Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUANSA: Menghidupkan tradisi sastera dan seni dalam masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perkumpulan Seni (PS) yang terasas pada 1956 di Singapura, menyambut ulang tahunnya yang ke-65 baru-baru ini. Sempena tersambutnya ulang tahun itu adalah pelancaran dua buku, yakni sebuah antologi cerpen dan puisi berjudul Enigma dan Perjalanan Alang Budiman.

launch
Tangkap Layar video : Facebook/Perkumpulan Seni Singapura

Dalam Enigma terkumpul karya 22 penulis yang menghasilkan puisi-puisi dari pelbagai tema, dengan 17 penulis lagi di bahagian cerpen. Perjalanan Alang Budiman adalah antologi puisi sulung Chairul Fahmy Hussaini, nama yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan tanah air selain sebagai seorang wartawan mapan.

Paling teristimewa, majlis sambutan ini diadakan di The Pod, Perpustakaan Negara pada Sabtu lalu yang disempurnakan dengan kehadiran Presiden Halimah Yacob. Bagi pertubuhan budaya setempat, khasnya Perkumpulan Seni, kehadiran Puan Presiden adalah penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan budayawan dan aktivis seni tanah air.

mci
Gambar: MCI

Majlis yang sederhana ini adalah usaha kepimpinan dan ahli Perkumpulan Seni untuk terus aktif menyumbang bakti seni, yang terangkum di dalamnya penerbitan karya sastera. Tercatat pada 1984, novel Jamal Ismail berjudul Songsang, sebuah karya yang pada zamannya menyumbang suatu kesegaran baru telah diterbitkan oleh Perkumpulan Seni.

Syabas kepada Perkumpulan Seni semoga ke depan terus menyongsong kegiatan seni budaya yang berseri dan bermakna.

Peranan pertumbuhan setempat dalam menggerak budaya, seni dan sastera harus terus digalak dan disambut. Usaha melestarikan budaya adalah tugas kebudayaan yang wajar berdenyut dan menghidupkan cakerawala kehidupan yang terkandung nilai-nilai sejagat seraya memberati segi-segi adil, akal dan anggun.

BUKU
Gambar: Facebook/Perkumpulan Seni Singapura

Inilah antara teras yang perlu. Lewat budaya dan sastera, terlafaz suara adil, terukur dengan kesungguhan akal, dan terungkap anggun pada bentuk dan isi.

Kewajaran ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru. Ia sudah terbekal awal dalam dunia persuratan yang telah berakar di Alam Melayu. Perhatikanlah cita manusia sempurna yang disebut “orang budiman” dalam Tajussalatin, sebuah teks etika dan hikmah ketatanegaraan Melayu yang ditulis oleh Bukhari al–Jauhari.

Antara yang digubal oleh pujangga ini adalah kesempurnaan kepimpinan, termasuk manusia biasa, harus terganding kekuatan dan kemampuan akal dan adil.

Akal, dalam teks yang terkarang pada 1603M ini adalah padanan untuk kekata budi, yang sudah lama terpakai dalam bahasa Melayu. Ertinya orang budiman itu adalah orang berakal. Namun budiman itu bukan semata-mata pada segi nalarnya, tetapi juga kedalaman rohaniah dan sikap berdiri atas keadilan. Dianjurkan Bukhari yang bermadah :

"Didengarlah olehmu hai yang budiman
Budi itulah sungguh pohon insan
Kerana ihsan itu peri budilah
Jika lain maka lain jadilah.”


Dipertalikan orang budiman ini dengan insan yang akur hubungan dengan Sang Pencipta; yang teguh yakin kepada pemikiran rasional, dan peduli akan peri keadilan, pentingnya sifat bertanggungjawab dan amanah.

Sanjungan pada orang budiman ini sebenarnya sangat dekat dengan konteks penulis kita. Kita maklum penulis hari ini berjuang dengan pena. Ini senada dengan sanjungan kepada kalam (pena) yang disebut dalam Tajussalatin.

Kalam itu adalah lambang keintelektualan atau persuratan. Bukhari al-Jauhari menegaskan bahawa pedang tidak boleh melakukan kerja yang dilakukan kalam, sedangkan kalam boleh menyempurnakan pekerjaannya pedang. Itulah kekuatan kalam, melebihi pedang.

Jelas sekali ini memancarkan aliran pemikiran yang menyanjungi kepujanggaan yang berfikir daripada kepahlawanan yang hanya mengungguli kuasa dan kekuasaan.

Dari lembaran teks lama ini, boleh kita tarik gubahan pemikiran yang boleh kita angkat sebagai salah satu tradisi sastera dan pemikiran yang pernah wujud dan berkembang dalam peradaban kita.

Kalau diperpanjangkan makna orang budiman dan kepujanggaan, maka para penulis yang berbakat dan tekun berbakti hari ini wajar pula disebut sebagai barisan orang budiman yang diperlukan dalam masyarakat.

Lain perkataan, penulis sebagai orang budiman sayugia diakur sebagai pemikir dan penajam ilham pena, demi merubah manusia dan dunia.

mci
Gambar: MCI 

CELIK TRADISI SENI SASTERA

Para penulis kita pastinya datang dari pelbagai latar dan kecenderungan pemikiran dan nilai. Namun para penulis, mahu tidak mahu, harus sedar bahawa mereka bergerak dalam dunia idea dan imaginasi yang menuntut ketajaman dan kehalusan puitika dan politika.

Perimbangan antara kedua-dua dimensi ini akan menjadi kayu ukur kepada keampuhan karya mereka.

Penulis juga pastinya maklum bahawa dalam sejarah ada tradisi sastera, seni dan pemikiran yang berkembang dan menyumbang. Inilah yang disebut tradisi sastera/seni dan pemikiran yang mana setiap satu penulis dan seniman harus setidak-tidaknya dapat mengerti bahawa dunia penulisan dan penciptaan yang sedang mereka berkecimpung ini bukanlah semata-mata medan legar untuk meluah dan mempamer sahaja karya-karya mereka.

Disebut perkara ini kerana ada kecenderungan dalam kalangan segelintir penulis yang beranggapan bahawa menulis itu sekadar “mengisi ruang,” “menyalurkan luahan emosi,” atau semata-mata mereka menulis kerana berasa hak menulis dan tidak ada apa-apa misi dan idealisme yang mahu dipegang.

Pastilah masing-masing berhak menyatakan kecenderungan mereka, namun perlu diingat adanya konsep taman sastera yang sudah terbangun dalam masyarakat kita. Masuk ke gelanggang sastera, justeru itu ada keistimewaan dan pertanggungjawabannya sekali gus.

WRITER
Gambar: Sumber Web

Sebagaimana yang pernah dilafazkan oleh Usman Awang dan A Samad Said sewaktu mereka berdua bertugas di Singapura:

“Kesusasteraan bukanlah taman bunga tempat orang sesekali datang berehat-rehat menghirup udara segar dalam masa lapangnya. Kesusasteraan ialah rumah dan kehidupan manusia yang berombak dan bergelombang, dengan denyut nafas dan degup jantungnya….Tidak saja manusia mempunyai tujuan dalam hidupnya, kesusasteraan pun mempunyai tujuan. Jika manusia hidup mempunyai tujuan yang diterimanya sebagai suatu tugas, maka kesusasteraan pun mempunyai tujuan dan kewajiban yang disebut sebagai tema dan tugas sastera.

Sastera bukanlah hanya sastera semata, tetapi sastera adalah alat untuk mencapai tujuan, iaitu menajamkan pandangan manusia terhadap kehidupannya, mempertinggi kesedarannya dan memperkaya jiwa yang keseluruhannya mempertinggi tingkat peradaban manusia.”

USMAN
Usman Awang Gambar: Sumber Web/Thoughtful Malay

Inilah pentingnya mengapa para penulis perlu peka kepada kepentingan tradisi. Tradisi yang dimaksudkan ini bukanlah hal-hal warisan atau budaya tradisional yang kita warisi semata. Tradisi adalah nilai asas yang menjadi penggerak dan pembekal sewaktu sesebuah masyarakat itu menjalani arus perubahan.

Tradisi pada intinya mewakili nilai-nilai kemanusiaan, yang bentuk dan sifatnya boleh berubah berdasarkan konteks zaman dan tempat. Dengan kefahaman kepada tradisi yang ampuh, ia memperkaya kekreatifan ilham, serta mempertajam pemikiran untuk merespons kepada tantangan semasa.

Semangat untuk menuang ilham dalam bercerita dan melantun puisi adalah kerja kebudayaan yang menuntut berkesenian dalam ketukangan berkarya, berkesanggupan ambil endah dan keberanian berpihakan.

Bila unsur-unsur ini terbangun mantap, barulah naratif sastera dan seni dapat hadir dan mengembang baik.

Pendek kata, usaha mengumpul dan menerbit karya sastera mengarah kepada matlamat membangun ketukangan penulis yang perlu terus diasah dan perlu pematangan mencari gaya, terpenuh oleh tradisi pemikiran yang berkemajuan dan berkemanusiaan, sambil membuat perbandingan dengan tradisi sastera dan seni yang lain.

Kepedulian yang lahir dari pengalaman, ilmu dan perasaan yang kesemuanya ini sayugia menjadi saksi sejarah dan kemanusiaan.

books
Gambar: Sumber Web

Itulah pada bakatnya para penulis untuk menjadi perakam zaman dan hayat.

Sesungguhnya manusia sastera sebagai orang budiman harus dapat menggetar semangat dan memberi sumbu pencerahan kepada khalayak masyarakat. Mereka laksana apa yang pernah Keris Mas menyebut:

“Pelita cinta kan hidup jua
Menyinar jiwa hasrat bebas.”


Itulah tradisi sastera yang harus kita semai dan bangunkan. Ia pernah terbangun berseri pada kurun dan dekad berlalu. Ke depan inilah amanah dan pertanggungjawaban kita membangunkannya bersama.

Melestarikan tradisi juga menuntut menyukat dan menimbang tradisi yang telah lama terpakai dan terpaham.

Sebagaimana pernah dilantunkan oleh Masuri S N “pedih-pedih ukuran sekarang di dalam merombak tradisi usang.”

Sebegitu juga dengan ajakan Syed Hussein Alatas, yang pernah berbicara di depan para sasterawan:

“Kedaulatan akal, kesempurnaan moral dan harga diri adalah gelanggang yang perlu dimasuki oleh sasterawan kita dewasa ini, kerana kita sedang menghadapi kekacauan pandangan sekitar masalah-masalah ini. Kesedaran terpendam masyarakat kita perlu ditimbulkan hingga menjadi sinar yang nyata dan mempengaruhi kemajuan hidup kita.”

Obor pencerahan dari orang budiman, yakni para sasterawan, seniman, budayawan, cendekiawan malahan agamawan, terus diperlukan dalam masyarakat kerana merekalah menjadi penyulam dan pengilham adab kemanusiaan.

Ia harus hidup dan terus menghidupi.

MENGENAI PENULIS:

azhar

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan