Skip to main content

Singapura

NTUCFairprice potong harga 50 produk; diskaun tambahan bagi Generasi Merdeka

NTUC FairPrice mengumumkan dua daya usaha baru untuk membantu meringankan kos sara hidup warga Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Mar 2019 03:43PM Dikemas Kini : 18 Mar 2019 11:56PM

SINGAPURA: NTUC FairPrice mengumumkan dua daya usaha baru untuk membantu meringankan kos sara hidup warga Singapura.

Di bawah inisiatif yang diumumkan pada Isnin (18 Mac), rangkaian pasar raya itu akan mengekalkan harga 100 produk menggunakan jenama mereka sendiri atau apa yang dikenali sebagai house brands, dari sekarang hingga 30 Jun 2020. Tawaran ini dibuka kepada semua pelanggan.

FairPrice juga mengumumkan hari ini akan menurunkan harga bagi 50 lagi barang keperluan asas, jenamanya sendiri.

Dengan ini, menurut syarikat tersebut, barangan yang dijual adalah sekurang-kurangnya 20 peratus lebih murah berbanding barangan serupa di bawah jenama utama yang lain.

Barang-barang dipilih berdasarkan barangan harian popular yang dibeli pelanggan, termasuk makanan asas dan produk pembersih rumah.

Inisiatif kedua yang diumumkan syarikat itu pula bertujuan untuk menyokong anggota Generasi Merdeka.

Bermula 1 Julai, golongan itu akan ditawarkan potongan harga tiga peratus bagi semua pembelian di FairPrice pada hari Rabu.

Generasi Merdeka merujuk kepada mereka yang dilahirkan antara 1950 dengan 1959. Pelanggan perlu menunjukkan kad Generasi Merdeka mereka atau kad pengenalan yang sah. Diskaun akan ditawarkan selama setahun.

CEO FairPrice Seah Kian Peng menekankan komitmen syarikatnya untuk menyediakan pilihan yang dimampui untuk warga Singapura.

"Sebagai sebahagian kumpulan Perusahaan Sosial NTUC yang memainkan pelbagai peranan bagi warga Singapura, FairPrice terus memainkan peranan untuk mengawal kos sara hidup," kata beliau dalam satu kenyataan.

"Tambahan lagi, kami menghormati Generasi Merdeka dengan menawarkan lebih banyak penjimatan di samping melanjutkan initiatif diskaun Warga Emas dan Generasi Perintis."

Inisiatif terbaru itu ditawarkan menyusuli pengumuman Pemerintah mengenai pakej Generasi Merdeka yang pertama kali dibincangkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu.

Di bawah Pakej Generasi Merdeka itu, sekitar 500,000 warga Singapura akan menerima tokokan MediSave, subsidi bagi jagaan pesakit luar serta premium MediShield Hayat. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita