Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC bakal bentuk pasukan bertindak bagi kenal pasti keperluan pekerja muda

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan membentuk sebuah pasukan bertindak yang memberi tumpuan kepada keperluan golongan pekerja muda, terutama mereka yang baru sahaja memasuki pasaran buruh.

Presiden NTUC Cik Mary Liew dan setiausaha agungnya, Encik Ng Chee Meng, berkata pasukan bertindak itu akan mendampingi golongan pekerja baru itu. Ia dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, kata NTUC kepada Mediacorp.

Dalam perutusan Hari Buruhnya, NTUC menerangkan selain usaha mewakili pekerja di tempat kerja, kesatuan itu juga harus "memberi tumpuan pada keperluan tenaga kerja masa depan kita - belia kita".

NTUC juga bertekad untuk "memperbaharui dan memperkukuhkan" jalinannya dengan kumpulan pekerja tersebut.

Dalam sidang media pada Rabu (27 Apr), Encik Ng berkata pasukan bertindak itu menyasarkan untuk mendampingi 10,000 pekerja muda.

Ia akan memanfaatkan hasil kajian penyelidikan yang dijalankan NTUC pada 2021 bersama Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), yang meninjau 1,039 golongan muda berhubung keprihatinan mereka di tempat kerja, tambah beliau.

Dalam amanat mereka itu juga, Cik Liew dan Encik Ng akur kesan pandemik COVID-19 ke atas beberapa kumpulan pekerja termasuk individu yang bekerja sendiri dan pekerja bergaji rendah.

Menurut mereka, bagi kumpulan yang bekerja sendiri, "keperluan unik dan kepentingan kumpulan pekerja ini memerlukan perhatian khusus".

"Kami akan terus usahakan syarat dan terma bekerja yang lebih baik serta meningkatkan perlindungan perubatan buat mereka."

Meskipun kadar pengambilan pekerja wanita dalam tenaga kerja meningkat saban tahun, Cik Liew dan Encik Ng menarik perhatian bahawa ramai wanita berhenti bekerja disebabkan pelbagai sebab.

Dalam hal ini, Cik Liew dan Encik Ng berkata NTUC akan terus mendampingi lebih banyak syarikat untuk mereka semula peranan kerja serta mendakap amalan seperti aturan kerja fleksibel.

Bagi pekerja bergaji rendah pula, mereka menekankan kepentingan memastikan pertumbuhan gaji kumpulan pekerja itu seiring dengan pertumbuhan gaji median demi memastikan mereka dapat terus menampung kos hidup di Singapura.

"Kami akan terus berusaha bagi model gaji progresif diperluaskan meliputi lebih banyak sektor dan pekerjaan," tambah mereka.

Cik Liew dan Encik Ng juga berkata mereka tidak akan "berhenti berusaha" dalam memastikan pekerja yang lebih berumur dapat mempelajari kemahiran baru dan menggalas pekerjaan baru dalam ekonomi digital serta mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara.

Sumber : Today/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan