NTUC FairPrice tawar potongan harga kepada keluarga bergaji rendah hingga hujung tahun ini
NTUC FairPrice akan menawarkan potongan harga kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah setiap Khamis mulai 15 Julai sehingga hujung tahun ini, menurut rangkaian pasar raya itu pada Isnin (12 Jul).

Pasar raya NTUC FairPrice (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: NTUC FairPrice akan menawarkan potongan harga kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah setiap Khamis mulai 15 Julai sehingga hujung tahun ini, menurut rangkaian pasar raya itu pada Isnin (12 Jul).
Diskaun 3 peratus itu ditawarkan kepada semua pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) berwarna biru di kesemua 149 cawangan pasar rayanya termasuk cawangan FairPrice Finest dan pasar raya FairPrice Xtra serta FairPrice on Wheels dan kesemua 84 farmasi Unity.
Untuk mendapatkan diskaun itu, para pembeli-belah mestilah menunjukkan kad CHAS berwarna biru mereka di kaunter juruwang atau menekan pilihan diskaun CHAS di kaunter layan diri.
Skim diskaun baru itu akan menelan belanja sekitar S$500,000, menurut syarikat runcit itu dalam kenyataan medianya.
FairPrice buat masa ini menawarkan skim potongan harga kepada Generasi Perintis, Generasi Merdeka dan warga emas pada hari-hari tertentu. Skim-skim itu menelan belanja lebih S$10 juta setiap tahun bagi pasar raya itu, dedah kenyataan tersebut.
CEO FairPrice Group Seah Kian Peng berkata skim diskaun CHAS Biru akan membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah mengharungi pandemik COVID-19.
"Ketidaktentuan yang berpanjangan disebabkan oleh COVID-19 menjejas keluarga-keluarga berpendapatan rendah dengan ketara," katanya. "Skim ini akan memberi penjimatan dan bantuan yang lebih banyak untuk menampung keperluan dapur mereka."
Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling mengalu-alukan skim baru itu.
"COVID-19 menjejas ramai rakyat Singapura. Sesetengah penduduk, termasuk keluarga berpendapatan rendah, terus terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik tersebut," katanya.
Cik Sun yang juga Menteri Negara Pendidikan berkata inisiatif masyarakat sedemikian akan melengkapi skim-skim nasional seperti Geran Pemulihan COVID-19 untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Saya berharap lebih banyak pertubuhan korporat dan masyarakat akan tampil untuk membantu rakyat Singapura yang memerlukan, supaya kita dapat bangkit lebih teguh daripada pandemik ini."
Menurut laman CHAS, kad berwarna biru diberikan kepada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan isi rumah bagi setiap orang sekitar S$1,200 atau lebih rendah daripada itu atau nilai rumah tahunan sebanyak S$13,000 atau kurang daripada itu bagi isi rumah tanpa sebarang pendapatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.