Nur Sabrina kejar cita-cita genggam ijazah dalam keselamatan siber meskipun lumpuh separuh badan
SINGAPURA: Di tengah-tengah musim peperiksaan lima tahun lalu, Nur Sabrina Mohamad Khalid diserang penyakit secara tiba-tiba.
Beliau yang ketika itu berada dalam tahun ketiga program diploma dalam Pengurusan Perkhidmatan IT di Politeknik Republik, terpaksa menguatkan dirinya untuk menghabiskan peperiksaan.
"Pada bulan September 2018, saya merasakan kekuatan di kaki saya semakin lemah secara beransur-ansur. Jadi saya terpaksa menggunakan kerusi roda arwah nenek saya untuk pergi ke Politeknik Republik kerana saya terpaksa menduduki kertas peperiksaan akhir," kata Nur Sabrina.
Beliau didiagnos dengan penyakit meningitis tuberkulosis dan tuberkulosis pulmonari sebulan kemudian dan kehidupannya berubah secara mendadak.
"Ini mengakibatkan saya untuk lumpuh dari pinggang ke bawah dan saya tidak dapat mengawal pergerakan usus saya dan saya termasuk menggunakan IDC atau kateter kencing dan beg ostomy sehingga hari ini," tambah beliau.
Namun, penyakit yang dihadapinya bukan penghalang untuk mencapai cita-cita untuk ke menara gading.
Pada tahun lalu, gadis berusia 26 tahun itu meraih ijazah dalam bidang Keselamatan Siber yang ditawarkan Universiti Edith Cowan menerusi PSB Academy.
"Untuk mengelakkan daripada sebarang kecemasan perubatan daripada berlaku semasa kelas, saya memohon kelulusan untuk melanjutkan pelajaran saya, keseluruhan pengajian saya di PSB Academy secara talian. Jadi pihak PSB Academy menghubungkan saya kepada pegawai ekuiti, kepelbagaian dan ketidakupayaan dari Universiti Edith Cowan untuk mencipta pelan pembelajaran untuk saya," jelas Nur Sabrina.
(Gambar: PSB Academy)
Dengan bantuan Persatuan Cacat Anggota (SPD), beliau mendapat pekerjaan sebagai seorang Jurutera Jaminan Mutu di syarikat IT, Business Buddy sejak beberapa bulan yang lalu.
Syarikat tersebut yang menyokong pengambilan pekerja kurang upaya lebih mengutamakan kepada kemahiran serta pengalaman seseorang berbanding keadaan fizikal mereka.
"Secara peribadi, saya tidak bezakan mereka daripada kakitangan lain. Mereka juga tidak diberitahu sama ada seseorang pekerja itu kurang upaya," kata Cik Raine Goh, Konsultan Perniagaan yang juga penyelia Nur Sabrina.
MAJIKAN PRIHATIN DENGAN KEADAAN; DIAMBIL BEKERJA ATAS KEMAHIRAN
Syarikat itu yang mempunyai aturan kerja fleksibel cukup memahami keadaan dan keperluan perubatan Nur Sabrina yang perlu berjumpa doktor hampir setiap minggu.
"Kami suka dengan sikapnya terhadap pekerjaan juga. Sekiranya ada perkara yang beliau kurang pasti atau tidak tahu, dia sentiasa bertanya dan bekerja keras juga. Ini sesuatu yang kami hargai. Jadi secara peribadi, saya tidak fikir keadaan fizikalnya menghalang sebarang bahagian pekerjaannya langsung. Beliau seperti kakitangan lain yang kami ada," tambahnya.
PSB ACADEMY BIMBING PELAJAR YANG HADAPI MASALAH
Menurut PSB Academy, pihaknya menyaksikan peningkatan lebih 50 peratus dalam kalangan pelajar yang memerlukan bantuan pembelajaran serta kaunseling tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Selain membantu memberi bimbingan pekerjaan dan kaunseling, PSB Academy turut melakarkan inisiatif untuk membantu pelajar mengharungi sebarang cabaran.
"Kami mempunyai program iaitu Program Integrasi Akademik untuk membantu para pelajar untuk mengatasi rintangan dalam pembelajaran mereka. Ini dari segi menyediakan bilik khas untuk peperiksaan atau memberi mereka masa yang lebih," kata Cik Pearly Wong, Ketua Pejabat Kejayaan Pelajar dan Naib Ketua Sekolah Pengurusan Perniagaan di PSB Academy.
HARAP DAPAT BERDIRI LAGI
Pemikiran positif dan lebih berkeyakinan antara prinsip yang dipegang Sabrina hari ini.
Anak sulung tiga beradik itu kini gigih mempelajari teknik-teknik untuk melakukan tugasan seharian.
Beliau berharap untuk menjadi lebih berdikari dan menjalani kehidupan seperti biasa.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Saya secara aktif mengikuti pempengaruh berkerusi roda di media sosial. Dengan menonton video-video mereka, saya dapat tahu bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian mereka.
"Saya ingin meringankan beban keluarga saya untuk menjaga saya jadi mana tugasan seharian yang saya boleh buat sendiri dan yang saya boleh kawal," kata Nur Sabrina.
Beliau berharap dapat pulih seperti biasa.
"Walaupun saya sudah terima hakikat yang saya ini seorang paraplegik, saya sekarang menjalani fisioterapi, jadi InsyaAllah saya harap mana tahu saya boleh berdiri," ujarnya.
Sabrina bercita-cita untuk terus meningkatkan kepakaran dalam bidang keselamatan siber.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.