Skip to main content

Singapura

Nur-El-Hudaa Jaffar penerima Melayu pertama Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan

Penulis Nur-El-Hudaa Jaffar jadi penerima Melayu pertama bagi Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan yang tawarkan geran S$10,000.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Dec 2019 10:45PM Dikemas Kini : 09 Dec 2019 11:03PM

SINGAPURA: Penulis Cik Nur-El-Hudaa Jaffar menjadi penerima pertama Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) bagi kategori bahasa Melayu.

Cik Nur-El-Hudaa menerima geran itu daripada Menteri Negara Kanan, Perhubungan dan Penerangan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Cik Sim Ann.

Kesemuanya tujuh orang menerima TTDS dalam satu acara pada pada Isnin (9 Dis).

Geran penajaan bersama itu adalah yang kedua diagihkan sejak TTDS dilancarkan tahun lalu.

SATU-SATUNYA PEMENANG HADIAH TERJEMAHAN MASTERA DARI S'PURA

Seorang penulis cerpen, sajak dan buku cerita kanak-kanak, minat Cik Nur-El-Hudaa Jaffar dalam kerja-kerja menyunting dan menterjemah hasil karya sastera berputik semasa beliau bekerja sebagai eksekutif penerbitan di Pustaka Nasional pada 2009.

Related article image

Sejak itu, beliau sudah menterjemah beberapa karya sastera termasuk cerita pendek 'Yang Hilang' oleh pemenang Pingat Kebudayaan Mohamed Latiff Mohamed di mana beliau mengambil masa hampir dua minggu untuk menterjemahkan sepenuhnya.

Tajuknya sahaja mengambil masa tiga hari, kata beliau. Akhirnya, tajuk 'Lost' menjadi pilihan.

Beberapa hasil penterjemahan Cik Nur-El-Hudaa yang lain juga sudah diterbitkan dalam bentuk antologi dan buku.

Antara kemuncak kerjayanya selama sembilan tahun dalam bidang penterjemahan ialah memenangi Hadiah Terjemahan MASTERA, yang julung-julung kalinya dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

BACA: Pemenang sulung Hadiah Terjemahan Mastera dari S'pura, M'sia, Indonesia & Brunei

"Terjemahan itu satu kemahiran yang perlu diasah dan lebih-lebih lagi memandangkan bidang terjemahan ini, ia semakin berinteraksi dengan teknologi dan penyebaran maklumat yang lebih leluasa di dunia. Jadi saya rasa saya patut menghadiri kursus-kursus atau terus mengemas kini kemahiran dan pengetahuan saya tentang bidang terjemahan," kata Cik Nur-El-Hudaa, 49 tahun, yang bertugas sebagai perunding editorial dan penterjemah bebas.

Dengan geran tajaan bersama TTDS, Cik Nur-El-Hudaa berpeluang meningkatkan kemahiran selain meluaskan pengetahuannya.

Geran bernilai sehingga S$10,000 itu menampung 90 peratus kos kursus profesional, seminar dan persidangan, yang dikendalikan baik di dalam mahupun di luar negara.

AKAN DILANTIK SEBAGAI DUTA NTC

Bukan itu saja, dengan pengalaman meluas Cik Nur-El-Hudaa dalam industri penterjemahan, beliau bakal menjadi Duta Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) selama setahun mulai Januari 2020.

Menerusi sesi-sesi perkongsian anjuran NTC, beliau harap dapat memupuk minat dalam sastera Melayu Singapura kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

"Kalau boleh lebih banyak lagi karya-karya yang ditujukan untuk kanak-kanak dan remaja yang telah ditulis dalam Bahasa Melayu, diterjemahkan ke Bahasa Inggeris untuk bacaan pelajar-pelajar atau golongan muda yang lebih fasih dalam Bahasa Inggeris.

"Mungkin itu satu cara untuk mendekatkan lagi seseorang itu, khususnya kanak-kanak remaja itu lebih dekat dengan bangsa dan budayanya," jelas Cik Nur-El-Hudaa.

Related article image

Beliau juga berharap dapat mencapainya menerusi hasil karya beliau sendiri sebagai seorang penulis cerpen, sajak dan buku kanak-kanak.

Bahkan, buku kanak-kanak bergambar pertama yang beliau hasilkan disenarai pendek bagi Tajuk Buku Kanak-kanak terbaik di Anugerah Buku Singapura 2016.

Sejak mula berkarya pada 2013, dua tahun lalu Cik Nur-El-Hudaa menjadi penulis pertama berjaya merangkul tempat pertama dan kedua sekali gus dalam pertandingan Anugerah Pena Emas bagi kategori cerpen Melayu.

PENTERJEMAHAN ITU SENANG?

Sepanjang kerjayanya sebagai seorang penterjemah, beliau dan beberapa rakan-rakan penterjemahnya pernah mengalami situasi di mana beberapa pihak mengambil ringan tugasnya.

"Ada menganggap penterjemahan itu senang (menggayakan seperti menaip papan kunci) “tet tet tet tet” sekarang sudah ada Google. Tapi kalau kita nak terjemah sesuatu novel, sesuatu ayat, tidak semua dapat diterjemah oleh mesin. Perlu ada nurani dan juga pengetahuan tentang teks asal dan juga siapa pembaca di penghujung itu.

"Terjemahan juga perlu buat kajian untuk memastikan bahawa istilah itu betul, memang atau digunakan untuk bidang itu sesuai atau tidak. Jadi tugas penterjemahan itu memerlukan masa dan tenaga," ujar Cik Nur-El-Hudaa.

Beliau berharap penerbit ataupun pihak-pihak yang memerlukan khidmat penterjemah memahami keperluan penterjemahan.

Dengan geran TTDS beliau boleh mengikuti kursus Bahasa dan Terjemahan yang ditawarkan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Harapannya malah lebih besar lagi - mahu melihat hasil karyanya menembusi pasaran antarabangsa, suatu hari nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita