Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC Fairprice kerah 500 pekerja tambahan; pekerja SMRT korban hari cuti semasa Tahun Baharu Cina

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jan 2025 07:57PM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 12:29AM
SINGAPURA: Demi memastikan ia terus beroperasi dengan lancar semasa Tahun Baharu Cina ini, NTUC Fairprice mengerahkan tambahan 500 kakitangan di cawangan-cawangannya.

Pekerja pengangkutan turut mengorbankan cuti mereka bagi memastikan sistem pengangkutan terus berjalan lancar dan orang ramai dapat menikmati Tahun Baharu Cina mereka.

Buat pertama kalinya sejak 45 tahun bekerja di pasar raya FairPrice, ada kelainan dalam sambutan Tahun Baharu Cina bagi Cik Wee tahun ini.

Beliau akan meraikannya dengan cucu perempuannya yang baru berusia empat bulan.

Pun begitu, Cik Wee yang bertugas sebagai juruwang, terpaksa dipanggil bekerja untuk membantu operasi syarikat yang dilanjutkan.

Cik Wee berkata: "Pelanggan sibuk membuat persiapan untuk Tahun Baharu mereka. Jadi mereka beli banyak keperluan. Jadi kami juga membantu mereka. Saya rasa gembira juga bila saya bantu mereka."

Lebih 150 cawangan FairPrice terus dibuka pada hari pertama Tahun Baharu Cina, naik tujuh cawangan berbanding tahun lalu.

Daripadanya, 42 pasar raya dibuka 24 jam.

Lanjutan operasi itu bermakna sehingga 500 pekerja tambahan dikerahkan untuk membantu dengan pembungkusan dan jualan, khususnya di lokasi-lokasi sibuk.

Turut bekerja adalah pasukan pengurusan kanan.

Sebagai tanda penghargaan, kakitangan sepenuh masa diberi hadiah sehingga S$300 tahun ini.

SEMANGAT KEKELUARGAAN DI TEMPAT KERJA

Pengorbanan bekerja pada Tahun Baharu Cina turut dilakukan pengurus di stesen MRT Marine Parade ini, demi memastikan operasi pengangkutan berjalan licin.

Sedang ramai orang berehat dan menikmati tradisi makan malam bersama keluarga, beliau terus bekerja sehingga selepas tengah malam tadi (29 Jan).

Walaupun terpaksa menunda rancangan melawat sanak saudara, Encik Jason Phua berkata, semangat kekeluargaan di tempat kerja cukup menyejukkan hatinya.

Pengurus Stesen MRT Marine Parade itu berkata: "Kami sebenarnya meluangkan lebih banyak masa dengan rakan sekerja kami pada hari biasa. Jadi seronok juga untuk menyambut hari ini bersama mereka dan juga sesetengah rakan sekerja saya yang bukan dari kaum Cina turut membeli juadah Tahun Baharu Cina untuk dikongsi sama."

Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng turun padang menyertai acara SMRT yang memberi penghargaan kepada kakitangannya di kawasan Marine Parade.

Dengan tujuh lagi stesen baharu MRT dibuka di kawasan tersebut sejak Jun tahun lalu, lebih ramai kakitangan perlu dikerahkan untuk bekerja sepanjang musim perayaan.

"Mereka adalah wira senyap kami, yang memastikan semuanya beroperasi. Selain rangkaian pengangkutan, kami juga ada kakitangan kesihatan dan seluruh ekosistem rakyat Singapura yang bekerja keras menyokong orang ramai yang menikmati perayaan Tahun Baharu Cina dan berkumpul bersama," kata Dr Tan.

Beliau menambah, setiap tanda penghargaan tidak kira sekecil manapun, akan dihargai.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan