NTUC berjaya padankan 10,000 pekerja berisiko dengan pekerjaan baru
Sejak tiga hingga empat bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berjaya memadankan lebih 10,000 pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan, dengan pekerjaan baru.
SINGAPURA: Sejak tiga hingga empat bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berjaya memadankan lebih 10,000 pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan, dengan pekerjaan baru.
Mereka yang dibantu itu termasuklah pekerja biasa mahupun dari golongan Profesional, Pengurus dan Eksekutif (PME).
Demikian dedah Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng, di Parlimen pada Khamis (4 Jun).
Langkah tersebut tekan Encik Ng, berjaya memastikan golongan tersebut dapat terus menjana pendapatan di tengah-tengah cabaran ekonomi dek COVID-19.
Antara yang berjaya mendapat pekerjaan hasil pertolongan Majlis Jaminan Pekerjaan (JSC) NTUC itu ialah Encik Abdul Raihan Abdul Rahim, 29 tahun.
Beliau hilang pekerjaan tetap dua tahun lalu dan sejak itu sekadar bekerja sambilan sahaja kerana sukar mencari kerja sepenuh masa.
(Gambar: Yakin Distribution Pte Ltd)
Menerusi bantuan agensi e2i NTUC, beliau akhirnya menjalani percubaan kesesuaian bekerja di syarikat Yakin Distribution Pte Ltd, yang merupakan anggota kerabat JSC NTUC.
Pemadanan tersebut ternyata berhasil dan bapa tiga anak ini diambil bekerja di syarikat tersebut sejak tiga bulan lalu sebagai seorang ketua pasukan.
"Ramai beri nasihat untuk saya buka minda saya untuk terima apa-apa saja yang ditawarkan syarikat. Saya cuba sahaja, cuba tengok jika saya boleh sesuaikan diri atau tidak.
"Sejauh ini saya boleh sesuaikan diri untuk apa yang mereka berikan dan tawarkan untuk saya dalam syarikat ini," jelas Encik Raihan yang mula bekerja sejak berusia 15 tahun lagi.
Beliau yang cukup berpengalaman dalam bidang logistik antara lain terpaksa belajar berjinak-jinak dengan suatu bidang yang baru iaitu perkhidmatan pelanggan.
Walaupun ini pengalaman kalinya dalam bidang tersebut, beliau lakukan dengan fikiran yang terbuka.
"Pada saya ia macam seronok dan saya rasa hari-hari ada cabaran yang baru untuk berjumpa pelanggan, macam-macam kerenah pelanggan yang ada di luar sana," tambah Encik Raihan lagi.
LEBIH BANTUAN DIALU-ALUKAN UNTUK PEKERJA BERGAJI RENDAH
Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng bagaimanapun akur, cabaran yang bakal mendatang masih besar dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu golongan pekerja.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung NTUC, Zainal Sapari pula melahirkan kebimbangan mengenai ramai pekerja bergaji rendah tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membantu mereka mengharungi tempoh enam bulan mendatang jika mereka hilang pekerjaan.
Lantas, beliau menggesa Pemerintah agar lebih banyak bantuan diberi kepada golongan itu.
Berucap di Parlimen, Encik Zainal berkata: "Dalam usaha kita berubah kepada norma yang baru, amatlah penting kita juga prihatin tentang masalah yang dihadapi sekarang oleh para pekerja yang amat terjejas dari segi kewangan kerana krisis ini.
"Saya berharap sekiranya krisis ini berlarutan, Pemerintah dapat mempertimbangkan satu lagi pembayaran istimewa yang diberi satu kali, tetapi mungkin dengan jumlah lebih kecil bagi tempoh waktu yang lebih panjang."
NTUC berikrar untuk terus bekerjasama dengan rakan kerja tiga pihak bagi menyokong keperluan golongan pekerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.