Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nur Zaiya dipercayai bayi terkecil di S'pura sihat, dibenar pulang dengan selamat

Ketika Nur Zaiya Naziha Muhd Saufi dilahirkan Mac lalu, saiz badannya hanya sebesar tapak tangan dan beratnya pula 345 gram sahaja - sama dengan satu tin minuman.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketika Nur Zaiya Naziha Muhd Saufi dilahirkan Mac lalu, saiz badannya hanya sebesar tapak tangan dan beratnya pula 345 gram sahaja - sama dengan satu tin minuman.

Nur Zaiya dilahirkan tidak cukup bulan, lebih tepat lagi pada usia 23 minggu dan enam hari.

Kini berusia tujuh bulan, Nur Zaiya yang dipercayai antara bayi terkecil dilahirkan dan bertahan hidup di Singapura, pulang ke rumah dalam keadaan sihat.

DIBERI PILIHAN AMAT SUKAR

Apabila Cik Rohani Mustani, 37 tahun disahkan mengalami preeklamsia, sejenis komplikasi yang menjejas tekanan darah tinggi ibu hamil, doktor hanya memberinya masa dua jam untuk memilih sama ada ingin melahirkan atau menggugurkan kandungannya.

"Saya percaya, meski diberi 20 peratus, 30 peratus peluang hidup, ia tetap satu peluang bagi bayi saya, tetap ada peluang untuk hidup. Jadi saya buat keputusan dengan suami, apa kata kita melahirkanlah," kata Cik Rohani, yang ketika itu tidak menjangkakan akan bersalin awal.

(Gambar ihsan: NUHS)

Pada 27 Mac 2020, Nur Zaiya, anak keempat Cik Rohani dan suaminya Muhd Saufi, 36 tahun dilahirkan melalui kaedah pembedahan pada usia kehamilan 23 minggu dan enam hari.

BAYI TIDAK MENANGIS KETIKA DILAHIRKAN

Lazimnya, terdengar suara tangisan bayi menangis selepas ibu bersalin. Namun, keadaannya amat berbeza sekali bagi Nur Zaiya sehingga membuatkan Cik Rohani cemas dan gelisah.

Nur Zaiya segera dibawa pergi ke unit jagaan rapi (ICU) dan Cik Rohani tidak dapat menatap wajah anaknya.

"Sebagai seorang ibu kita mesti hendak dengar anak kita nangis tapi dia tidak ada tangisan. Saya tidak tahu macam mana bentuk dia sama ada dia sudah terbentuk sepenuhnya atau tidak? Sekecil mana? Saya tidak tahu jadi amat-amat sedih sampai saya tanya diri saya salah saya ke sampai jadi macam ini?" tambah Cik Rohani yang menjelaskan anaknya kini gemar tersenyum dan sudah menangis seperti bayi lain.

(Gambar ihsan: NUHS)

(Gambar ihsan: NUHS)

Memandangkan Nur Zaiya dilahirkan tidak cukup bulan, dia mengalami beberapa komplikasi seperti jantung berlubang dan kulit yang sangat tipis. Oleh itu, penjagaan yang khusus amat diperlukan kerana dia mudah terkena jangkitan. Bagi Cik Rohani sendiri, beliau hanya dapat mendakap puterinya itu selepas tiga bulan di hospital.

"Mereka (Jururawat) alihkannya setelah mendapati paru-paru, jantung dan pernafasannya ok. Mereka buka semua wayar yang melekat di badan, tangan ini semua. Tiub pernafasan juga dikeluarkan. Mereka letakkan dia di dalam inkubator biasa untuk bayi. Baru saya dapat menyentuhnya melalui proses yang dipanggil "skin to skin" atau "kangaroo care" di mana saya letakkan dia di bahagian bahu saya dan dia dapat menyentuh kulit saya dengan kulit dia bersentuhan."

KOS RAWATAN MENCECAH S$50,000

Mujur, dengan pantauan rapi jururawat di ICU Universiti Nasional Singapura (NUH), keadaan Nur Zaiya bertambah baik. Berat badannya kini lebih 10 kali ganda berat asal dan dia akhirnya dibenarkan pulang ke rumah selepas lima bulan di ICU.

(Gambar ihsan: NUHS)

(Gambar ihsan: NUHS)

Walaupun terpaksa membelanjakan hampir S$50,000 (selepas menerima subsidi) Cik Rohani dan suaminya bersyukur kerana keluarga mereka kini lengkap dnegan kehadiran Nur Zaiya.

"Bayi sekecil ini dah banyak menanggung kesakitan cucuk sana cucuk sini, dia berjuang untuk dilahirkan dan akhirnya dia ada dalam dakapan saya dapat pegang, dapat sentuh sangat sedihlah sangat terharu tapi pada masa yang sama sangat bersyukur," ujar Cik Rohani yang juga mempunyai dua lagi puteri berusia tujuh dan empat tahun, dan seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Walaupun masih perlu menjalani beberapa temu janji doktor untuk memastikan keadaannya stabil, Nur Zaiya setakat ini membesar seperti biasa dengan berat badannya sudah mencecah empat kilogram, hampir sama dengan bayi seusianya.

Menurut NUH, sekitar empat dalam setiap 1,000 bayi yang dilahirkan mempunyai keadaan seperti Nur Zaiya yakni dilahirkan kurang daripada 28 minggu. Namun begitu, dengan teknologi yang semakin canggih dapat membantu menyelamatkan bayi-bayi sepertinya.

Konsultan Kanan Jabatan Neonatologi, NUH, Dr Krishnamoorthy Niduvaje yang menyifatkan perkembangan Nur Zaiya sebagai cukup mengagumkan berkata: "Dia (Nur Zaiya) tidak mempunyai penyakit jantung yang kronik. Dia tidak memerlukan bantuan pernafasan sebelum pulang iaitu sesuatu yang tidak biasa bagi bayi yang dilahirkan pada 23 minggu.

"Jadi hampir 1 dalam setiap 10 bayi dilahirkan sebelum 37 minggu. Kes yang paling mencabar adalah bayi yang lahir sebelum berusia 26 minggu yang beratnya semasa lahir adalah kurang dari 750 gram."

(Gambar: Syawal Yusof/BERITAmediacorp)

(Gambar: Syawal Yusof/BERITAmediacorp)

Di NUH misalnya, pasangan yang mempunyai anak pramatang akan dipadankan dengan seorang pekerja sosial untuk membantu mereka.

Mendapat sokongan moral dari kumpulan-kumpulan online dan ibu bapa lain juga dapat membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk membesarkan anak istimewa ini menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan