Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC Foodfare perjelas dakwaan pengurusan Pusat Penjaja Old Airport

NTUC Foodfare hari ini (24 Okt) menjawab dakwaan-dakwaan online terhadap pengurusan Pusat Penjaja Old Airport Road (OAHC) menerusi satu catatan Facebook yang dikongsi secara meluas.

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC Foodfare perjelas dakwaan pengurusan Pusat Penjaja Old Airport

Pusat Penjaja Old Airport Road. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 24 Oct 2018 10:56PM Dikemas Kini : 24 Oct 2018 11:01PM

SINGAPURA: NTUC Foodfare hari ini (24 Okt) menjawab dakwaan-dakwaan online terhadap pengurusan Pusat Penjaja Old Airport Road (OAHC) menerusi satu catatan Facebook yang dikongsi secara meluas.

Encik Gary Ho, seorang pelanggan yang sering ke pusat penjaja berkenaan, memuat naik satu catatan Facebook pada Selasa (23 Okt) tentang pelbagai perubahan yang menjejas para penjaja.

Encik Ho menulis bahawa beliau diberitahu seorang penjaja tentang yuran pembersihan lebih tinggi, serta peraturan-peraturan baru yang dikenakan termasuk perlu memaklumkan pihak pengurusan sekiranya mereka ingin menutup kedai.

"Kontrak baru yang ditandatangani juga menetapkan mereka perlu membuka kedai bagi tempoh yang sangat panjang," tulis beliau.

"Para penjaja yang sudah lanjut usia membantah peraturan baru itu dan memilih untuk mengabaikannya. Mereka mengatakan bahawa mereka lebih rela bersara sekiranya dipaksa membuka kedai."

Pada petang tadi (24 Okt), NTUC Foodfare menjawab dakwaan-dakwaan itu, dan menyatakan bahawa kebanyakan gerai tidak perlu mengikut waktu operasi yang baru.

Ia menyatakan bahawa hanya dua penjaja baru perlu beroperasi mengikut tempoh masa minimum yang ditetapkan setiap hari.

Para penjaja yang lain pula bebas untuk menentukan waktu operasi masing-masing, termasuk jumlah hari kedai mereka ditutup. Namun, mereka perlu memaklumkannya kepada pihak pengurusan.

KONTRAKTOR PEMBERSIHAN "MENGHILANG"

NTUC Foodfare mengesahkan bahawa yuran pembersihan sememangnya meningkat kerana mereka terpaksa mencari pengganti selepas kontraktor pembersihan sebelumnya "menghilangkan diri".

Ia menyatakan bahawa mereka diberitahu Persatuan Penjaja tentang kontraktor tersebut sehari sebelum ia melantik ejen pengurusan OAHC pada 1 Julai tahun lalu.

Ia kemudian berjaya mendapatkan khidmat pembersihan daripada penyedia sementara pada kadar harga yang sama seperti kontraktor sebelumnya. Namun, penyedia itu menawarkan khidmatnya sehingga Disember tahun lalu.

Kos pembersihan naik tahun ini selepas kontraktor pembersihan baru dilantik menerusi proses tender.

NTUC Foodfare menyatakan bahawa para penjaja sudah dimaklumkan tentang yuran baru pada Disember tahun lalu.

Encik Ho juga menulis bahawa para penjaja memberitahunya bahawa mereka perlu menandatangi dokumen-dokumen sah dalam Bahasa Inggeris yang tidak diterjemahkan dan mengadu perlu membayar insurans wajib lebih S$100 setiap tahun.

Mengulas tentang perkara ini, NTUC Foodfare menjelaskan bahawa setiap penjaja akan diberikan senarai semakan yang disediakan dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin setiap kali mereka memulakan perniagaan.

Penjaja perlu menurunkan tandatangan sebagai tanda pengesahan memahami perjanjian, yang terdiri daripada beberapa syarat, termasuk pembelian perlindungan insurans.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan