NTUC gesa adakan sokongan bagi PME yang menganggur, tangani diskriminasi di tempat kerja
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menggesa adakan sokongan dan manfaat pengangguran buat para karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang tidak bekerja bukan atas dasar pilihan mereka, menurut Penolong Setiausaha Agung Patrick Tay hari ini (26 Ogos).
SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menggesa adakan sokongan dan manfaat pengangguran buat para karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang tidak bekerja bukan atas dasar pilihan mereka, menurut Penolong Setiausaha Agung Patrick Tay hari ini (26 Ogos).
Ini terutama sekali bagi PME mapan kerana mereka mengambil masa lebih lama untuk kembali menyertai tenaga kerja dan biasanya memikul komitment kewangan lebih berat, menurut beliau.
Sokongan seumpama itu adalah satu daripada empat bidang yang akan ditumpukan NTUC dalam saranan-saranan yang bakal diserahkan oleh pasukan bertindaknya pada suku akhir tahun ini.
Tiga bidang lain adalah untuk menangani diskriminasi di tempat kerja khususnya terhadap kerakyatan dan usia, memastikan lebih banyak peluang pengambilan kerja bagi PME mapan dan menyokong PME menajamkan kemahiran.
Encik Tay merupakan pengerusi bersama Pasukan Bertindak PME Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), yang sudahpun berunding dengan lebih 9,000 PME berusia antara 20 dengan 60 tahun mengenai keprihatinan dan keperluan utama mereka di tempat kerja.
Dua bidang keprihatinan utama yang dibangkitkan daripada sesi pendampingan bersama PME itu adalah keselamatan pekerjaan dan daya kerja, kata Encik Tay dalam satu taklimat maya media hari ini.
Walaupun keprihatinan itu sudah wujud sejak sebelum pandemik lagi, Encik Tay berkata COVID-19 "mempercepatkan, menonjolkan dan memburukkan" kebimbangan PME. Ini terutama sekali bagi PME mapan berusia 40 tahun dan ke atas.
“Kami juga melihat daripada statistik, bahkan sebelum COVID-19, bahawa PME mapan, apabila mereka kehilangan pekerjaan, mereka menempuh perjalanan lebih sukar, mengambil masa lebih lama untuk menyertai semula (tenaga kerja)," kata Encik Tay. Beliau menambah golongan itu lazimnya perlu menyara kedua-dua anak serta ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia.
BANTUAN KEWANGAN BAGI PENGANGGUR
Inilah sebabnya sokongan "peralihan" buat PME mapan, yang boleh dihulurkan dalam bentuk bayaran tunai, adalah satu aspek yang akan diperjuangkan NTUC.
Dalam respons kepada soalan wartawan mengenai butiran lanjut tentang perkara ini, Encik Tay berkata: "Ini tidak akan menjadi satu usaha mudah, saya rasa kami perlu mendalami perinciannya... terdapat banyak pertimbangan seperti "apakah peristiwa yang menjadi pencetus (mereka berhenti kerja), berapa banyak untuk diberi, berapa lama untuk diberi dan bila untuk mula memberi."
Beliau juga menarik perhatian bahawa kini sudah ada bantuan yang dihulurkan kepada pekerja yang diberhentikan, namun beliau berharap satu skim baru boleh membantu mereka yang tersepit.
"Cara ini adalah sesuatu yang baru...kami berusaha meluaskan batasannya," kata beliau. "Pada masa ini, sudah ada pelbagai skim sokongan kewangan, tetapi kami berpendapat, pada masa hadapan, terutama dengan semua gangguan ini dan semua keadaan tidak menentu ini, bahawa kami mempunyai suatu skim untuk membantu."
DISKRIMINASI DI TEMPAT KERJA
Berhubung diskriminasi di tempat kerja, yang sudah berada dalam agenda NTUC selama sekitar sedekad, Encik Tay berkata diskriminasi usia dan persaingan daripada PME asing kerap dibangkitkan apabila mereka bercakap kepada PME.
"Mujur, secara umumnya hanya ada sebilangan kecil majikan yang menyeleweng. Oleh itu, saya rasa satu perkara penting yang kami mahu lihat adalah untuk menangani sebilangan kes yang lebih teruk ini secara khusus. "
Beliau berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudahpun menubuhkan sebuah jawatankuasa perikatan tiga pihak untuk meneliti perkara itu dan mereka kini sedang mengumpul maklumat di lapangan.
Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng mengumumkan demikian di Parlimen pada 26 Julai lalu sebagai respons kepada usulan penangguhan yang difailkan oleh Encik Tay mengenai usaha memperkukuhkan teras rakyat Singapura di tempat kerja.
Encik Tay mencadangkan agar MOM menyemak semula rangka kerja undang-undang dan dasar serta memberikan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) lebih banyak pelibatan melalui undang-undang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.