Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nur Fatin Hanani penuhi impian ibu bapa, jadi graduan universiti pertama keluarganya

Anggaran Waktu Membaca:
Nur Fatin Hanani penuhi impian ibu bapa, jadi graduan universiti pertama keluarganya

Nur Fatin Hanani penuhi impian ibu bapa, menjadi graduan universiti pertama keluarganya. (Gambar: Nur Fatin Hanani)

SINGAPURA: Bukan sekadar segulung ijazah tetapi juga sebuah impian ibu bapanya yang dapat dipenuhi Nur Fatin Hanani, 24 tahun.

Sudah lama terpendam harapan mereka untuk melihat seorang graduan universiti lahir daripada keluarga ini.

Kini, anak bongsu mereka berjaya merealisasikan impian tersebut.

Ini setelah beliau berjaya menamatkan pengajiannya dan meraih Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Perakaunan.

(Gambar: Nur Fatin Hanani) 

"Alhamdulillah, pertama sekali saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menghabiskan ijazah ini," kongsi Hanani kepada BERITAmediacorp.

"Saya juga berasa amat gembira kerana cita-cita ibu bapa saya dan juga diri saya sudah tercapai. Selain daripada itu, ijazah ini bukan hanya untuk saya tetapi ia juga untuk keluarga saya kerana ini melambangkan sokongan dan pengorbanan mereka kepada saya," tambah beliau lagi.

Kejayaan ini bagaimanapun tidak datang bergolek bagi dirinya.

Sebelum ke universiti, Hanani meraih diploma dalam bidang kejuruteraan di politeknik.

Dengan tiada pengetahuan asas dalam bidang Perakaunan, Hanani perlu meluangkan lebih banyak masa untuk mengulang kaji.

Ini di samping mengimbangi masa dengan kerja sambilan dan kerja sukarelawan.

BANTU PARA PELARIAN ROHINGYA

Namun, cabaran ini tidak mematahkan semangat gadis, 24 tahun ini, untuk membantu golongan yang memerlukan.

Ini termasuk para pelarian Rohingya di Malaysia menerusi Projek Xing Fu, pada 2019.

Beliau bantu mengajar kumpulan pelajar yang berusia 15 tahun itu beberapa mata pelajaran seperti Matematik.


Hanani bersama keluarga. (Gambar: Nur Fatin Hanani) 

"Orang kata kalau belum cuba belum tahukan? Perkongsian oleh murid-murid saya sudah menyentuh hati saya, apabila mereka menunjukkan yang mereka rasa terharu dan rasa tersentuh hati apabila kami semua dari Singapura datang untuk melawat mereka dan meluangkan masa bersama mereka," ujar Hanani.

Kini, beliau sudah bekerja sepenuh masa sebagai seorang pegawai cukai di Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan merancang untuk meneruskan kerja-kerja sukarelawan.

ASYRAF JAMIL RAIH IJAZAH DENGAN KEPUJIAN TERTINGGI

Seorang lagi graduan yang turut membahagikan masanya untuk membuat kerja-kerja sukarelawan ialah Muhammad Asyraf Jamil, 26 tahun.

Hampir setiap Jumaat malam, beliau akan ke kelab masyarakat untuk membimbing para pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Mendengar para pelajar bimbingan saya berkongsi dengan gembira mengenai hari mereka ataupun wira kegemaran mereka membuat ini semua berbaloi akhirnya," menurut Asyraf.


(Gambar: Muhmmad Asyraf Jamil)

Antara cabaran yang dihadapi pelajar bekas penuntut Politeknik Ngee Ann ini adalah menyesuaikan diri dengan tuntutan pengajian dia peringkat universiti dan melalui proses peralihan.

Pelajar ini juga mendapati subjek-subjek seperti Ekonomik dan Kalkulus sukar untuk difahami.

"Mujur, saya dapat berhubung dengan rakan-rakan yang memang gembira untuk membantu saya. Profesor saya juga sering membantu apabila saya mendekati mereka," kongsi Asyraf.

Dengan kerja kerasnya, Asyraf mendapat keputusan yang cemerlang dan berjaya meraih Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dengan kepujian tertinggi.

KAJI MASYARAKAT MELAYU TEMPATAN DALAM TESIS TAHUN AKHIR

Dalam tesis tahun akhirnya, Asyraf cuba menyelidik lebih dalam tentang golongan yang berjaya menongkah arus khususnya dalam masyarakat Melayu.

Beliau menumpukan penyelidikannya kepada bagaimana mereka yang dari keluarga kelas pertengahan berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Kebanyakan kajian memberi lebih banyak tumpuan kepada kepelbagaian kelemahan yang dihadapi oleh masyarakat. Sebaliknya, saya berharap untuk mengkaji individu yang berjaya mengalahkan kemungkinan, dan mengenalpasti faktor-faktor yang membantu mereka dalam akses ke universiti, satu penanda kecil bagi kejayaan," kongsi Asyraf.

Beliau mendapati sumber kebendaan yang membolehkan mereka menumpukan pada pelajaran dengan masa dan keadaan yang selesa.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Asyraf dan Hanani merupakan antara hampir 2,000 pelajar yang menerima ijazah sarjana muda dalam majlis konvokesyen Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Secara keseluruhannya, 3,268 graduan menerima ijazah dalam majlis konvokesyen universiti yang diadakan hingga esok (29 Jul).

Jumlah itu juga adalah yang terbesar bagi SMU sejak ia ditubuhkan pada tahun 2000.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan