Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nur Hazeem Abdul Nasser penerima Biasiswa Rhodes Singapura 2022

Nur Hazeem Abdul Nasser diumumkan sebagai penerima Biasiswa Rhodes Singapura 2022.

Anggaran Waktu Membaca:
Nur Hazeem Abdul Nasser penerima Biasiswa Rhodes Singapura 2022

Nur Hazeem Abdul Nasser. (Gambar: NUS)

SINGAPURA: Nur Hazeem Abdul Nasser diumumkan sebagai penerima Biasiswa Rhodes Singapura 2022.

Dengan itu, mahasiswa Kolej Yale-NUS (Universiti Nasional Singapura) tersebut menjadi golongan minoriti pertama dianugerahi biasiswa antarabangsa berkenaan yang pertama kali diperkenalkan di Universiti Oxford pada 1903.

Setiap tahun, biasiswa itu diberikan kepada hanya seorang sahaja di Singapura dengan tujuan "melantik pemimpin muda kreatif yang mempunyai komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat," menurut kenyataan Biasiswa Rhodes pada Jumaat (29 Okt).

Nur Hazeem, 23 tahun, membuktikan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin menerusi pelbagai kegiatan di kolej dan dalam masyakarat.

Selain pelibatannya dalam beberapa kegiatan luar darjah, Presiden Badan Mahasiswa Kolej Yale-NUS itu turut mengasaskan dua pertubuhan bukan meraih untung (NGO)- ALittleChange pada 2016 dan The Signpost Project pada 2019 dengan masing-masing ditumpukan untuk memperkasa keluarga berpendapatan rendah dan warga emas di sini. 

Beliau kini sedang memburu ijazah dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi di Kolej Yale-NUS dan berharap dapat mengikuti pengajian sarjana dalam dua program Dasar Awam di Universiti Oxford pula pada Oktober 2022.

Bekas pelajar Maktab Rendah Anglo-Chinese itu yakin bahawa program sarjana di institut berprestij tersebut akan memberinya asas yang kukuh untuk melakarkan kerjaya dalam perkhidmatan awam di mana beliau mahu "memperbaiki akses bagi warga emas dan memperkasa mereka mencapai aspirasi mereka."

Sebagai penerima Biasiswa Rhodes yang pertama daripada golongan minoriti pula, Hazeem berusaha menggalak pemahaman dan perhubungan lebih baik antara kaum-kaum di Singapura, menurut kenyataan itu.

"Kami amat gembira Hazeem diiktiraf atas kerja-kerja amalnya dalam masyarakat dan kami berharap ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai belia Singapura untuk berkhidmat kepada rakyat kami," tulis Presiden Kolej Yale-NUS Professor Tan Tai Yong.

"Kami yakin peluang hebat ini akan membantu Hazeem membawa kesan yang lebih besar lagi."

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan