Skip to main content

Singapura

NTUC FairPrice beri amaran kepada 'pembeli degil'; jangan biarkan troli terbengkalai

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC FairPrice beri amaran kepada 'pembeli degil'; jangan biarkan troli terbengkalai

Dua deretan troli NTUC FairPrice di blok 182 Rivervale Crescent. (Gambar: Cindy Co)

Diterbitkan : 11 Feb 2022 11:26PM

SINGAPURA: Tiada aduan polis dibuat setakat ini tentang pembeli yang membiarkan troli pasar raya terbengkalai, menurut NTUC FairPrice pada Jumaat (11 Feb). 

Masalah ini ditimbulkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fairprice Seah Kian Peng dalam surat forum yang diterbitkan di akhbar The Straits Times pada 18 Jan, di mana beliau juga menekankan laporan polis akan dibuat dan "tindakan tegas" diambil terhadap pengguna yang degil. Beliau berkata demikian sebagai menjawab beberapa surat di forum berkenaan berhubung isu pengguna yang membiarkan troli pasar raya terbengkalai begitu sahaja. 

Meskipun pasar raya tersebut menyatakan ia belum lagi membuat sebarang aduan polis tahun ini, seorang jurucakap memberitahu CNA: "Kami berhak untuk berbuat demikian untuk menangani pembeli yang keras kepala dan masih hendak meninggalkan troli-troli itu terbengkalai, walaupun sudah dinasihatkan oleh kakitangan kami." 

Dalam suratnya pada 18 Januari itu,Encik Seah berkata syarikat tersebut menerima banyak saranan tentang cara unutk mengesan lokasi troli itu dengan lebih baik lagi. 

"Ramai juga mengesyorkan agar proses pendaftaran untuk menggunakan troli dapat diperketatkan," tambahnya. 

"Bagi kami, ini tidak akan menghuraikan masalah utama, iaitu kelakuan sosial yang tidak bertanggungjawab." 

Tambahnya, pelbagai langkah sudah pun diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan troli secara bertanggungjawab, termasuk sistem letak syiling, ruang kembalikan troli di lokasi-lokasi mudah diakses seperti tempat menunggu teksi, tempat menurunkan orang serta kempen-kempen kesedaran masyarakat awam. 

"Malangnya, langkah-langkah ini tidak berkesan, sebagaimana  yang kami harapkan," menurut Encik Seah. 

Satu lagi langkah yang diuji dan kemudian dihentikan adalah untuk mendapatkan pembeli untuk mendaftar sebelum menggunakan troli. Namun, langkah ini menyusahkan pengguna apabila hanya segelintir daripada mereka sahaja yang gagal memulangkan troli mereka, menurut Encik Seah lagi. 

"Kami memegang pada prinsip untuk tidak memperkenalkan langkah-langkah yang akan menyusahkan kebanyakan pembeli yang melakukan perkara betul." 

Tambah Encik Seah, FairPrice sudah menguji sistem perintis yang akan mengunci roda-roda troli secara automatik apabila troli itu melintasi "batasan yang dibenarkan". Namun, terdapat mereka yang memintas sistem tersebut dengan merosakkan sensor di troli berkenaan. 

Kelakuan "degil dan tidak bertanggungjawab" oleh gelintir pembeli ini memberi kerja tambahan yang tidak produktif bagi kakitangan pasar raya itu, selain menyukarkan  pembeli, terutama sekali semasa waktu-waktu sibuk di mana bekalan troli akan berkurangan, menurut Encik Seah. 

"Perbuatan sebegini tidak boleh diterima. Oleh itu, kami akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna yang degil ini untuk huraikan masalah tersebut ."

Namun, syarikat itu "menggalakkan" kebanyakan pembeli pasar raya itu untuk menjadi pengguna troli yang bertanggungjawab, katanya lagi. 

Pada Jumaat, FairPrice menyatakan troli membeli-belah itu disediakan sebagai khidmat "nilai tambahan" untuk keselesaan pelanggan. 

"Kami menyeru masyarakat awam untuk menggalakkan satu sama lain agar bersikap sivik, pupuk semangat kemasyarakatan yang bersatu padu, dan pulangkan troli pasar raya selepas digunakan," kata jurucakap tersebut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita