Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC, anggota kerabat seru lebih banyak sokongan kewangan, perubatan untuk pekerja penghantaran

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan ahli gabungannya pada Selasa (15 Nov) menyeru bagi lebih banyak perlindungan buat pekerja penghantaran dari segi kecukupan kewangan jangka panjang serta perlindungan perubatan dan kecederaan.

Dalam kenyataan media bersama, NTUC, Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA), Persatuan Kenderaan sewa privet (NPHVA) dan Persatuan bagi Menyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) juga membangkitkan isu perwakilan yang lebih baik untuk pekerja berkenaan.

"Pekerja penghantaran mendapati sukar untuk merancang keperluan jangka panjang kerana pendapatan mereka sederhana. Ia juga sukar untuk menentukan bayaran yang akan dikenakan bagi perkhidmatan mereka kerana ia bergantung kepada pengendali platform. Ini menjadikan mereka pihak yang hanya menerima sahaja harga pasaran, menurut pertubuhan itu.

Kajian oleh Institut Kajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan awal bulan ini menunjukkan bahawa kurang empat peratus pekerja penghantaran makanan mendapat lebih daripada S$5,000 sebulan, dengan sejumlah besar - iaitu 33.9 peratus - memperoleh antara S$1,000 dengan S$1,999.

SUMBANGAN WAJIB CPF

Pengendali platform juga tidak diwajibkan membuat sumbangan ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk pekerja penghantaran kerana mereka tidak dianggap sebagai pekerja.

Bulan lalu, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa (PSP) bertanya kepada Menteri Tenaga Manusia, Tan See Leng mengenai kemas kini kajian untuk mewajibkan sumbangan CPF untuk pekerja penghantaran.

Dalam jawapan bertulis, Dr Tan berkata lebih separuh pekerja yang memberikan respons kepada perundingan awam merasakan bahawa sumbangan wajib CPF sangat penting buat keperluan perumahan dan persaraan.

Namun ada segelintir yang menyuarakan keprihatinan mengenai kesannya terhadap pendapatan mereka.

Pada Selasa (15 Nov), NTUC dan ahli gabungannya juga menarik perhatian bahawa pekerja penghantaran mendapati sukar untuk membuat pencaruman CPF kerana mereka harus melakukannya sendiri.

"Dengan itu, segelintir pekerja penghantaran tidak ada simpanan yang mencukupi dalam CPF mereka," menurut pertubuhan itu.

NTUC menambah bahawa ia sangat penting untuk kedua-dua pekerja penghantaran dan pengendali membuat pencaruman CPF supaya pekerja boleh menyimpan kewangan yang mencukupi untuk keperluan jangka panjang.
Pertubuhan itu juga menyeru "sokongan jangka panjang" bagi pendapatan pekerja penghantaran yang berpendapatan rendah untuk menambah pendapatan mereka dan meningkatkan kewangan yang mencukupi buat jangka panjang.

PERLINDUNGAN PERUBATAN ‘TIDAK MENCUKUPI, TIDAK SAMA RATA’

Perkara kedua yang dibangkitkan oleh NTUC dan persatuan lain melibatkan perlindungan perubatan dan kecederaan untuk pekerja penghantaran.

Menurut laporan IPS, pekerja penghantaran yang meraih pendapatan tinggi lebih cenderung untuk terlibat dalam kemalangan yang memerlukan rawatan perubatan.

Tinjauan ke atas 302 pekerja penghantaran yang dijalankan oleh NDCA awal tahun ini menunjukkan bahawa daripada 21 peratus yang membuat tuntutan insurans, 36 peratus mendapati perlindungan itu tidak mencukupi.

PERWAKILAN LEBIH BAIK DIPERLUKAN

Pertubuhan itu juga menyatakan ia penting untuk pekerja penghantaran diwakili. Ini supaya kebimbangan utama mereka disuarakan dan dirundingkan.

Cik Yeo Wan Ling, penasihat NTA, NPHVA dan NDCA, berkata Jawatankuasa Penasihat mengenai Pekerja penghantaran mengadakan "perbincangan dari hati ke hati" dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai isu tersebut.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan