Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUH mohon maaf kerana biarkan wanita hamil tanpa pengawasan selama 2 jam; akan semak proses hospital

Hospital Universiti Nasional (NUH), pada Khamis (24 Mac), memohon maaf atas satu kejadian yang berlaku pada minggu lalu di mana seorang wanita hamil ditinggalkan tanpa pengawasan selama dua jam di Jabatan Kecemasan (ED) hospital itu dan kemudian kehilangan bayinya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hospital Universiti Nasional (NUH), pada Khamis (24 Mac), memohon maaf atas satu kejadian yang berlaku pada minggu lalu di mana seorang wanita hamil ditinggalkan tanpa pengawasan selama dua jam di Jabatan Kecemasan (ED) hospital itu dan kemudian kehilangan bayinya.

"Kami sangat berdukacita atas kehilangan keluarga itu dan akan terus memberi sokongan dan jagaan kepada mereka semasa tempoh sukar ini," menurut NUH dalam satu catatan Facebook awal hari ini.

Suami wanita itu berkongsi pengalaman isterinya yang hamil 36 minggu dalam satu catatan Facebook. Pengguna dengan nama Mee Pok Tah, berkata isterinya dimasukkan ke NUH pada 15 Mac kerana mengalami pendarahan.

Selepas pemeriksaan awal dijalankan, wanita itu dibiarkan tanpa pengawasan selama dua jam sebelum dihantar ke wad bersalin, menurut catatan Facebook berkenaan.

Doktor kemudian memaklumkan kepada pasangan itu bahawa isterinya sudah mengalami keguguran.

"Saya tidak dapat berhenti memikirkan jika bayi itu dapat diselamatkan jika mereka memberi rawatan dengan segera," menurut catatan itu yang dimuat naik pada Isnin (21 Mac).

"KAMI MOHON MAAF"

Menurut NUH, wanita itu segera diperiksa sebaik sagaja tiba di Jabatan Kecemasan hospital tersebut.

"Kami mendapati keadaannya stabil dan pendarahan yang dialami sudah berkurangan semasa dalam perjalanan ke hospital," menurut NUH.

"Semasa pemeriksaan awal, tanda-tanda vitalnya berada dalam keadaan normal. Beliau juga berkata mengalami sakit sederhana dan dinilai sebagai 2/10 dalam skor rasa sakit oleh jururawat kami."

Namun oleh kerana wad bersalin ketika itu penuh, pesakit berkenaan tidak dapat dipindahkan dari jabatan kecemasan ke wad bersalin, menurut NUH.

Beliau sebaliknya diletakkan dekat dengan stesen jururawat supaya lebih mudah dilihat bagi pemantauan lebih dekat.

"Beliau menunggu selama dua jam dan ini seharusnya tidak berlaku dalam hal sedemikian, dan kami memohon maaf," menurut NUH.

"Pada ketika itu, kami sepatutnya melakukan lebih banyak lagi untuk menyediakan pengawasan lebih teliti dan jagaan serta memaklumkan pesakit tentang keadaannya."

Di wad bersalin, ujian 'ultrasound' menunjukkan tiada degupan jantung yang disebabkan komplikasi di mana plasenta terlepas dari dinding rahim. Keadaan itu tidak diduga dan jarang berlaku, menurut NUH.

NUH menyatakan amat "mencabar"bagi hospital itu untuk mengekalkan piawai khidmat jagaan di tengah-tengah penularan COVID-19. Ini disebabkan oleh jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital bagi kes baru COVID-19 dan keadaan perubatan bukan berkaitan COVID.

Buat masa ini, semua wanita hamil yang positif COVID-19 dan kandungan mereka melebihi 36 minggu dimasukkan ke tiga hospital awam untuk penjagaan dan bersalin.

Pada malam kejadian itu, NUH menyatakan ia sedang menguruskan lagi tiga wanita hamil di jabatan kecemasan dan wad bersalin.

"Kakitangan hospital di kedua-dua wad ED dan bersalin sangat sibuk kerana perlu menguruskan kes-kes mendesak tersebut," menurut NUH, sambil menambah ia akan menyemak prosesnya "bagi memastikan kejadian sedemikian tidak akan berulang lagi".

NUH menyatakan ia sudah bertemu dengan pasangan itu pada Rabu dan menghargai peluang untuk menjawab keprihatinan mereka secara langsung.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dan memastikan kesejahteraan pesakit," tambah NUH.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan