Nur Insan, Project Pencil S'pore & Yishun 71 berpadu tenaga sumbang baucar keperluan sekolah kepada 500 kanak-kanak memerlukan
Tiga badan amal menggembleng tenaga pada Ahad (6 Dis) untuk membawa keceriaan kepada 500 kanak-kanak di merata Singapura dengan mengagihkan baucar-baucar bagi menampung keperluan persekolahan seperti alat tulis dan kasut.
Wakil-wakil pihak penganjur dan tenaga kerja sukarelawan Projek 'Bag to School' 2020. (Gambar-gambar: Zakrie Abdul Manap)
SINGAPURA: Tiga badan amal menggembleng tenaga pada Ahad (6 Dis) untuk membawa keceriaan kepada 500 kanak-kanak di merata Singapura dengan mengagihkan baucar-baucar bagi menampung keperluan persekolahan seperti alat tulis dan kasut.
Matlamat Projek 'Bag To School' 2020 anjuran Persatuan Nur Insan dan Project Pencil Singapore dengan kerjasama kumpulan jiran tetangga Yishun 71 serta ‘kelab-kelab motor’ adalah untuk meniup semangat kepada kanak-kanak tersebut supaya mereka terus menimba ilmu walaupun berdepan dengan kesulitan.
Setiap kanak-kanak menerima baucar kedai buku Popular dan kedai kasut Bata bernilai S$100 – menjadikan jumlah terkumpul bernilai S$50,000 ihsan sumbangan awam.
Agihan baucar itu merupakan tambahan kepada uniform sekolah dan buku teks yang disediakan di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
MASIH BERGELUT DENGAN PANDEMIK
Sesetengah keluarga masih bergelut dengan kesulitan hidup yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan sebilangan ibu bapa mungkin tertekan dengan beban kos ini apabila penggal baru bermula pada bulan depan.
Pengarah Eksekutif Nur Insan Ustaz Dr Muhammad Yusof Sa'ad, 45 tahun, mengongsi dengan BERITAmediacorp bahawa ilham di sebalik Projek 'Bag To School' tercetus setelah mendengar rintihan keluarga-keluarga yang terkesan oleh COVID-19 – dengan ramai yang diberhentikan kerja atau hasil pendapatan mereka menyusut akibat pandemik COVID-19.
"Sebelum COVID-19 lagi, ramai kanak-kanak, keluarga dan penduduk yang bersusah payah untuk menyara hidup.
“COVID-19 memburukkan lagi kesusahan sedemikian dan menyebabkan ramai lagi yang hampir mengalami kemiskinan, sedang rakyat Singapura mengharungi kemelesetan ekonomi sekarang,” menurut catatan Facebook Nur Insan, yang menyediakan pendidikan agama secara percuma kepada mereka yang kurang bernasib baik.
TABAH HADAPI DUGAAN
Selain cabaran pandemik, Projek Bag To School juga membantu untuk meringankan beban keluarga-keluarga yang berdepan dengan dugaan hidup masing-masing.
Salah seorang penerima baucar, Encik Roslan Muhammad, 41 tahun, baru sahaja kehilangan isterinya.
Baucar Bag To School dialu-alukannya sebagai persiapan bagi penggal baru sedang beliau membanting tulang bekerja sebagai seorang pembantu gudang.
Anggota jawatankuasa Yishun 71, Encik Shafiq Kamis (paling kiri di belakang), mendampingi keluarga Encik Roslan Muhammad semasa pengagihan baucar Bag to School pada 6 Disember.
Sejak pemergian ibu mereka, lima anak Encik Roslan yang berusia antara 5 hingga 13 tahun kini semakin berdikari sungguhpun masih di bangku sekolah.
“Mereka benar-benar betah dengan keadaan. Mereka turut membantu saya. Mereka tidak biasa mengemas rumah, nanti apabila disuruh, semua macam ‘automatik’ melakukannya. Ummi sudah tiada, saya bekerja, jadi mereka perlu berdikari,” luah Encik Roslan kepada BERITAmediacorp.
Di blok bersebelahan pula, Cik Hasmiah Madsaid, 38 tahun, juga berusaha sedaya upaya untuk menyara tiga orang anaknya yang masih bersekolah, sebahagian besarnya secara sendirian kerana beliau sedang menjalani proses penceraian.
Penerima baucar 'Bag to School' Cik Hasmiah Madsaid bersama anaknya yang berkeperluan khas.
Anak bongsunya berusia 8 tahun berkeperluan khas dan perlu dijaga sepanjang masa kerana tidak berupaya jalan atau makan sendiri.
“Perlu bersusah payah sedikit. Sebab saya bekerja secara sambilan, tidak boleh sepenuh masa. Sebab yang ini (anak berkeperluan khas) tiada orang yang jaga. Sebab gaji kerja sambilan tidak besar,” ujar Cik Hasmiah.
12 ‘KELAB MOTOR’ TURUT TURUN PADANG
Teras tenaga kerja yang menjayakan agihan baucar terdiri daripada kira-kira 50 anggota daripada 12 kelab motosikal.
Presiden kelab Goodwheelz Bikerz Saini Daipi, 45 tahun, mengongsi dengan BERITAmediacorp bahawa kumpulannya mula terlibat dengan usaha murni itu menyusuli perbualannya dengan pemilik kedai daging ASM Frozen Food, Encik Mubarak, di Pasar Chong Pang yang kerap dikunjunginya.
Presiden kelab Goodwheelz Bikerz Encik Saini Daipi (kedua dari kanan) memberi taklimat kepada tenaga sukarela Projek 'Bag to School' 2020.
Encik Mubarak menghubungkan Encik Saini dengan anggota jawatankuasa Yishun 71, Cik Sarimah Amat untuk menyelaraskan penghantaran baucar ke setiap pelosok Singapura.
“Kumpulan-kumpulan motosikal kini lebih melakukan kerja-kerja amal. Akibat COVID-19 kerja-kerja amal di luar negara berkurangan. Jadi mana-mana kerja amal hanya boleh dilakukan di Singapura. Sekarang ramai anggota pasukan yang menunggu, jadi jika ada rancangan begini mereka akan mengongsinya,” jelas Encik Saini.
Encik Saini, yang bertugas sebagai seorang teknisyen bersama SMRT, juga menganggap peranannya sebagai ketua kelab turut bertanggungjawab untuk menyemai semangat kerja sukarela khususnya dalam kalangan belia.
Dengan penuh keghairahan, sukarelawan dari 'kelab-kelab motor' bersedia mengagihkan baucar-baucar 'Bag to School' kepada penerima di merata negara.
“Jika mereka memerlukan bantuan, saya akan hadir. Kita akan bekerjasama seperti sebuah keluarga. Kita penunggang, kita keluarga. Tiada lagi kita penunggang, kita lawan,” kata Encik Saini.
Pungutan derma bagi Project Bag To School akan dijalankan sehingga hujung Disember.
Orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi kad kredit dan debit, PayNow atau melalui laman Nur Insan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.