Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUHS sangkal dakwaan Paul Tambyah Pemerintah kerugian 'jutaan dolar' daripada kendalikan wad hospital Kelas A

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pada Khamis (29 Dis) menyangkal dakwaan oleh Profesor Paul Tambyah bahawa Pemerintah mengalami kerugian "berjuta-juta dolar" daripada mengendalikan wad-wad hospital kelas A. 

Profesor Tambyah ialah seorang perunding kanan di bahagian penyakit berjangkit NUH dan juga pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP). Beliau membuat dakwaan tersebut dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada 19 Disember dan sudah ditonton lebih 72,000 kali. 

Dalam video berkenaan, Profesor Tambyah berhujah wad kelas A di hospital awam patut ditiadakan kerana ia menyediakan "subsidi tinggi" kepada warga asing kaya yang dimasukkan ke hospital di Singapura. 

Warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) menerima subsidi sehingga 80 peratus bagi wad kelas B2 atau C di hospital awam, manakala bagi wad kelas A pula, tiada subsidi yang ditawarkan. 

Tiada juga subsidi bagi pesakit warga asing, tidak kira kelas wad mereka. 

Profesor Tambyah berkata: "Pesakit warga asing yang kaya di wad kelas A membayar kadar yang jauh lebih rendah berbanding jumlah yang perlu dibayar sekiranya mereka masuk ke hospital swasta di Singapura. 

"Justeru, sekiranya anda menggunakan cara (Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB)) mengira subsidi pasaran, mereka menerima subsidi tinggi dan Pemerintah sebenarnya mengalami kerugian jutaan dolar dengan mempunyai pesakit kelas A." 

Beliau berhujah bahawa "dengan meniadakan pesakit kelas A", ia akan membantu Pemerintah "berhenti kerugian jutaan dolar yang sedang dialami dan untuk menamatkan subsidi pasaran yang disediakan kepada warga asing kaya yang sebaliknya boleh mendapatkan khidmat sektor swasta". 

"Pemerintah tidak seharusnya bersaing dengan sektor swasta," kata Profesor Tambyah. 

Beliau juga menolak idea yang diusulkan seorang lagi pengguna TikTok bahawa Pemerinah memperoleh pendapatan menerusi wad kelas A untuk memberi subsidi kepada wad-wad lain dan mengekalkan doktor yang baik di hospital awam. 

"Sebab mengapa doktor lebih mapan kekal di sektor awam adalah bukan kerana wang. Ia terutamanya kerana mereka gemar kajian, mengajar dan menjaga warga Singapura yang tidak berkemampuan," jelasnya. 

Dalam satu hantaran ke Facebook pada Khamis malam (29 Dis), NUHS menyangkal dakwaan Profesor Tambyah dengan menyatakan bahawa pandangan peribadinya tidak mewakili pandangan NUHS dan institusi-institusinya. 

"Kelas-kelas wad berbeza di hospital awam diwujudkan untuk menyediakan warga Singapura pelbagai pilihan. Pesakit warga asing merangkumi jumlah kecil pesakit yang kami rawat," menurut catatan tersebut. 

"Bertentangan dengan apa yang dikongsikan dalam video tersebut, kami tidak mencatat kerugian apabila mengendalikan wad-wad kelas A," tambah NUHS. 

"Sebagai sebahagian sistem jagaan kesihatan awam, keutamaan kami adalah untuk menjaga warga Singapura dan memastikan mereka mempunyai akses kepada jagaan kesihatan yang baik dan dalam kemampuan." 

Antara 2013 hingga 2017, pesakit warga asing yang menuju ke Singapura untuk mendapatkan rawatan perubatan atas kehendak mereka sendiri membentuk sekitar 1.5 peratus daripada jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan pesakit yang menjalani pembedahan di institusi-institusi kesihatan awam.

Demikian menurut jawapan parlimen Kementerian Kesihatan (MOH) pada 18 November 2018. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan