NUH sahkan pengayuh basikal tidak laporkan luka tembakan sewaktu di jabatan kecemasan
Seorang lelaki, yang mengalami luka tembakan semasa berbasikal di kawasan hutan larangan berdekatan Nee Soon Range, tidak mendedahkan bahawa beliau ditembak sewaktu dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH).
Bangunan Jabatan Kecemasan di NUH. (Foto: Laman NUH)
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap NUH berkata pada Jumaat (20 Jun) bahawa lelaki itu mendaftarkan diri ke jabatan kecemasan pada pukul 1.00 petang pada 15 Jun lalu.
Semasa melakukan pengasingan (triage) dan penilaian klinikal, lelaki itu "tidak melaporkan bahawa beliau ditembak", menurut NUH.
Berdasarkan keterangan lelaki itu dan situasi sewaktu beliau dimasukkan ke hospital, "tiada sebarang tanda-tanda ketara" yang menunjukkan bahawa ia kecederaan berkaitan dengan senjata api, tambahnya.
Oleh demikian, "tiada asas bagi aduan polis dibuat pada ketika itu", menurut pihak hospital.
NUH menyatakan polis dimaklumkan serta-merta sebaik sahaja punca luka tembakan itu "ditentukan secara muktamad".
"Kami bekerjasama penuh dengan pihak polis dalam siasatannya dan tidak dapat memberi komen lanjut bagi menghormati kerahsiaan pesakit, dan kerana kes ini masih dalam siasatan."
Berhubung rawatan yang diberikan kepada lelaki itu, NUH menyatakan beliau diberi layanan segera, berdasarkan protokol trauma standard dan diberi pemantauan teliti.
Jagaan sewajarnya diberikan berdasarkan penilaian klinikal pasukan dan lelaki itu didapati berada dalam keadaan stabil sepanjang masa, jelasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.