NTUC FairPrice lanjutkan skim Diskaun Generasi Perintis lagi 6 bulan
NTUC FairPrice pada Khamis (27 Dis) mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan diskaun bagi para anggota Generasi Perintis (PG) untuk tempoh selama enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2019. Ini merupakan kali keempat syarikat itu melanjutkan skim tersebut.
Cawangan pasar raya NTUC FairPrice. (Gambar fail: FairPrice)
SINGAPURA: NTUC FairPrice pada Khamis (27 Dis) mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan diskaun bagi para anggota Generasi Perintis (PG) untuk tempoh selama enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2019. Ini merupakan kali keempat syarikat itu melanjutkan skim tersebut.
Skim yang membolehkan anggota PG menikmati diskaun tiga peratus apabila berbelanja di pasar raya Fairprice mula diperkenalkan pada 2014.
Menurut FairPrice, lanjutan kepada skim tersebut menelan belanja S$2 juta.
Sejak skim itu diperkenalkan, FairPrice sudah menawarkan diskaun bernilai lebih S$16 juta. Pada 2018, para anggota PG yang berbelanja di pasar raya berkenaan menikmati penjimatan S$4.45 juta.
"NTUC FairPrice adalah antara peruncit pertama yang memperjuangkan inisiatif nasional ini bagi mengiktiraf warga Singapura yang telah menyumbang kepada era pembangunan negara kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif Seah Kian Peng.
Lanjutan kepada skim diskaun itu membolehkan generasi perintis untuk "terus meraih penjimatan lebih besar untuk keperluan harian mereka," tambahnya.
Dalam pada itu, baris gilir keutamaan bagi warga PG akan dihentikan bermula 1 Januari depan selepas "memenuhi objektifnya", menurut kenyataan NTUC FairPrice.
Inisiatif yang menggalak pelanggan untuk memberi keutamaan kepada warga emas apabila membuat pembayaran diperkenalkan pada 2014.
"Kami menggalak orang ramai dan pembeli supaya terus bersikap bertimbang rasa dalam etika membeli-belah mereka menjangkaui baris beratur seumpama itu, sedang kami membina masyarakat yang baik budi dan mengambil peduli kebajikan orang lain," kata Encik Seah.
Tahun lalu, skim diskaun PG diperluaskan untuk merangkumi hari Khamis, selain setiap hari Isnin.
FairPrice juga menawarkan skim diskaun warga tua, yang memberikan potongan harga sebanyak 2 peratus bagi pembelian yang dibuat pada hari Selasa kepada semua pembeli-belah yang berusia 60 tahun ke atas.
Para anggota PG hanya perlu menunjukkan kad mereka di kaunter pembayaran di cawangan-cawangan FairPrice untuk menikmati diskaun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.