulakan 'busking' daripada awal tahun 1987 iaitu sebelum kami jadi artis rakaman. Kami sudah mulakan di Singapura dan waktu itu 'busking' tidak dibenarkan. Kami buat di Singapura dan di Malaysia waktu itu dan ia tidak asing kepada kami," kata Encik Mohamed Rasid Abdullah, 56 tahun yang lebih mesra dipanggil Adee.

Menurut Adee, beliau dan adiknya pernah membuat persembahan jalanan di luar negara termasuk Indonesia, Amerika Syarikat, Eropah dan China selama 10 tahun.

Ini dilakukan semasa mereka masih aktif sebagai artis rakaman dan mengembangkan kerjaya nyanyian mereka di Malaysia.



TERIMA UNDANGAN NAC

Kini sekitar 30 tahun kemudian, Nuradee kembali berkongsi bakat mereka sebagai penghibur jalanan.

Menurut Adee, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mengundang mereka untuk menyertai skim penghibur jalanan dan mereka menerima lesen pada 1 Ogos lalu.

Meskipun dianggap pemuzik profesional, mereka juga perlu lulus sesi uji bakat sebelum mendapatkan lesen.

"Kami agak terkejut bila NAC undang kami untuk mendapatkan lesen 'busking' kerana setahu kami ia tidak dibenarkan. Kami (pernah) dikejar polis. Tapi akhirnya bila NAC bagi kami lesen 'busking' macam tak percaya gitu. Tapi Alhamdulillah," kata Nur.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Dengan lesen tersebut, Nuradee sah untuk membuat persembahan di sekitar 70 lokasi yang ditetapkan oleh NAC.

Namun, mereka perlu menempah slot-slot persembahan terlebih dahulu.

Tempat-tempat popular seperti di Orchard Road pula kata Adee adalah lebih popular dengan menggunakan sistem mengundi.

Dengan status mereka sebagai artis profesional, mengapakah mereka tidak memilih untuk membuat persembahan secara online?

"Memang masa COVID-19 itu pernah juga muatnaik video buat penstriman langsung atau 'livestream' tapi tidak sama dengan membuat persembahan di depan khalayak ramai. Kami tahu bahawa 'busking' boleh dekatkan kami pada masyarakat berbilang bangsa.

"Paling penting kami lakukan untuk menghiburkan mereka," kata Adee.

PENAWAR UNTUK PEMINAT DAN DIRI SENDIRI

Bernyanyi di khalayak juga adalah satu wadah untuk mengubati semula rindu dengan para peminat mereka.

"Ada yang nangis melihat kami. Kerana rindu sangat Nuradee. 'Mana Nuradee menghilang? Kami nak tengok Nuradee menyanyi secara langsung.'

"Kami rasa tersentuh kerana ramai yang masih mengingati dan rindukan kami," tambah Adee.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Nur menambah: "Saya terkejut kaum Cina dan India pun ada kenal kami juga. Ada seorang warga emas Cina yang datang dan cakap 'Apabila saya mendengar suara anda, saya rasa sangat terhibur'."

Di samping dapat berkongsi muzik mereka, persembahan jalanan juga salah satu bentuk pemulihan bagi Nur, yang sedang pulih selepas mengalami angin ahmar ringan.

"Doktor pun menasihatkan adik saya untuk buat terapi bermain gitar, nyanyi. Jadi lebih cepat boleh pulih daripada penyakitnya," kata Adee.

Nur menambah: "Sejak saya 'busking' Alhamdulillah sekarang sudah 70 peratus angin ahmar ringan saya sudah sembuh."

Sejak mula menjadi penghibur jalanan bulan lalu, mereka kerap membuat persembahan di kawasan Ang Mo Kio Hub, Paya Lebar Square dan Elias Mall, beberapa kali seminggu.

Selama kira-kira empat jam persembahan di satu-satu lokasi, mereka boleh mendapatkan sehingga S$300, hasil sumbangan ikhlas orang ramai.



Pendapatan mereka juga sedikit sebanyak membantu menampung kos perbelanjaan rawatan untuk Nur.

"Ada yang bukan hanya kasi duit, tapi mereka memberi duit sumbangan untuk kami beratus dolar. Alhamdulillah. Terima kasih kepada peminat-peminat kami khususnya," ujar Nur.

PERBETUL TANGGAPAN NEGATIF

Meskipun tujuan mereka adalah untuk menghibur dan memeriahkan lagi suasana, Adee tidak menafikan, masih ada sesetengah pihak yang memandang rendah golongan penghibur jalanan sepertinya.

(Encik Mohamed Rasid Abdullah atau Adee)

"Kita harus mendidik orang ramai. Kerana mereka mungkin pandang dari segi negatif. Mereka tidak lihat dari segi positifnya. Sekarang ini baru Singapura sedar tentang 'busking'. Di luar negara, ia sudah menjadi industri, sudah ada akademi tentang 'busking'," ujar Adee.

Nur berharap, dengan kegiatan mereka dalam seni hiburan jalanan, masyarakat Melayu khususnya dapat bersifat lebih terbuka tentang kerjaya tersebut.

"Sebenarnya orang Melayu ramai yang ada bakat. Tapi malu untuk keluar buat persembahan jalanan kerana ada anggap seperti minta sedekah," kata Nur.

Nuradee berkongsi mereka juga banyak menerima undangan membuat persembahan di luar negara termasuk di sebuah stesen televisyen Indonesia dan pertandingan Gegar Vaganza.

Namun buat masa ini, mereka akan terus menjadi penyanyi jalanan disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan.

"Kalau boleh kami nak bergiat dalam seni seperti biasa seperti dulu. Cuma keadaan berubah, masa berubah dan kami harus berubah juga mengikut keadaan.

"Buat masa ini kami sedang fokus untuk adik saya sembuh. Itu yang paling penting. Dan dengan keadaan sekarang, kewangan kami tidak kukuh jadi kami rasa dengan 'busking' dapat membantu sedikit sebanyak untuk perubatan adik saya dan untuk kami," kata Adee.

Sejak kegiatan penghibur jalanan dibenarkan semula selepas dihentikan akibat pandemik COVID-19, ruang-ruang awam kini bertambah meriah dengan pelbagai jenis persembahan seni.

Terdapat sebanyak 300 penghibur jalanan yang berdaftar dengan NAC buat masa ini.

Untuk senarai jadual busking Nuradee, anda boleh kunjungi laman berikut.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan