Skip to main content

Singapura

NTUC tubuh majlis tiga pihak bantu pekerja, perniagaan tangani impak AI

Sebuah majlis baharu yang ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menghimpunkan rakan-rakan kongsi tiga pihak bagi menawarkan sokongan yang lebih baik kepada para pekerja dan syarikat-syarikat perniagaan dalam menangani impak kecerdasan buatan (AI).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2026 06:52PM Dikemas Kini : 17 May 2026 01:16PM
SINGAPURA: Sebuah majlis baharu yang ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menghimpunkan rakan-rakan kongsi tiga pihak bagi menawarkan sokongan yang lebih baik kepada para pekerja dan syarikat-syarikat perniagaan dalam menangani impak kecerdasan buatan (AI).

Penubuhan Majlis Pekerjaan Tiga Pihak itu diumumkan bersama oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), NTUC dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) pada Khamis (30 Apr), menjelang perhimpunan Hari Buruh pada Jumaat (1 Mei).

"Majlis Pekerjaan Tiga Pihak akan memperluaskan jangkauan, mempercepatkan pelaksanaan dasar dan menyalurkan sumber yang lebih baik kepada yang paling memerlukannya, bagi mengukuhkan kesediaan AI bagi pekerja merentasi ekosistem pekerjaan," kata Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng dan Presiden NTUC K Thanaletchmi dalam perutusan Hari Buruh mereka.

Pada Rabu (29 Apr), Encik Ng berkata semasa satu taklimat media bahawa majlis baharu itu akan menyokong Misi AI dan Majlis AI Kebangsaan, yang diumumkan dalam Belanjawan tahun ini.

Beliau berkata penubuhan majlis itu juga mencerminkan komitmen perikatan tiga pihak untuk mengukuhkan keselamatan pekerjaan dalam era AI, menyokong transformasi perniagaan dengan lebih baik untuk pekerjaan dan memperkasakan pekerja melalui latihan dan pemadanan pekerjaan.

"AI mengubah cara kita bekerja dan penting para pekerja kita tidak ketinggalan," kata Encik Ng.

"Majlis Pekerjaan Tiga Pihak boleh menyatukan dan meningkatkan keupayaan tiga pihak di bawah satu bumbung sedang kita mengambil tindakan kolektif untuk berdiri teguh bersama semua pekerja, terutamanya PME dan belia," katanya sambil merujuk kepada golongan profesional, pengurus dan eksekutif.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng menggariskan tiga bidang di mana majlis tersebut akan memberi tumpuan, iaitu menyokong perniagaan untuk mendakapi AI dalam cara yang memberi manfaat kepada pertumbuhan, pekerjaan dan pekerja; menyediakan latihan AI yang meluas kepada para pekerja; dan menghulurkan sokongan peralihan bersasar kepada para pekerja yang berisiko.

"Kami akan menerajui transformasi yang inklusif, berpandangan jauh, lincah, pragmatik dan juga praktikal dalam tindakan kami," katanya.

Beliau menarik perhatian kepada kira-kira 1,600 kursus AI yang dipilih susun di bawah SkillsFuture, dan akses percuma selama enam bulan bagi alat premium AI untuk rakyat Singapura yang mengikuti kursus-kursus terpilih.

Dr Tan berkata ideanya adalah untuk menjadikan celik AI "seluas mungkin" dalam tenaga kerja dan membantu para pekerja menilai tahap kesediaan mereka, sebelum mereka menimba kemahiran untuk menjadi cekap menggunakan AI.

"Ia tidak seharusnya terikat kepada pekerjaan, tetapi untuk mengikuti kursus untuk membiasakan diri dahulu, dan kemudian menggunakannya dengan cekap," katanya.

Beliau juga berkata terdapat ruang untuk rakan-rakan kongsi tiga pihak mendampingi syarikat-syarikat perniagaan yang menggunakan AI.

Beliau menukil tinjauan ke atas 2,560 syarikat pada suku pertama 2026, yang mendapati sekitar 70 peratus daripadanya belum lagi menggunakan AI.

Presiden SNEF Tan Hee Teck berkata para majikan mengiktiraf potensi AI dalam meningkatkan produktiviti, memacu inovasi dan mengekalkan daya saing.

"Tetapi banyak firma, seperti SME, berdepan cabaran yang sangat praktikal, seperti kos penggunaan AI, jurang kemahiran dan kurang kepakaran dalaman," katanya.

Menurut data rasmi, penggunaan AI dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana (SME) meningkat tiga kali ganda kepada 14.5 peratus pada 2024 namun ia masih jauh ketinggalan berbanding 62.5 peratus syarikat-syarikat lebih besar yang sudahpun menggunakan AI.

"Jika trend ini berterusan, jurangnya semakin melebar, bukan sahaja antara SME dengan firma-firma lebih besar, tetapi juga dalam kalangan pekerja," kata Encik Tan.

Pada suku pertama 2026, SNEF mendampingi lebih 420 syarikat untuk membantu mengenal pasti keperluan perniagaan masing-masing, mencipta pekerjaan dan aliran kerja dan menyepadukan AI ke dalam proses mereka.

Menyifatkan penubuhan majlis itu sebagai tepat pada masanya, Encik Tan berkata: "Kita memerlukan ketangkasan dan penjajaran untuk membantu para majikan merebut peluang baharu daripada AI, di samping membina sebuah tenaga kerja yang sedia AI."

Butiran lanjut mengenai komposisi dan pelan tersebut akan diumumkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

ALAT AI BERSUBSIDI

NTUC juga mendedahkan butiran mengenai rancangannya untuk menawarkan subsidi sehingga separuh kos langganan alat premium AI kepada anggota NTUC.

Ia diumumkan sebagai sebahagian daripada inisiatif AI-Ready SG oleh NTUC pada Februari lalu, di samping langkah pemerintah menyediakan akses percuma selama enam bulan bagi alat premium AI kepada rakyat Singapura yang mendaftarkan diri bagi kursus-kursus tertentu SkillsFuture.

Terdapat 21 alat AI yang layak khususnya: Adobe Firefly, Blackbox AI, Canva, CapCut, ChatGPT, Claude, Copy.ai, ElevenLabs, Github Copilot, Google AI, Jasper AI, Kimi, Leonardo.Ai, Manus, Midjourney, Notion AI, Otter AI, Perplexity, Replit, Studley AI dan Suno.

Mulai 1 Mei 2026 hingga 30 April 2028, para anggota NTUC boleh melanggani alat AI menggunakan faedah mereka di bawah Program Bantuan Latihan Kesatuan (UTAP) yang bertujuan untuk menampung kos latihan.

UTAP menawarkan pembiayaan yuran kursus sehingga S$250 setiap tahun kepada setiap anggota NTUC.

Had itu dinaikkan seganda kepada S$500 bagi anggota yang berusia 40 tahun dan ke atas, manakala anggota NTUC lebih muda yang berusia antara 18 hingga 25 tahun boleh mendapatkan bantuan sehingga S$200.

Para anggota harus selesai menjalani sekurang-kurangnya satu kursus AI yang diluluskan UTAP pada tahun sebelumnya, walaupun alat AI yang dilanggani tidak perlu mempunyai sebarang kaitan dengan kursus yang diikuti.

Senarai alat AI yang layak akan disemak secara berkala untuk memastikan ia kekal relevan.

Encik Ng juga memberi kemas kini mengenai inisiatif bimbingan dan latihan AI di bawah AI-Ready SG.

Lebih 4,000 pekerja sudah mendaftar bagi kursus AI di NTUC LearningHub (Hab Pembelajaran NTUC) sejak Februari lalu, manakala sebuah program bimbingan kerjaya bertujuan mendampingi lebih 4,000 mentor dan mentee sepanjang tahun depan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita