Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC FairPrice tambah lebih 700 produk halal sempena Ramadan; hulur sumbangan S$20,000 kepada Yayasan MENDAKI

NTUC FairPrice hari ini (22 Apr) mengumumkan peluasan rangkaian produk Halal di cawangan-cawangan pasar rayanya bagi memenuhi keperluan para pelanggan Muslim sempena Ramadan. Langkah ini akan menyaksikan peningkatan lebih 700 produk bersijil Halal daripada 5,000 produk Halal pada tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC FairPrice tambah lebih 700 produk halal sempena Ramadan; hulur sumbangan S$20,000 kepada Yayasan MENDAKI

Cawangan pasar raya NTUC FairPrice. (Gambar fail: FairPrice)

SINGAPURA: NTUC FairPrice hari ini (22 Apr) mengumumkan peluasan rangkaian produk Halal di cawangan-cawangan pasar rayanya bagi memenuhi keperluan para pelanggan Muslim sempena Ramadan. Langkah ini akan menyaksikan peningkatan lebih 700 produk bersijil Halal daripada 5,000 produk Halal pada tahun lalu.

Syarikat itu juga akan mendermakan S$20,000 kepada Yayasan MENDAKI bagi disalurkan kepada para pelajar kurang berkemampuan di bawah naungan pertubuhan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif FairPrice Group, Encik Seah Kian Peng, berkata: "Sedang keadaan semasa COVID-19 mengganggu cara kehidupan kita, usaha melestarikan dan memartabatkan budaya dan tradisi kita turut menjadi semakin penting bagi memastikan kita dapat terus berdiri teguh sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan budaya yang kukuh.

"Ramadan adalah bulan yang bermakna buat saudara Muslim kita dan kita memulakan detik penting ini dengan menyumbang kepada Yayasan MENDAKI di samping komitmen baru untuk terus memenuhi keperluan masyarakat Islam kita dengan lebih baik lagi," kata beliau.

SUMBANGKAN S$20,000 KEPADA DANA AMANAH PENDIDIKAN

Sumbangan derma oleh Yayasan FairPrice bernilai S$20,000 kepada Yayasan MENDAKI akan membantu menyokong keluarga berpendapatan rendah dalam masyarakat Islam setempat melalui pemberian dermasiswa, subsidi yuran sekolah serta inisiatif program akademik lain. Tahun lalu, Yayasan FairPrice juga menghulurkan derma sebanyak S$20,000 kepada pertubuhan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI Zuraidah Abdullah berkata: "NTUC FairPrice telah menjadi salah satu daripada
penyokong tegar kami yang memberi sumbangan besar kepada usaha kami memperkasakan masyarakat Melayu/Islam ke arah kejayaan melalui pendidikan. Sumbangannya sebanyak S$20,000 kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) memastikan setiap penerima ETF menerima bantuan yang diperlukan untuk mencapai
kecemerlangan akademik. MENDAKI dan masyarakat menghargai sumbangan murah hati itu terutamanya semasa tempoh yang mencabar ini."

Dengan peluasan terkini pada produknya, cawangan FairPrice kini menawarkan lebih 5,700 produk bersijil Halal untuk menyediakan para pelanggan Muslim dengan pilihan lebih pelbagai bagi keperluan barangan dapur mereka.

"Kami akan terus mengembangkan rangkaian untuk memberi khidmat lebih baik kepada pelanggan," kata Encik Seah.

Rangkaian produk yang baru diperluaskan itu akan menyaksikan pengenalan jenama-jenama baru seperti Good Virtues Co., Asyura dan Pondok Abang, antara lainnya.

Dalam kalangan rangkaian produk Halal tersebut, lebih 400 adalah produk jenama FairPrice. Sumber produk-produk Halal tersebut datang dari pelbagai negara termasuk Australia, Brazil, Indonesia, Itali, Malaysia, New Zealand, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

KURMA, MINUMAN PERCUMA BUAT PELANGGAN ISLAM

Di samping itu, dari 24 April hingga 23 Mei, NTUC FairPrice juga akan mengagihkan kurma serta minuman percuma kepada para pelanggan Islam untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Ini akan dilakukan setengah jam sebelum dan selepas waktu berbuka puasa di 58 cawangan FairPrice merata negara.

Inisiatif yang sudah dijalankan sejak 2009 itu diperluaskan lagi kepada 58 cawangan pasar raya NTUC FairPrice di seluruh negara berbanding hanya 40 cawangan pada tahun lalu.

Kurma akan dibungkuskan terlebih dahulu ke dalam beg-beg berasingan bagi pengambilan pelanggan, dengan dibantu oleh anggota kakitangan FairPrice yang akan memakai pelitup serta menguatkuasakan langkah jarak selamat serta kawalan kesesakan.

Para pelanggan juga diingatkan supaya mematuhi langkah-langkah terkini oleh Pemerintah untuk memastikan setiap orang dapat mengambil barangan mereka dengan selamat sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan ini.

Orang ramai akan menjalani pemeriksaan suhu badan yang diwajibkan di cawangan-cawangan kecuali bagi cawangan FairPrice yang terletak di dalam pusat beli-belah.

Pembeli-belah dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Selsius tidak akan dibenarkan untuk memasuki pasar raya itu dan dinasihatkan supaya berjumpa doktor.

Pelanggan juga perlu sentiasa memakai pelitup dan menjaga jarak selamat ketika beratur untuk membuat pembayaran.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan