Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC lancar pasukan bertindak dampingi belia; sokong aspirasi warga muda imbangi kerjaya-hidup

Sebuah pasukan bertindak dilancarkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Sabtu (23 Jul) untuk lebih memahami aspirasi belia dalam mencari keseimbangan antara kerja dengan kehidupan serta menghulurkan sokongan kepada golongan tersebut dari segi kerjaya.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jul 2022 04:55PM Dikemas Kini : 23 Jul 2022 11:01PM
SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak dilancarkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Sabtu (23 Jul) untuk lebih memahami aspirasi belia dalam mencari keseimbangan antara kerja dengan kehidupan serta menghulurkan sokongan kepada golongan tersebut dari segi kerjaya.

Pasukan Bertindak Belia NTUC akan mendampingi 10,000 belia dalam satu usaha yang dijalankan selama setahun bagi mengetahui lebih banyak lagi tentang matlamat serta keprihatinan mereka.

Ini setelah dapatan daripada siri tinjauan serta perbincangan kumpulan fokus, yang dijalankan tahun ini dengan lebih 2,000 belia berusia antara 18 hingga 35 tahun, menunjukkan lebih 20 peratus responden menghadapi cabaran dalam peluang kerjaya mereka.

Para responden juga menyatakan mereka mahukan sokongan dari segi bimbingan dan perancangan kerjaya.

Satu kajian sedemikian, dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), mendedahkan bahawa tiga cabaran utama yang dihadapi golongan muda melibatkan peluang dan prospek kerjaya, kewangan serta kesihatan mental.

Bagi usaha pendampingan tersebut, pasukan bertindak berkenaan akan mendampingi belia berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Menurut NTUC, ia menyasarkan kumpulan usia khusus itu kerana mereka kini berada di "satu peringkat kehidupan di mana mereka mula merancang bagaimana mereka mahu memulakan kerjaya mereka dan bagaimana ia akan memenuhi aspirasi keseluruhan dalam mengimbangi antara kerja dengan kehidupan".

Ia akan berganding bahu dengan agensi-agensi pemerintah, Institut Pengajian Tinggi (IHL), kumpulan bantu diri, pertubuhan yang menyasarkan belia serta kumpulan belia, antara lain.

Warga muda Singapura yang melanjutkan pengajian mengikut laluan bukan tradisional seperti sukan, kesenian dan keusahawanan serta mereka yang tergapai-gapai dalam tahun-tahun awal mereka serta memerlukan peluang kedua juga tidak akan dipinggirkan.

Satu komponen utama pasukan bertindak itu adalah Hab Belia, sebuah pameran bergerak yang juga dilancarkan di LIT DISCOvery 2022 iaitu simposium tahunan Young NTUC khusus bagi mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian serta golongan anak muda yang bekerja.

Melalui hab itu, pasukan bertindak tersebut berusaha untuk mendampingi belia menerusi satu siri kegiatan di mana mereka boleh berkongsi apsirasi serta keprihatinan mereka.

Mereka juga boleh mengambil ujian profil kerjaya dan mempelajari tip untuk memulakan pekerjaan baru mahupun latihan amali.

Dengan rancangan untuk bekerjasama dengan IHL, Hab Belia akan berkunjung ke pelbagai sekolah serta ruang yang direka khas buat belia. Para belia juga boleh menyertai tinjauan, perbincangan kumpulan fokus serta kegiatan lain.

"Di akhir pendampingan selama setahun ini, Pasukan Bertindak Belia NTUC akan mengongsi pandangan dan mengemukakan saranan tentang bagaimana untuk menghulurkan sokongan lebih baik kepada belia dalam aspirasi mereka untuk mengimbangi antara kerja dengan kehidupan sedang mereka beralih dari seorang pelajar ke dewasa yang bekerja," terang NTUC.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong, selaku tetamu terhormat LIT DISCOvery 2022, merasmikan pelancarannya pada Sabtu.

Turut menghadiri acara tersebut adalah Presiden NTUC Mary Liew, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng, Penolong Setiausaha Agung Desmond Choo dan Setiausaha Eksekutif Young NTUC Wendy Tan di acara itu.
 
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan