Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTU, Volvo lancar bas elektrik tanpa pemandu 'pertama di dunia'

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Volvo Buses melancarkan sebuah bas elektrik tanpa pemandu berukuran sepanjang 12 meter hari ini (5 Mac), yang menurutnya adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2019 11:01AM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 09:59PM

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Volvo Buses melancarkan sebuah bas elektrik tanpa pemandu berukuran sepanjang 12 meter hari ini (5 Mac), yang menurutnya adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Pelancaran itu adalah sebahagian daripada program pembangunan kedua-dua pihak, di bawah kerjasama antara NTU dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menghasilkan dan menjalankan ujian perintis menggunakan bas tanpa pemandu bagi laluan tetap dan khidmat yang dijadualkan.

Bas Volvo 7900 Electric satu tingkat itu berupaya membawa sekitar 80 penumpang dan dilengkapi dengan 36 tempat duduk. Ia merupakan sebuah kenderaan yang tidak mengeluarkan karbon dan memerlukan kurang 80 peratus tenaga berbanding sebuah bas diesel yang sama saiznya, menurut kenyataan media tersebut.

Bas berkenaan juga dipasang dengan pelbagai alat sensor dan kawalan pengemudian yang dikendalikan oleh sistem kecerdasan buatan (AI).

"Selain memastikan keselamatan dan keutuhan maksimum, sistem AI itu juga dilindungi dengan langkah-langkah keselamatan siber utama bagi mencegah pencerobohan siber yang tidak diingini," menurut kenyataan media itu lagi.

Bas berkenaan akan mula menjalani ujian perintis di pekarangan kampus universiti tersebut sebelum diperluaskan ke jalan-jalan raya lain.

Sebuah lagi bas pula akan menjalani ujian di sebuah depot bas yang dikendalikan oleh SMRT pada April, di mana keupayaannya untuk memandu ke arah tempat mencuci kenderaan dan berhenti dengan selamat di tempat-tempat mengecas juga akan diuji.

Menurut kenyataan media itu, pengendali pengangkutan juga akan memainkan "peranan penting" dalam menentukan kesesuaian penggunaan kenderaan tanpa pemandu di jalan-jalan raya awam.

Ini merupakan bas elektrik dan tanpa pemandu yang pertama oleh Volvo, yang digunakan sebagai pengangkutan awam.

"Kami amat bangga untuk mempamerkan bas elektrik kami yang menampilkan teknologi tanpa pemandu," kata Presiden Volvo Buses, Håkan Agnevall.

"Ia mencerminkan satu detik penting bagi industri ini serta satu langkah penting bagi wawasan kami untuk mewujudkan sebuah bandar yang lebih bersih, selamat dan bijak."

Bas elektrik ini akan "memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan pengangkutan awam," kata Presiden NTU, Profesor Subra Suresh.

"Projek penyelidikan itu bukan setakat melibatkan sains dan teknologi canggih serta AI, malah ia juga satu contoh baik yang menunjukkan kerjasama antara bidang akademik, pihak industri dan agensi-agensi Pemerintah dalam mengubah hasil kajian menjadi produk dan khidmat yang dapat memanfaatkan Singapura dan negara-negara lain," katanya.

NTU menjadi tapak ujian bagi teknologi kenderaan tanpa pemandu sejak beberapa tahun lalu.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan