NTUC FairPrice lanjutkan skim potongan harga Generasi Perintis, Merdeka setahun lagi
Rangkaian pasar raya NTUC FairPrice akan melanjutkan skim-skim potongan harga bagi anggota Generasi Perintis dan Merdeka untuk setahun lagi.
SINGAPURA: Rangkaian pasar raya NTUC FairPrice akan melanjutkan skim-skim potongan harga bagi anggota Generasi Perintis dan Merdeka untuk setahun lagi.
Skim-skim itu akan dilanjutkan hingga 31 Disember tahun depan dan dianggarkan menelan belanja lebih S$10 juta, umum FairPrice dalam satu kenyataan pada Isnin (28 Dis).
Di bawah skim tersebut, anggota Generasi Perintis yang dilahirkan pada 1949 atau lebih awal, menerima potongan harga 3 peratus bagi pembelian mereka pada hari-hari Isnin dan Rabu.
Ini adalah kali ketujuh FairPrice melanjutkan skim potongan harga Generasi Perintis, yang dilancarkan pada 2014.
Para anggota Generasi Merdeka pula, yang dilahirkan pada tahun-tahun 1950-an, menikmati potongan harga 3 peratus pada Rabu sebagai sebahagian daripada skim yang diperkenalkan tahun lalu.
Semua warga emas lain berusia 60 tahun ke atas menerima potongan harga 2 peratus pada Selasa.
Lanjutan skim-skim tersebut akan dilaksanakan dari 1 Jan hingga 31 Dis tahun depan.
Sejak ia diperkenalkan, skim potongan harga Generasi Perintis FairPrice mengagihkan diskaun lebih S$24 juta kepada warga emas dalam kumpulan itu.
Sepanjang tahun lalu, para anggota Generasi Perintis yang membeli-belah di kedai-kedai FairPrice menikmati penjimatan lebih S$4.5 juta manakala warga Generasi Merdeka menjimatkan lebih S$3.3 juta. Warga emas lain meraih penjimatan lebih S$2.2 juta.
Encik Seah Kian Peng, ketua pegawai eksekutif kumpulan FairPrice, berkata: "Dengan potongan harga yang dilanjutkan, berserta usaha kami dalam mengawal kos, kami berharap usaha-usaha ini akan terus membantu para pelanggan berjimat dalam tahun mendatang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.