Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC lancar program dampingi pekerja selama setahun; kumpul pandangan pelbagai lapisan usia, sektor

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC lancar program dampingi pekerja selama setahun; kumpul pandangan pelbagai lapisan usia, sektor

Pekerja pejabat di Raffles Place di Singapura pada 4 Januari 2022. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 12 Aug 2022 10:37AM Dikemas Kini : 12 Aug 2022 11:02PM
SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) melancarkan program mendampingi pekerja selama setahun pada Khamis (11 Ogos) dengan tujuan untuk memahami kebimbangan, keutamaan dan aspirasi mereka serta bagaimana NTUC boleh menyokong dalam kehidupan mereka.

NTUC merancang untuk melibatkan sekurang-kurangnya 20,000 pekerja tempatan dari semua peringkat usia dan sektor bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pekerjaan dan perbaharui kompak dengan pekerja dalam sesi perbincangan #EveryWorkerMatters, menurut NTUC dalam kenyataan media mereka.

Sesi-sesi perbincangan itu diharap akan mendedahkan cara-cara baru unutk membantu pekerja berjaya dalam kerjaya mereka, perihal jaminan yang diperlukan di semua peringkat kehidupan mereka serta perlindungan yang perlu disediakan bagi segmen pekerja yang lebih mudah terdedah kepada risiko, menurut NTUC.

Dengan maklumat itu, NTUC akan membentangkan cadangan dengan tujuan untuk melaksanakan perubahan.

NTUC menyatakan sesi perbincangan akan memanfaatkan usaha mendampingi pekerja yang sedia ada untuk memahami dan memperjuangkan keperluan mereka, termasuk Pasukan Bertindak pengurus dan eksekutif (PME) dan Pasukan Bertindak Belia yang baru dilancarkan.
Tinjauan yang dijalankan NTUC sebelum ini melibatkan 1,000 pekerja di Singapura pada Jun menunjukkan tiga keprihatinan utama penduduk iaitu kurangnya kemajuan kerjaya, tidak cukup kuasa seimbang untuk merundingkan terma pekerjaan lebih baik dan keseimbangan dalam kehidupan dan
kerja.

Dalam surat yang ditujukan kepada semua pekerja di Singapura, Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng membentangkan visi beliau bagi masa depan kerja
yang ingin diperjuangkan pergerakan buruh itu bagi pekerja di mana mereka juga memainkan peranan.

Encik Ng mempelawa semua pekerja di Singapura untuk mengambil bahagian dalam membantu NTUC memahami "keprihatinan, keutamaan dan aspirasi" pekerja.

"Matlamat kami mudah. Ia adalah untuk memastikan pekerja mempunyai pekerjaan yang mereka banggakan. Membantu menjamin mata pencarian pekerja. Memberi pekerja masa depan lebih cerah - dengan pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik," ujar beliau.

DUNIA TIDAK MENENTU, PERUBAHAN DEMOGRAFIK DAN PROFIL PEKERJA

Peri perlunya diadakan sesi perbincangan itu didorong oleh dunia yang tidak menentu, perubahan kepada demografik dan profil pekerja serta aspirasi yang berubah-ubah, menurut NTUC.

Keluarga lebih kecil dan penduduk yang semakin menua mempunyai keperluan baru, tambah NTUC.

Encik Ng akur bahawa siri perbincangan adalah sesuatu yang "amat sukar" ketika pekerja bimbang mereka akan menjadi terlalu lelah bekerja disebabkan pelbagai tanggungjawab yang dipikul, dengan majikan bimbang mengenai daya penghasilan.

"Jadi bagaimanakah boleh kami satukan perkara ini dalam tempoh 12 bulan akan datang dan memperkenalkan cara baru untuk dicuba?" tanya beliau.

KUMPUL PANDANGAN SEMUA LAPISAN PEKERJA

Siri sesi perbincangan itu akan mengambil pendekatan tiga fasa dengan peringkat pertama melibatkan orang ramai untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai kompak dengan pekerja.

Fasa kedua akan melibatkan penganjuran satu siri bengkel dasar bersama rakan-rakan kongsi tiga pihak, institusi pengajian tinggi, badan masyarakat sivik, pengamal sumber manusia dan yang lain untuk "mencernakan saranan dan cadangan konkrit mengenai bagaimana kompak pekerja boleh diperkukuhkan," menurut NTUC.

Dalam fasa ketiga, NTUC akan mengeluarkan penemuan daripada fasa awal dan cadangan menjelang pertengahan 2023. NTUC akan bekerjasama dengan pemimpin 4G dan penggubal dasar pemerintah melalui 'Melakar Hala Tuju Singapura'.

"Melalui perbualan #EveryWorkerMatters, NTUC akan memastikan rintihan pekerja didengar. Kami berharap mendapatkan maklum balas berharga dan cadangan berguna bagi membentuk dasar dengan kepentingan pekerja sebagai terasnya. Pekerja adalah sebab kemajuan negara kita,” kata Encik Ng.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan