Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUANSA: Peranan penting cerita rakyat bagi pembangunan kanak-kanak

Kita sering dihiburkan dengan cerita-cerita kembara Sang Kancil, seekor haiwan kecil yang berjaya mengatasi lawannya yang lebih besar dan kuat seperti harimau, ular dan buaya. Cerita-cerita sebegini yang disampaikan oleh orang-orang tua kita sering dimulakan dengan frasa “Pada suatu masa dahulu” dan diakhiri dengan kata-kata nasihat bijak pandai dan pengamatan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kita sering dihiburkan dengan cerita-cerita kembara Sang Kancil, seekor haiwan kecil yang berjaya mengatasi lawannya yang lebih besar dan kuat seperti harimau, ular dan buaya. Cerita-cerita sebegini yang disampaikan oleh orang-orang tua kita sering dimulakan dengan frasa “Pada suatu masa dahulu” dan diakhiri dengan kata-kata nasihat bijak pandai dan pengamatan mereka.

Cerita-cerita rakyat ini bermula daripada tradisi penglipur lara yang disampaikan secara turun-temurun, dari satu generasi ke satu generasi. Setiap penceritaan ceritanya yang disampaikan akan sentiasa berkembang dan berubah serta disesuaikan dengan pendengarnya.

Cerita-cerita rakyat ini juga mencerminkan nilai-nilai dan adat budaya asal cerita ini dan digunakan untuk menyampaikan nilai moral serta membentuk sifat perwatakan kanak-kanak yang mendengarnya.

Di Perpustakaan Negara terdapat koleksi Sastera Kanak-Kanak Asia, sebuah khazanah yang menghimpunkan sebanyak 13,000 bahan dari China, India dan Asia Tenggara. Koleksi ini juga kaya dengan buku cerita rakyat dalam Bahasa Melayu, termasuk pelbagai cerita popular yang ditulis oleh pelbagai penulis dan diterbitkan semula untuk menarik minat pembaca muda mahupun yang tua.

Cerita-cerita ini termasuklah cerita Sang Kancil, Pak Pandir, Musang Berjanggut, Bawang Putih, Bawang Merah, Awang Kenit, Hikayat Hang Tuah, Badang, Sangkuriang dan Si Tanggang.

Pelbagai Jenis Sastera Rakyat

Sastera rakyat ini sukar untuk dikategorikan sebab genrenya sering bertindan. Namun, di dalam pengajian sastera Melayu, cerita-cerita rakyat ini dibahagikan seperti berikut:

•keperwiraan,
•cerita haiwan,
•mitos dan legenda,
•cerita hantu,
•cerita epik dan
•cerita pari-pari 1

Cerita-cerita rakyat ini tercipta daripada keadaan sekeliling dan sebahagian besarnya dari budaya Melayu itu sendiri.

Sebagai cerita yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, cerita-cerita ini menyorot tentang nilai moral dan juga sejarah bersama masyarakat.

Dengan berlalunya masa, cerita-cerita ini disesuaikan dan diadaptasi mengikut keperluan kehidupan semasa tetapi tujuan asalnya, yakni menyampaikan nilai moral dan nilai positif tetap kekal.

Sewaktu saya membesar, ada beberapa cerita-cerita rakyat yang diminati. Cerita-cerita ini amat membuat saya teruja dan sering membacanya berulang kali.

Pengembaraan Sang Kancil

sang kancil

Sang Kancil Mengira Buaya
RAC 398.JAA [ACL]

Sang Kancil merupakan watak yang amat digemari di dalam cerita-cerita rakyat. Melalui kebijaksanaannya, Sang Kancil dapat mengalahkan dan memperbodohkan binatang-binatang yang lebih besar dan berbahaya daripadanya di hutan. Kisah pengembaraan Sang Kancil bukan sahaja menghiburkan, tetapi mengandungi pelbagai pelajaran untuk pembaca.

Bawang Putih, Bawang Merah

bawang putih bawang merah
Bawang Putih Bawang Merah
RAC 398.2 RIN [ACL]

Cerita ini merupakan kisah dua orang adik-beradik tiri yang berlainan ibu. Putih merupakan anak yang baik dan berbudi bahasa, sementara Merah amat sombong dan biadap. Cerita ini mengajar pembaca untuk bersabar ketika menghadapi rintangan dan cabaran, serta menghormati orang tua dan jangan bersifat tamak.

Selain itu, kisah ini ingin menyampaikan bahawa perbuatan baik akan mendapat ganjaran akhirnya. Cerita ini amat popular sehingga pernah dijadikan filem (Bawang Putih, Bawang Merah) pada akhir tahun 50an.

Pak Pandir

pak pandir
Koleksi Cerita Jenaka Pak Pandir
RAC 398.2 KOL [ACL]

Pak Pandir merupakan seorang penduduk kampung yang malas dan lurus bendul. Dia tinggal bersama isterinya Mak Andih. Cerita jenaka ini sering membuat pembaca tidak kering gusi. Namun perutusan penting yang ingin disampaikan adalah seorang yang lurus bendul dan kurang bijak sering ditimpa masalah.

Hang Tuah dan Badang

hang tuah
Himpunan Hikayat Hang Tuah
RAC 398.2 HIM [ACL]

Watak-watak luar biasa ini menzahirkan sifat-sifat keperwiraan dan berbakti kepada Sultan dan negara.

Hang Tuah merupakan watak pahlawan hebat dari Melaka, manakala Badang adalah seorang yang kuat dari Temasek (Singapura). Walaupun berlainan era, Hang Tuah dan Badang mencerminkan sifat-sifat utama dan murni dalam memberi khidmat dan kesetiaan mereka kepada negara. (Dan watak cerita-cerita ini juga pernah dijadikan filem. Pelakon terkenal P Ramlee melakonkan watak legenda Hang Tuah di dalam filem Hang Tuah pada tahun 1956 dan pelakon Wahid Satay membawa watak Badang di dalam filem Badang pada tahun 19624).

Sastera rakyat ini bukan hanya sekadar cerita yang disampaikan dari satu generasi ke generasi berikut. Cerita-ceritanya apabila dibaca dan disampaikan semula, tetap memelihara nilai-nilai moral yang positif dan terus menjadi inspirasi bagi pembaca dan pendengar untuk memahami masa lalu, kini dan masa depan.

Anda boleh membaca sastera rakyat yang tersohor ini dan juga meneroka yang baru melalui koleksi sastera Kanak-Kanak Asia Perpustakaan Negara yang terletak di tingkat 9, Bangunan Perpustakaan Negara.

Artikel ini telah diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris di Medium blog Perpustakaan Negara pada 10 Feb 2022. https://medium.com/the-national-library-blog/malay-folktales

MENGENAI PENULIS:

penulis
Juffri Supa’at adalah Pustakawan Kanan yang bertugas di Perpustakaan Negara Singapura. Beliau adalah kurator beberapa pameran yang menyorot sasterawan perintis Melayu seperti Masuri S.N., Muhammad Ariff Ahmad dan Abdul Ghani Hamid, selain mengumpulkan dan menjadi editor by kumpulan puisi Muhammad Ariff Ahmad and Suratman Markasan. Koleksi Sastera Kanak-Kanak Asia adalah salah satu koleksi di bawah tanggungjawabnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan