Skip to main content

Singapura

NTUC, M³@Geylang Serai, FairPrice Group & FairPrice Foundation rai kebersamaan dan perpaduan sempena Ramadan

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), M³@Geylang Serai, FairPrice Group dan FairPrice Foundation berganding bahu sempena Ramadan ini untuk menganjurkan majlis berbuka puasa untuk para penerima bantuan Muslim.

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC, M³@Geylang Serai, FairPrice Group & FairPrice Foundation rai kebersamaan dan perpaduan sempena Ramadan

Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng mengagihkan barangan dan keperluan berbuka puasa kepada penerima bantuan. (Gambar: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC)

SINGAPURA: Para penerima bantuan, pemohon kerja serta mereka yang menerima sokongan menerusi usaha M³ diraikan dan dapat melebarkan jaringan kenalan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), M³@Geylang Serai serta Yayasan FairPrice dan FairPrice Group pada Khamis (6 Mac).

Mereka termasuk para peserta latihan oleh e2i dan MENDAKI menerusi usaha di bawah bidang tumpuan keempat (FA4) M³.

FA4 menumpukan kepada pekerjaan dan daya kerja masyarakat.

Pengarah Operasi dan Pengerahan NTUC, Fahmi Aliman yang juga menerajui FA4 berkata majlis santai sebegini memberi satu peluang untuk mengeratkan silaturahim dan meningkatkan kesedaran mereka tentang jenis bantuan yang boleh mereka dapatkan.

Ini lebih-lebih menerusi kerjasama NTUC dengan M³ untuk memperkasa masyarakat menerusi kemahiran dan pekerjaan.

"Sebenarnya NTUC bersama dengan M³ ini adalah satu gabungan yang bagus sekali, terutama sekali dalam FA4 kerana mereka menggunakan ekosistem yg sedia ada ada di NTUC dan juga ada peringkat kebangsaan, LLI, WSG dan SSG dan seterusnya. Jadi di sini kita banyak cabangan atau banyak jalur yang perlu dilakukan untuk merapatkan diri kepada masyarakat Melayu yang mungkin sekarang ini rasa susah sedikit untuk dapat pekerjaan," jelas Encik Fahmi yang juga merupakan Datuk Bandar Daerah Tenggara.
 
Pengarah Operasi dan Pengarahan NTUC, Encik Fahmi Aliman, mengagihkan barangan dan keperluan berbuka puasa kepada penerima bantuan. (Gambar: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC)
Majlis berbuka puasa yang diadakan di IVORY by Pu3 itu dihadiri sekitar 150 orang.

Para hadirin juga menerima Pek Ihsan Ramadan yang mengandungi kurma, susu soya dan juadah berbuka puasa yang lain.

Sepanjang Ramadan ini, FairPrice Group akan mengagihkan Pek Ihsan Ramadan kepada lebih 1,300 penerima bantuan MENDAKI di tiga kolej ITE dan Pusat Satelit MENDAKI.

Turut hadir di acara ialah Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng dan para pemimpin Melayu/Islam pelbagai kesatuan.

Dalam kesempatan itu, Encik Fahmi Aliman juga berkongsi tentang pelbagai inisiatif dan program yang dilakarkan FA4 untuk membantu masyarakat Melayu/Islam dalam menangani cabaran pekerjaan.

"Dalam rangka kerja M³ dalam FA4, kita menerajui unsur-unsur mencari pekerjaan untuk masyarakat,Melayu/Islam kita di Singapura. Bukan sahaja pekerjaan tetapi kemahiran di mana banyak pekerjaan akan berubah.

"Kita akan memberikan mereka satu wadah di mana mereka dapat mempertingkatkan kemahiran mereka. Di sini kita telah banyak bergabung bukan saja dengan M³ tetapi juga MUIS, Mendaki dan juga MESRA. Di mana kami menggunakan ekosistem NTUC seperti e2i dan learning hub. Kita menggunakan wadah wadah latihan di mana ramai sebenarnya masyarakat Melayu kita dapat meraih keuntungan dalam mempertingkatkan kemahiran mereka," kata Encik Fahmi.

Ini menurut beliau dapat menyediakan satu saluran bagi masyarakat untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dan mendapat latihan untuk menjalankan tugas mereka dengan baik kelak.

Tambah beliau, tumpuan utama FA4 tahun ini ialah buat pekerja-pekerja mampan, warga senja, mereka yang ingin mengubah sektor pekerjaan, wanita yang ingin kembali ke alam pekerjaan dan pekerja platform.

Encik Fahmi juga percaya inisiatif seperti berbuka puasa bersama akan menyokong masyarakat Melayu Islam, terutama sekali dalam bulan Ramadan.

"Alhamdulillah, sebenarnya dalam bulan Ramadan ini kita selalu mengadakan berbuka puasa bersama kerana ini adalah satu wadah untuk kita menjalinkan silaturahim.

"Di sini kita dapat mengenali satu sama lain, dapat membantu mereka dan juga disini kita dapat memberikan mereka kesedaran di mana dan apakah lagi yang kita boleh bantu," kongsi Encik Fahmi.

Dalam majlis ini juga, para penerima bantuan juga dapat berkongsi pengalaman dan bagaimana mereka telah meraih manfaat daripada usaha-usaha M³ dan NTUC.

Antara mereka ialah Encik Mohamad Taufik Mohamad Taha. Beliau berkata, "NTUC e2i telah membantu saya untuk mengemas kini resume dan mengusulkan peluang-peluang pekerjaan yang ada. Ia sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan terutamanya dalam bulan Ramadan ini serta menjelang lebaran."

Lagi seorang penerima bantuan yang hadir ialah Cik Nur Shafika.

"Saya rasa amat positif kerana dengan pengalaman NTUC FA4 ini sangat memberi saya untuk berdikari untuk mencari kerja dan ia memberi saya keyakinan yang tinggi untuk mencari kerja," ujarnya.

Usaha akan dipertingkatkan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani NTIC dan MENDAKI pada Februari 2022. Sekitar 15,000 individu telah meraih manfaat daripada MoU itu sejauh ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita