Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUANSA: Azam Merekayasa Bahasa Bawean

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Daripada 7,000 bahasa yang diketahui di dunia, satu pupus setiap dua minggu sejak abad ke-20M.

Lain halnya pada bahasa Bawean? Buku ‘Aocak Phebien’ dapat dijadikan sandaran pada usaha kalangan 250,000 insan keturunan Bawean – sekitar 80,000 terdapat di pulau asalnya dan bakinya berupa diaspora (tebaran) termasuk di Singapura dan Malaysia.

MAMPUKAH BAHASA BAWEAN BERTAHAN?

Antara jawapannya terpapar pada buku 'Aocak Phébién' (AP, Berbahasa Bawean) oleh pengumpul dan penulis Cik Amanah Mustafi, 63 tahun, yang dilancarkan oleh Persatuan Bawean Singapura (diasaskan pada 1934) dan dirasmikan oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman baru-baru ini.

Buku yang dilengkapi kod QR untuk belajar sebutan bahasa Bawean ini sekali gus memaparkan sepintas lalu budaya kaum Bawean di pulau Bawean dan juga yang dipanggil Bawean Selat iaitu yang tinggal di Singapura (sekitar 50,000 jiwa).

Hakikatnya, sekitar 7,000 bahasa yang diketahui dunia pupus lebih cepat daripada spesie – satu setiap dua pekan/minggu.

Sepanjang sejarah insan, memanglah bahasa muncul dan pudar.

Namun kadar pupus bahasa dipercepatkan oleh penyejagatan (globalisation), penaklukan (imperialisme), pemerjajahan (neokolonialisme) iaitu penggunaan pelbagai pengaruh ekonomi dan sebagainya ke atas negara bekas jajahan sehinggalah penyingkiran bahasa.

Menurut para bahasawan, 90% daripada semua bahasa yang ada hari ini akan pupus dalam tempoh 100 tahun atau pada 2122!

SENTUHAN PAKAR

Bahasa menunjukkan bangsa. Hal ini diakui buku AP setebal 298 halaman yang turut disunting rapi oleh dua mantan pustakawan, Cik Sundusia Rosdi (pernah menghasilkan dua buku mengenai masyarakat Bawean di nusa ini) dan juga Cik Rohayah Lani.

Proses penerbitan buku ini juga mendapat nasihat daripada pakar bahasa Bawean dari Pulau Bawean, Hj Burhanuddin Asnawi dan pakar bahasa Bawean setempat, Hj Salleh Ahmad (82 tahun, mantan penyiar radio dan penterjemah).

Selain itu, terpapar tenaga pakar dari segi audio seperti penyiar radio Abdul Rashid Sulaiman sehinggalah penataan buku ini dari segi pemilihan fon, grafik oleh Muhd Dzaki Mustafi serta penyusunan warna bab demi bab.

PADAT DAN MULUS

AP boleh dikatakan buku yang padat tetapi cukup mudah lagi polos untuk kegunaan insan keturunan Bawean atau pengkaji bahasa. Ia menampung 10 bab, sebuah epilog dan daftar lebih 3,000 kata dasar Bawean.

Keampuhan terkecil atau minimum bahasa ialah pada jumlah perkataan atau kosa katanya – sekurang-kurang 1,600 kata dasar utama untuk perhubungan. Ukur tara ini, antara lain, merujuk kepada Al-Quran yang kosa katanya menjadi antara asas bahasa Arab iaitu bahasa terbesar kosa katanya, sekitar 12 juta perkataan dan antara 10 bahasa terbanyak digunakan di dunia.

Buku ini turut menyorot hebatnya deria insan Bawean sehingga terpapar lebih 20 kekata mengenai rasa dan juga ‘kekurangan’nya (halaman 91) seperti tiada kekata bagi warna ‘hijau’ dan sering dikelirukan dengan ‘biru’ (phiru). Juga dipaparkan ciri serupa dan perbezaan antara bahasa Bawean dan bahasa Madura.

CITA CEMERLANG

Penghasilan sesuatu karya besar dan penting sering bersandarkan faktor-faktor pendorong. Dalam hal ini, sekurang-kurang ada tiga faktor pendorong:

Pertama, terdapat ‘cita cemerlang’ atau keghairahan untuk maju tanpa mengetepikan warisan dalam kalangan anggota masyarakat Bawean sendiri. Antara lain, masyarakat yang dikaitkan dengan kehidupan imigran daif iaitu berpondok (rumah besar yang dihuni sejumlah keluarga atau ponthuk) ini telah melahirkan Ridzwan Dzafir (1927-2011), antara penyandang jawatan awam tertinggi di Singapura sehingga pernah disebut-sebut sebagai calon presiden Singapura. Dua abangnya, Ahmad, tokoh pendidikan dan Abdul Karim, pemimpin kesatuan pelaut, juga mengukir nama di persada nasional.

Kedua, wujudnya perpaduan yang terpapar pada semangat ponthuk yang walaupun telah luput dek perubahan landskap perbandaran tetapi kemudian disemarakkan oleh Persatuan Bawean Singapura (PBS). Boleh dikatakan PBS merupakan antara badan suku kaum yang masih aktif sejak 1930-an dan segar mengalami pembaharuan pucuk kepimpian.

Seyogia, PBS yang terawal mengadakan pameran warisan dengan penampungan Taman Warisan Melayu Singapura pada 2014 dan pertama membukukan hasilnya.

IKATAN DIASPORA

Ketiga, terdapat ikatan diaspora Bawean yang masih utuh, terutama dari segi budaya yang mantap, sehingga membolehkan usaha sedemikian mendapat sambutan luas. Tidak hairanlah, majlis pelancaran buku ini mendapat sambutan di rantau ini lewat ruang siber.

Antara aktivis budaya Bawean di Malaysia, Encik Azroy Manaf, menilai buku ini sebagai suatu penerobosan.

Seperti diakui oleh penulisnya, Cik Amanah dan para penyunting, memang terdapat kekurangan pada buku ini – mungkin dari segi sebutan yang menuntut tanda-tanda linguistik dan sebagainya.

Namun buku ini yang ditulis dengan bernas – lengkap dengan menimba peribahasa dan falsafah masyarakat Bawean – dapat dianggap rujukan penting ke arah pelbagai usaha selanjutnya.

Misalnya, adakah masyarakat Bawean akan memasuki ikatan ekonomi bak dirintis diaspora terbesar, rumpun Cina?

Kemajuan pesat dan luar biasa besar Tanah Besar China sejak 1976 antara lain mendapat sokongan besar diasporanya, termasuk dari Asia Tenggara (melibatkan Singapura).

Jadi, adakah Pulau Bawean (200 km persegi) yang dikenali sebagai Pulau Puteri (kerana nisbah perempuan yang tinggi akibat pemerantauan kaum lelakinya) kelak dapat dibantu oleh anak-anak Bawean dari seberang laut?

Pelaburan dari diaspora seperti dalam kes China, bak merekayasa pembangunan dan kelestarian warisan.

AP yang mendapat sokongan dana Lembaga Warisan Negara (NHB) wajar dibanggakan sebagai sumbangan Singapura membangunkan khazanah warisan rantau atau rumpun Melayu. Elok sekali, langkah tahap lanjut PBS ialah menyediakan AP dalam bentuk buku elektronik (e-buku) agar dapat dibaca oleh seluruh dunia dan mungkin mengundang lebih banyak natijah yang membina dari segi kajian sehinggalah pengembangan budaya.

Odik Phébién (Hidup Bawean).

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS:

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan