Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUH gesa orang ramai jangan buat spekulasi wanita mengalami keguguran ketika tunggu di A&E

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hospital Universiti Nasional (NUH) pada Selasa (22 Mac) menggesa orang ramai supaya jangan membuat spekulasi mengenai insiden di mana seorang wanita mengalami keguguran ketika menunggu selama dua jam di Jabatan Perubatan Kecemasan (A&E), walaupun mengalami pendarahan yang banyak dari saluran kelahirannya.

Suami wanita itu, Encik Mee Pok Tah memuat naik catatan ke laman media sosial pada Isnin (21 Mac) mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada 15 Mac. Sejak itu, catatan tersebut tular di media sosial.

Menurut catatan tersebut, isterinya yang sedang hamil 36 minggu, mula mengalami pendarahan yang banyak ketika sedang mandi pada sekitar 9.30 malam pada Selasa.

Selepas menelefon 995 untuk mendapatkan bantuan kecemasan, pasukan paramedik tiba dalam masa sepuluh minit dan isterinya dengan segera dibawa ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) NUH.

Setibanya di A&E pada sekitar 10.30 malam, pasukan paramedik memberitahu jururawat yang bertugas mengenai keadaan isteri beliau, yang ketika itu masih mengalami pendarahan yang banyak.

Lelaki itu mendakwa isterinya dibiarkan seorang diri di A&E selama sekitar dua jam sebelum seorang jururawat membantu menyediakan peranti pemantauan untuk memeriksanya.

Sepanjang tempoh itu, pasangan itu tidak dimaklumkan tiada katil di wad bersalin dan tiada doktor atau jururawat datang untuk memeriksa keadaan isterinya, menurut catatan tersebut.

Pada 12.48 pagi, isterinya dibawa ke wad bersalin di mana doktor dan jururawat merawatnya.

Namun, selepas memeriksa isteri dan bayi dalam kandungannya, doktor memaklumkan isterinya bahawa walaupun mempunyai struktur jantung, bayinya tidak mempunyai degupan jantung dan sudah meninggal dunia.

Dalam catatan Facebooknya, NUH menyatakan pada Selasa (22 Mac) bahawa pihaknya sedia maklum tentang catatan berkenaan dan laporan mengenai insiden tersebut.

"Kami sudah menghubungi pihak keluarganya dan menghulurkan sokongan dalam masa yang sukar ini. Sebagai menghormati keluarga tersebut, kami memohon pemahaman orang ramai supaya jangan membuat spekulasi tentang kejadian ini," tegas NUH dalam catatan Facebooknyau.

Encik Mee juga sudah mengemas kini catatan awalnya untuk memaklumkan bahawa beliau menerima panggilan daripada NUH semalam (21 Mac) pada 12.30 tengah hari. NUH memberi jaminan kepada pasangan itu bahawa siasatan sedang dijalankan.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan