Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTUC akan bentuk persatuan gesa gaji, hak asasi dan kebajikan lebih baik buat pekerja platform

Anggaran Waktu Membaca:
NTUC akan bentuk persatuan gesa gaji, hak asasi dan kebajikan lebih baik buat pekerja platform

(Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 29 Aug 2024 06:24PM Dikemas Kini : 29 Aug 2024 09:01PM
SINGAPURA: Pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantaran makanan tidak lama lagi boleh menyertai persatuan yang mempunyai kuasa untuk mewakili mereka secara sah dan bertindak bagi pihak mereka.

NTUC menyatakan apabila Rang Undang-undang Pekerja Platform diluluskan nanti, ia akan membentuk persatuan-persatuan baharu yang memperjuangkan hak asasi dan kebajikan pekerja platform.

Pekerja platform lazimnya tidak mempunyai majikan dan ini menyulitkan mereka untuk membangkitkan sebarang masalah ataupun tawar-menawar dengan pihak pemilik atau pengendali platform.

"Selama ini, kami kerja dan kami dilayani (secara) tidak adil. Kami cuma boleh... tidak boleh buat apa-apa," ujar Anggota Exco, Persatuan Pejuang Pekerja Penghantaran Kebangsaan (NDCA), Mohammad Shaffiee Abdullah.

Nasib mereka bagaimanapun dijangka lebih terbela dengan adanya tiga persatuan yang mewakili pemandu teksi dan kereta sewa privet mahupun pekerja penghantaran makanan.

Ia mewakili sekitar separuh daripada jumlah pekerja platform atau kira-kira 35,000 pekerja.

Pun begitu, ia tiada hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan atau berunding bagi pihak pekerja.

Keadaan akan lebih cerah di bawah rang undang-undang baharu nanti, yang membenarkan pembentukan kumpulan yang bertindak ibarat kesatuan sekerja bagi pekerja platform.

"Kami adalah persatuan yang mewakili individu-individu ini dan oleh kerana ini adalah sesuatu yang kita tubuhkan mengikut undang-undang, anda pengendali platform, perlu berlibat urus dengan kami," jelas Ketua Pekerjaan Singapura, Simmons & Simmons Clarence Ding.

"Anda perlu bercakap kepada kami dan anda perlu menangani keprihatinan yang kami ada. Jika tidak, ada bantuan tertentu yang boleh kami dapatkan di bawah undang-undang."

Encik Ding menambah, persatuan seumpama itu akan memberi lebih banyak ketelusan kepada pekerja platform.

NTUC berharap ia akan menarik sekurang-kurangnya 60 peratus pekerja platform untuk menyertai persatuan-persatuannya.

Pengendali platform juga menjangkakan lebih ramai pekerja sambilan dan mereka yang menganggur untuk berdaftar dengannya.

"Jadi apabila kami menubuhkan persatuan-persatuan ini, matlamat utamanya adalah, seperti biasa dalam NTUC, kami mahu mewujudkan keadaan yang saling menguntungkan dengan rakan kongsi majikan kami," jelas Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng.

"Dalam hal ini, syarikat-syarikat platform yang beroperasi di Singapura agar ia boleh menjalankan perniagaan yang baik di Singapura, menyediakan khidmat-khidmat penting untuk pengguna dan para pekerja kami menerima layanan saksama," ujarnya lagi.

Langkah-langkah lain di bawah rang undang-undang tersebut akan memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja platform dilindungi.

Mereka juga boleh menuntut pampasan bagi kecederaan yang dialami ketika bertugas.

Gaji bagi pekerja platform akan naik sehingga 17 peratus menerusi caruman daripada pengendali platform ke Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Ini akan dilancarkan secara berperingkat mulai tahun depan.
Sumber : CNA/FZ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan