Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUANSA: Buku terbaru Dr Humairah Zainal & Dr Kamaludeen Mohamad Nasir bincang isu identiti dan jati diri

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Buku terbaru Dr Humairah Zainal & Dr Kamaludeen Mohamad Nasir bincang isu identiti dan jati diri

Petikan daripada buku Dr Maznah Mohamad dan Dr Khairudin Aljunied, “Melayu: Politik, Poetik dan Paradoks Kemelayuan”. (Gambar: National University of Singapore Press)

BERITAmediacorp: Beberapa buku sudah dikaryakan tentang kewarganegaraan atau identiti Melayu.

Sebagai contoh, karya-karya orientalis seperti buku Anthony Miler “Orang Melayu”.

Ada karya-karya lain seperti buku Dr Maznah Mohamad dan Dr Khairudin Aljunied, “Melayu: Politik, Poetik dan Paradoks Kemelayuan”.

Buku terbaru Dr Humairah Zainal dan Dr Kamaludeen Mohamad Nasir mencerakin bagaimana elit dan khalayak ramai memahami identiti di persimpangan masyarakat dan individu. Buku mereka berjudul “Kemodenan Primordial Kewarganegaraan Melayu”.
Buku terbaru Dr Humairah Zainal & Dr Kamaludeen Mohamad Nasir berjudul “Kemodenan Primordial Kewarganegaraan Melayu”. (Gambar: Dr Humairah Zainal/blog)
Kedua-dua penulis memulakan buku mereka dengan kajian kes mengenai pertembungan antara rakyat Malaysia dan Singapura mengenai Nasi Lemak walaupun kedua-dua negara saling berkongsi akar umbi sejarah yang sama.

Mereka berhujah bahawa rakyat kedua-dua negara ini telah mengalami perkembangan sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya dan mereka menekankan betapa pentingnya menganalisis interaksi antara golongan elit dan orang ramai dalam membina identiti dan kewarganegaraan.

Dengan berbuat demikian, mereka memberi suara kepada orang ramai dan kredit kepada mereka dalam pembinaan identiti dan langsung tidak menggambarkan orang ramai sebagai ketandusan agensi seperti yang digambarkan beberapa kajian yang lain. Mereka menggunakan konsep kemodenan primordial.

APA ITU PRIMORDIALISME?

Ada dua istilah yang perlu dikupas. Primordialisme merujuk kepada esensialisasi dan keturunan kewarganegaraan dan etnik sedangkan kemodenan terletak di medan global, di mana sudut global itu adalah unsur penting keadaan kemodenan.

Penulis menyarankan kepada para pembaca supaya memahami identiti seperti identiti kebangsaan atau etnik, primordialisme dan kemodenan perlu dicantumkan dan digabungkan.

Kajian ini dilakukan pada tahun 2010 dan 2015 di mana peristiwa penting berlaku seperti perhimpunan Bersih di Malaysia dan pemergian perdana menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Penulis-penulis meletakkan kajian mereka dalam tradisi analisis diskursif. Dengan menggunakan Analisis Wacana Kritikal, mereka berusaha untuk memahami nasionalisme, kewarganegaraan dan negara sebagai satu bentuk wacana yang tertanam dalam dan berkesinambungan dengan konteks sosial di mana ia berlaku.

Mereka menggambarkan 'elit' sebagai individu yang menerajui atau menyerlah di sidang pemerintah, ekonomi, budaya, masyarakat sivil dan agama. Ini termasuk golongan budayawan, elit agama, pemegang jawatan politik dan kumpulan masyarakat sivil.

Orang ramai dianggap bertindak secara aktif dan bukan hanya selaku penerima pasif inisiatif-inisiatif dan projek-projek yang dicetuskan dan diselenggarakan golongan elit. Orang ramai mempunyai agensi dan terlibat secara aktif dengan pembinaan identiti kebangsaan. Penulis meneliti ucapan golongan politikus, surat khabar, buku teks, majalah, filem dan banyak lagi yang dihasilkan oleh golongan elit dan orang ramai.

Dalam Bab 3 bertajuk Kosmopolitanisme Berpecah-Belah, kedua-dua penulis bercakap mengenai konstruksi elit tentang wujudnya “Masalah Melayu” di Singapura dan “Dilema Melayu” di Malaysia. Penulis-penulis menyenaraikan kajian yang membentangkan stereotaip positif dan negatif orang Melayu. Stereotaip positif termasuk orang Melayu yang baik, murah hati dan juga tampan. Penulis-penulis kemudian mendalami kosmopolitanisme orang Melayu. Salah satu contohnya ialah kadar perkahwinan antara etnik dan transnasional dalam kalangan kaum Melayu yang lebih tinggi dan ini merupakan satu isyarat kosmopolitanisme Melayu.
Gambar: Pixel
Walau bagaimanapun, perkahwinan antara etnik sesuatu yang dianggap melanggar pantang larang tidak rasmi di negara jiran Malaysia. Ini disebabkan dasar kerajaan pengasingan etnik seperti pemisahan etnik dalam sistem sekolah serta keengganan orang ramai untuk menyeberangi sempadan etnik dalam perkahwinan.

Penulis juga berpendapat bahawa Singapura lebih bersifat memandang dalam berbanding dengan Malaysia yang memandang ke luar berkenaan dengan sikap mereka terhadap orang asing. Bagi orang Melayu Singapura, orang Melayu mempunyai tindak balas yang bercampur aduk terhadap orang asing. Ini termasuk menyambut kedatangan mereka dengan baik tetapi juga bertolak ansur dengan mereka hanya kerana keperluan dan pergantungan kepada mereka. Perpaduan dengan ummah, adalah penting dalam kalangan rakyat Malaysia dan orang Melayu, yang lebih aktif berpolitik.

Walaupun Malaysia menerima golongan pelarian Rohingya, mereka masih kurang bernasib baik kerana mereka tidak mempunyai modal ekonomi atau etnik yang diperlukan. Penulis kemudian membincangkan kosmopolitanisme Singapura yang terperangkap, di mana kosmopolitanisme Melayu Singapura diuruskan dengan teliti oleh pemerintah melalui dasar sosialnya dan kosmopolitanisme pilih-memilih Malaysia, di mana orang Melayu Malaysia memilih bidang kehidupan sosial di mana mereka memeluk kosmopolitanisme.

Dalam Bab 4, kedua-dua penulis menangani etno-agama. Penulis-penulis menggambarkan keadaan pensekuritian umat Islam melalui pembangunan Muslim ideal dan kerjasama dengan pemimpin agama. Sebagai contoh, terdapat projek Identiti Muslim Singapura yang merupakan sebahagian daripada projek negara-negara yang lebih besar untuk menyahtransnasionalisasi Islam.

Di Singapura, sementara golongan elit melukis gambaran positif tentang kepelbagaian sosiobudaya, orang ramai, seperti yang dipaparkan dalam filem dan novel pendek, sebahagian besarnya mewakili Singapura sebagai masyarakat di mana dasar imigresen mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Bagi Malaysia, konsep Maruah Melayu sangat diutamakan pembelanya kerana Islam merupakan faktor terpenting dalam menginstitusikan hegemoni Melayu di negara Malaysia. Setelah menjelaskan contoh bagaimana orang Melayu Singapura bertekad untuk berjaya, kedua-dua penulis kemudian menjelaskan bahawa identiti budaya Melayu di Singapura dan Malaysia mempunyai elemen yang sama tetapi keutamaan dan tujuan yang berbeza.

Dalam Bab 5, penulis-penulis menggaris bawah kelestarian masalah Melayu dan dilema Melayu di Singapura dan Malaysia.

Mereka juga menyentuh isu-isu lama seperti ketidaksamaan. Mereka juga bercakap tentang ketegangan antara tanggapan dominan tentang kemajuan dan kepercayaan budaya Melayu. Ada pandangan yang menarik mengenai pengaruh kepercayaan budaya Melayu terhadap kesihatan orang Melayu, di mana terdapat perselisihan antara perubatan tradisional Melayu dan bioperubatan.
Gambar: Pixel
Mereka juga tidak teragak-agak untuk menafikan retorik Kerohanian Kampung, di mana antara sebab-sebab lain, kerjasama orang-orang kampung tidak lahir daripada nilai-nilai individu dan kumpulan tetapi berakar umbi dari kekurangan struktur dalam institusi negara yang tidak mencukupi pada masa lampau.

Dalam Bab 6 mengenai golongan elit, kedua-dua penulis berbincang tentang kepimpinan politik berselindung di Singapura berbanding dengan kepimpinan ekspresif di Malaysia. Di Singapura, golongan politikus elit Melayu mengamalkan strategi diskursif "pintu tertutup terbuka" untuk menguruskan perasaan dan harapan masyarakat Islam tempatan. Sebagai contoh, isu hijab yang hangat di Singapura dahulu. Kedua-dua penulis juga menyifatkan rakyat Singapura sebagai rakyat yang tidak suka dengan konfrontasi berbanding rakyat Malaysia yang lebih proaktif. Mereka juga menyentuh bagaimana golongan agamawan elit di Malaysia melayari ruang yang dipertandingkan secara aktif berbanding dengan golongan agamawan elit Singapura yang bersedia bekerjasama dengan pemerintah Singapura.
 
Gambar: Pixel
Buku ini memberikan penghujahan yang dibentangkan dengan cara bernas, padat dan meyakinkan. Cara kedua-dua penulis menghuraikan isu-isu yang dikemukakan sangat menarik dan menambahkan pengetahuan kita tentang kewarganegaraan dan identiti Melayu di Singapura dan Malaysia.

Tetapi, untuk mengelak daripada dikritik sebagai kulturalis, mungkin kedua-dua penulis boleh berbincang tentang ekonomi politik negara-negara tersebut dengan lebih tuntas. Sebagai contoh, neoliberalisme sebagai idelogi, dasar-dasar dan cara memerintah boleh diteliti sebagai satu ciri ekonomi politik kapitalisme yang mempengaruhi pembangunan identiti oleh elit dan orang ramai.

Dari segi metodologi, mungkin kedua-dua penulis boleh menguatkan lagi pengumpulan data dengan mewawancara elit-elit dan orang ramai serta menyertai projek etnografi supaya dapat menangkap nuansa-nuansa yang tidak dirakam dalam teks, visual dan audio rasmi dan tidak rasmi.

Kedua-dua penulis juga boleh menekankan dengan cara yang lebih meyakinkan mengapa 'studi inti pati diskursif' kemelayuan mereka patut diceburi dari sudut membina dasar-dasar dan program-program yang dapat membantu masyarakat.

Kedua-dua penulis harus bertanya bagaimana untuk menyampaikan kerelevanan projek mereka supaya tidak dikritik sebagai ahli akademik yang mempunyai minda tertawan yang mengikut hala penelitian yang ditentukan imperialisme akademik dan tidak membumikan penelitian mereka dalam masalah-masalah konkrit tempatan.

Walaupun ini bukanlah sesuatu yang diperlukan dari lensa akademik pragmatis, ia akan membantu pegawai-pegawai dasar dan golongan politikus elit untuk melakarkan dasar dan program yang lebih mantap bagi kesejahteraan masyarakat.

Ia juga akan memperkasakan orang ramai dengan semangat emansipatif.

Akhirulkalam, buku ini sangat penting bagi para peneliti pengajian Melayu, ahli sosiologi dan para akademik serta peneliti sains kemasyarakatan yang lain.

Tetapi ia juga penting bagi orang ramai dan golongan elit supaya mereka dapat bekerjasama untuk membina negara-negara yang menyumbang kepada kesejahteraan para penduduk masyarakat majmuk mereka, termasuk rakyat dan bukan rakyat, serta untuk menjalin hubungan antara Malaysia dan Singapura yang baik.

Buku ini juga penting dibaca secara kritis demi membina ilmu yang lebih menyeluruh tentang pengajian Melayu.
MENGENAI PENULIS:
Faris Ridzuan lulusan jurusan sains kemasyarakatan Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah seorang penyelidik yang menyumbang secara aktif kepada masyarakat sivil dan sektor sosial.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan