Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUANSA: Kebangkitan ahli terapi Melayu untuk dikenali di persada dunia

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Selepas terbentuknya Persatuan Perubatan Warisan Melayu pada awal tahun ini, muncul pula buku ringkas mengenai profil para ahlinya yang meliputi ahli urut, bekam sehingga akupunktur.

Apakah pada zaman teknologi canggih, termasuk dalam bidang perubatan, terapi tradisional masih bertempat?

Mohd Raman Daud mengulas buku, ‘Urutan Kontemporari Terapis Melayu Singapura’ yang dilancarkan di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 4 Jun lalu.


Suatu ketika dahulu, kisah ahli urut Melayu, terutama bidan kampung, hanya disampaikan dari mulut ke mulut.

Zaman berubah.

pic

Sejak munculnya Internet, kehadiran mereka kian terpapar bukan saja di media perdana, bahkan menerusi Facebook mereka dan pelbagai wadah digital yang lain.

Terkini pula dilancarkan buku mengenai profil mereka yang agak panjang judulnya – ‘Rencam Terapi Ragam Terapis – Urutan Kontemporari Terapis Melayu’. Ia ditulis dan disusun oleh wartawan veteran, Encik Saini Salleh dan ahli terapi profesional, Encik Abdul Latiff Ahmad, dua sahabat sejak di bangku sekolah, kini dalam usia lewat 60-an.

Majlis pelancarannya di Perpustakaan Daerah Woodlands dirasmikan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang juga adalah Pengerusi Majlis Bahasa Melayu.

Buku yang menampilkan 22 pengurut (tukang urut) yang dipanggil ‘terapis’ dari bahasa Inggeris, 'therapist' tertumpu kepada profil mereka belaka – ada kisahnya agak panjang dan ada pula yang ringkas saja, sekadar menggariskan kelayakan sahaja.

Mereka adalah antara ahli pendiri Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM) yang baru diluluskan pendaftarannya pada 14 Februari tahun ini.

Dengan sekitar 80 ahli, PPWM pimpinan Encik Zainal Abidin Abdul Rahman, berhasrat untuk mempertingkatkan hemah dan imej perubatan warisan Melayu secara ilmiah dan tersusun serupa seperti yang dilalui perubatan tradisional Cina (TCM).

BUKU PANDUAN

Ditulis dengan bahasa Melayu yang polos lagi lancar ala wartawan, buku ini bak sebuah panduan atau direktori.

Ia tampaknya tidak bertujuan untuk menerangkan apakah konsep urutan tradisional Melayu, cabang dan ketertibannya.

Sebaliknya, ia sekadar mencoretkan kalangan ahli terapi Melayu di nusa ini. Segelintir seperti Haji Bakri Abu Bakar pernah berkhidmat di pelbagai pelosok dunia termasuk menyantuni bintang aksi Hollywood seperti Jean-Claude Van Damme dan bintang Hong Kong, Jackie Chan.

pic

TERAPI RENCAM

Buku setebal lebih 200 halaman ini dilengkapi sejumlah foto terkini dan lama bagi setiap 22 ahli terapi yang ditonjolkan.

Tentulah ini membantu pembaca untuk mengenal pasti siapakah mereka dan mungkin juga menempah khidmat mereka.

Namun tidak semua melaksanakan perubatan tradisional Melayu sahaja tetapi ‘mengadunkan’ juga perubatan tradisional Cina seperti akupunktur (penggunaan jarum di garis/meridian tubuh), pengubatan Islam (ruqyah dan bekam), pengubatan India seperti Ayurveda dan urutan cara Barat.

ACU
Gambar: Pexels

Yang cukup menarik ialah kalangan ahli terapi ini gigih menimba ilmu secara teratur dan diktiraf.

Antara lain, ada yang meraih gelaran ‘doktor’ seperti yang dilalui Dr Mohd Hadinata Roslan yang antara rawatannya terpapar di wadah YouTube. Sijil kelayakan Dr Hadinata dari bidang osteopati dan sebagainya boleh dikatakan panjang. Ini merupakan contoh luar biasa yang dapat meningkatkan imej ahli terapi Melayu.

SIHIR DAN MISTIK

Namun ada juga rawatan ‘mengusir’ jin atau makhluk halus daripada tubuh pesakit seperti yang terpapar pada profil pengubat Mohamed Yusoff Osman yang tinggal di Marsiling.

Kisahnya menjebak toyol (jin yang mencuri wang) agak lucu juga kerana memaparkan kepercayaan segelintir orang Melayu di sini.

Walaupun amalan ‘ruqyah’ (merawat dengan ayat-ayat suci Al-Quran) kian meluas, masih terdapat anggapan dan curiga kononnya tukang urut Melayu masih mengamalkan rawatan yang dilarang agama.

Ada pula ahli urut seperti Cik Rafeah Abu Bakar yang menekuni bidang urutan secara tidak sengaja selepas mengurut ibunya yang memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

mesagge

Terpapar ahli terapi yang ‘mantap’ nama dan khidmatnya seperti Haji Saat Jais yang dianggap pakar masalah ‘batin’ kepada sejumlah kaum lelaki di negara ini.

TAHAP SELANJUTNYA

Apakah kelak dengan adanya sebuah ‘persatuan’, akan berlaku semacam ‘revolusi’ pada amalan dan bidang rawatan warisan Melayu?

Ini soalan cepu emas yang amat bergantung kepada tekad kental kepimpinan PPWM dan sikap saling sokong-menyokong antara ahlinya serta kemampuan untuk mendanai biasiswa, geran kajian dan sebagainya.

Dahulu, memang jarang terfikir bahawa pawang dan tukang urut Melayu boleh dapat bekerjasama kerana mereka menjaga ‘ilmu’ dan pengalaman masing-masing sehingga dibawa mati.

Tidak hairanlah penubuhan PPWM dan penerbitan bukunya mendapat sambutan, termasuk daripada Hj Maarof Salleh, mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan para ahli terapi dari Malaysia dan Indonesia.

Diharap buku ini dapat dipersembahkan juga dalam bentuk elektronik dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Isinya juga perlu lebih padu, mantap dan menarik di ruang siber atau laman sawang PPWM untuk tatapan antarabangsa.

Jelaslah demi tuntutan masa dan keterbukaan minda, tampak suatu terobosan berlaku untuk membawa seni urut-mengurut dan pengubatan warisan Melayu ke persada jagat.

MENGENAI PENULIS:

nuansa

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. 

Sumber : BERITA Mediacorp//fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa