NTUC FairPrice tingkatkan keupayaan online, kenakan semula yuran khidmat S$3.99
NTUC FairPrice akan meningkatkan keupayaan dalam talian sebanyak 30 peratus pada minggu-minggu mendatang dan akan mengenakan semula yuran khidmat bagi semua pesanan dalam talian.
SINGAPURA: NTUC FairPrice akan meningkatkan keupayaan dalam talian sebanyak 30 peratus pada minggu-minggu mendatang dan akan mengenakan semula yuran khidmat bagi semua pesanan dalam talian.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis (16 Apr), FairPrice mengumumkan yuran khidmat S$3.99 akan dikenakan ke atas semua pesanan online mulai jam 8.00 malam hari yang sama.
Pesanan online melonjak semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dengan orang ramai digesa supaya duduk rumah sebanyak mungkin untuk membantu membendung penularan virus korona itu.
Yuran khidmat itu pertama kali diperkenalkan pada awal Mac, menurut FairPrice, tetapi ia kemudian dikecualikan.
"Kami amalkan pendekatan penetapan harga yang telus - tidak ada kenaikan harga yang terselindung pada produk-produk itu sendiri kerana wadah online kami mengekalkan harga sama dengan kedai-kedai fizikal," kata Ketua Pegawai Eksekutif FairPrice Group Seah Kian Peng.
Menurut Encik Seah, yuran khidmat hanya meliputi sebahagian daripada jumlas kos keseluruhan untuk memproses, mengambil dan membungkus pesanan barang dapur online.
"Yuran kecil tetap S$3.99 ini adalah kadar subsidi memandangkan kos memproses produk runcit melibatkan pengurusan produk cepat rosak, pengangkutan untuk barangan pukal, tenaga kerja dan langkah-langkah keselamatan serta mutu makanan lebih ketat," menurut FairPrice.
Struktur yuran penghantaran berbilang peringkat juga akan diperkenalkan "supaya lebih fleksibel buat para pembeli untuk mempelbagaikan saiz bakul mereka dan memaksimumkan penjimatan bagi pembelian online mereka, lantas menjadikan barangan dapur online dimampui oleh lebih banyak keluarga," tambahnya.
FairPrice menyatakan dalam dua bulan lalu, pihaknya "melakukan banyak pelaburan" untuk meningkatkan prasarana runcit online dan menggajikan serta melatih kira-kira 150 anggota kakitangan untuk menjadi pengambil dan pembungkus yang berkemahiran.
Ini membawa kepada peningkatan 25 peratus ruang waktu diperuntukkan bagi penghantaran yang disediakan bagi para pelanggan online.
Pada minggu-minggu mendatang, FairPrice menyatakan ia akan terus menggajikan lebih banyak orang dan meningkatkan keupayaannya secara online sebanyak 30 peratus lagi, dengan menukar kedai fizikal FairPrice menjadi sebuah lagi pusat pemenuhan khusus bagi pesanan online, selain kegiatan lain.
Ketersediaan ruang waktu untuk penghantaran pesanan juga akan disemak semula kerana lonjakan kepada hampir tiga kali ganda trafik laman web FairPrice sepanjang dua bulan lalu.
Sebelum ini, ruang waktu bagi penghantaran cepat diisi sejurus ia dilepaskan, menyebabkan ramai pelanggan tidak berpeluang memesan barangan keperluan harian mereka, menurut FairPrice.
"Bagi membantu mengurangkan ini, ruang waktu penghantaran dilepaskan dalam tempoh sepanjang hari untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelanggan online untuk membuat pesanan mereka," tambahnya.
IKRAR DERMA S$500,000
FairPrice mengumumkan ikrar untuk menderma kepada lima pertubuhan memerlukan - Rumah Jagaan Warga Tua Lee Ah Mooi, Pertubuhan Kebajikan Metta, Assisi Hospice, Touch Community Services dan Food from the Heart.
Yayasan FairPrice akan memadankan yuran khidmat S$3.99 bagi semua pesanan online dan mendermakan sehingga S$500,000 kepada lima pertubuhan itu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.