Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUH perluas sokongan dan khidmat psikologi untuk bantu pesakit dewasa, keluarga

Lebih ramai pesakit yang menghidap penyakit-penyakit kronik dan anggota keluarga mereka bakal meraih manfaat daripada program Khidmat Sokongan bagi Kanak-Kanak dan Keluarga Muda (CAFSS).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih ramai pesakit yang menghidap penyakit-penyakit kronik dan anggota keluarga mereka bakal meraih manfaat daripada program Khidmat Sokongan bagi Kanak-Kanak dan Keluarga Muda (CAFSS).

Ini setelah program perintis yang dikhususkan buat pesakit kanak-kanak itu diluaskan untuk membantu pesakit dewasa juga.

Program yang dikendalikan oleh Hospital Universiti Nasional (NUH) itu menawarkan jagaan dan khidmat psikologi buat para pesakit yang mengalami penyakit kronik dan keluarga mereka.

Sejauh ini, sebanyak sembilan keluarga dan 21 peserta sudah meraih manfaat daripada program itu.

Antara, dengan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti seperti kaunseling, terapi seni dan kelas-kelas mengenai strategi keibubapaan.

Kini, NUH menyasar untuk membantu sehingga lagi 12 keluarga.

Ini dialu-alukan ibu bapa pesakit yang sudah meraih manfaat daripada program itu seperti Cik Adilah Samad dan suaminya.

BANTU ERATKAN HUBUNGAN KELUARGA

Apabila doktor mengesahkan anak bongsu mereka, Aafiyah (bukan nama sebenar) yang mengalami Sindrom Down, menghidap penyakit ginjal kronik tahun lalu, kekuatan mental dan emosi mereka diuji.

Cik Adilah perlu membahagikan masa untuk menjaga Aafiyah di samping lagi dua orang anaknya, Aminah dan Aisyah (bukan nama sebenar) yang berusia enam dan tujuh tahun.

Malah, selepas Aafiyah disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik, Cik Adilah mendapati perilaku anak-anaknya, iaitu Aminah dan Aisyah kian berubah.

Misalnya, Aminah mula buat perangai dan Aisyah juga mahukan lebih perhatian daripadanya yang sibuk menumpukan perhatian terhadap Aafiyah.

Dek keresahan dan kebimbangan yang mengganggu fikiran dan emosinya, Cik Adilah membuat keputusan untuk mengikuti program CAFSS bersama anak-anaknya pada Januari 2023.

HUBUNGAN SESAMA KELUARGA KINI LEBIH BAIK

Menerusi sesi-sesi kaunseling dan terapi, Cik Adilah bukan sahaja lebih peka untuk menangani keresahannya dengan cara yang lebih sihat, tetapi juga keperluan anak-anaknya.
(Gambar: NUH)

Contohnya, beliau menghadiri sesi terapi seni dengan anak keduanya, Aisyah untuk merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain.

Sementara itu, anak sulungnya, yang ditemani suaminya menerima sokongan psikososial.

"Daripada aktiviti yang saya lalui melalui sesi-sesi ini, saya belajar kemahiran-kemahiran untuk cara mengatasi keresahan saya sendiri dan juga cara untuk berkomunikasi dengan lebih baik, bukan hanya dengan suami saya tetapi dengan anak-anak saya juga. Ini termasuk cara untuk saya mengatasi cabaran saya. Ia membantu saya untuk menguatkan semangat dan ubah pemikiran saya," kongsi Cik Adilah kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Menurutnya lagi, anak-anaknya kini boleh berkomunikasi dengan lebih baik dengannya setelah menghadiri program tersebut.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa syukurnya kerana kini lebih mesra dengan anak keduanya dan akur bahawa program itu amat membantu hubungan keluarganya.

"Saya belajar bagaimana untuk merapatkan hubungan dengannya (anak kedua) kerana hubungan saya dengannya sebelum ini agak renggang kerana masa saya lebih diutamakan untuk uruskan anak bongsu saya. Jadi dari situ saya belajar cara merapatkan semula hubungan antara anak-anak saya dan antara satu sama lain. Hubungan keluarga kami kini lebih erat," kongsi Cik Adilah lagi.

Oleh itu, penting bagi lebih banyak sokongan untuk dihulurkan kepada keluarga pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti yang ditekankan Ketua Psikologi, Jabatan Pediatrik, Khoo Teck Puat - Institut Perubatan Kanak-Kanak Universiti Nasional (KTP-NUCMI), Ng Siau Hwei.

"Kami sebenarnya mendapati trend yang membimbangkan iaitu lebih ramai kanak-kanak dan ibu bapa, termasuk adik-beradik yang memerlukan sokongan ahli terapi. Berdasarkan kajian, keluarga para pesakit yang menghidap penyakit kronik memang memerlukan lebih banyak sokongan psikososial kerana isu-isu kesihatan mental meningkatnya dengan ketara bagi golongan ibu bapa dan adik-beradik," kata Cik Ng.

Program itu dirintis pada 2022 untuk membantu pesakit bawah usia 18 tahun dan keluarga mereka.

Dengan sumbangan daripada Dana Masyarakat EtonHouse, keluarga-keluarga itu hanya perlu menanggung 20 peratus biayanya.

Melihat kesan positif program itu, NUH mengambil keputusan untuk meluaskannya bagi membantu pesakit dewasa dan keluarga mereka juga.

Program CAFSS itu akan berterusan sehingga 2026.

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan