Skip to main content

Singapura

NUH uji kaedah rawatan lebih berkesan, kurang kesan sampingan bagi pesakit barah tahap akhir

Hospital Universiti Nasional (NUH) sedang menjalankan ujian terhadap kaedah kemoterapi yang lebih berkesan bagi pesakit barah tahap akhir.

Anggaran Waktu Membaca:
NUH uji kaedah rawatan lebih berkesan, kurang kesan sampingan bagi pesakit barah tahap akhir
Diterbitkan : 15 Mar 2021 11:07PM Dikemas Kini : 15 Mar 2021 11:09PM

SINGAPURA: Hospital Universiti Nasional (NUH) sedang menjalankan ujian terhadap kaedah kemoterapi yang lebih berkesan bagi pesakit barah tahap akhir.

Bentuk rawatan itu juga didapati kurang memberi kesan sampingan dan 80 peratus lebih berkesan dalam mengecilkan tumbuhan.

Prosedur dengan nama singkatan PIPAC, menyasarkan sel barah dalam perut khususnya pesakit yang mengalami barah usus, gastrik dan ovari.

Tidak seperti kaedah kemoterapi biasa di mana ubat disuntik melalui salur darah dan aliran intravena, sebuah mesin mengubah ubat menjadi ttisan air sebelum dipam langsung ke dalam perut pesakit.

Ini dilakukan menerusi prosedur teknik menebuk lubang kecil yang mengambil masa sekitar 30 minit.

"Disebabkan kami menggunakan tekanan udara yang tinggi untuk suntik titisan kecil ini, ubat kemoterapi ini dapat masuk lebih dalam lagi dalam sel tumbuhan dan meningkatkan lagi keberkesanan membunuh sel-sel barah," kata Profesor So,Ketua dan Konsultan Kanan Pembedahan Am NUH.

Tambahnya, kesan sampingan juga minimal kerana rawatan itu lebih tersasar, lantas tidak banyak ubat yang digunakan akan menyerap ke dalam aliran darah pesakit.

Hasilnya amat meyakinkan sejauh ini dengan ukuran tumbuhan bagi 60 peratus hingga 80 peratus pesakit semakin mengecil.

Lebih 30 pesakit sudah menjalani PIPAC sejak ia diuji pada lewat 2016, termasuk Encik Rozaimi, 61 tahun, yang merupakan pesakit barah gastrik tahap 4.

"Perbezaan yang ketara sekali - tangan dan kaki saya tidak ada rasa sakit. Rasa sakit sekejap semasa dicucuk. Terapi sebelumnya, jalan jarak dekat sahaja, harus berhenti untuk duduk baru boleh sambung jalan," katanya yang mula menjalani rawatan dua minggu lalu pada 2 Mac.

Sebelum ini, Encik Rozaimi telah menjalani lapan pusingan kemoterapi, namun hasilnya tidak menggalakkan.

"Pada pusingan kelapan, saya rasa begitu lemah sekali. Setiap kali, seluruh badan saya sakit, tidak boleh disentuh. Alhamdulillah saya lebih lega sekarang kerana PIPAC tidak ada kesan sampingan. Baik sejauh ini,"ujar Encik Rozaimi. 

Sumber : CNA/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita