Skip to main content

Singapura

NTU tawar lebih banyak penginapan di kampus; beri jaminan kepada siswa Tahun 1 & 2

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Jumaat (2 Jul) menyatakan ia sudahpun membuka lebih banyak tempat bagi penginapan di kampus. 

Anggaran Waktu Membaca:
NTU tawar lebih banyak penginapan di kampus; beri jaminan kepada siswa Tahun 1 & 2

Gambar fail Dewan Banyan NTU. (Gambar: NTU)

Diterbitkan : 02 Jul 2021 07:03PM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 07:05PM

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Jumaat (2 Jul) menyatakan ia sudahpun membuka lebih banyak tempat bagi penginapan di kampus. Ini dilakukan sehari selepas menghantar emel yang menolak permohonan mahasiswa untuk mendapatkan tempat tinggal dengan menyatakan bahawa penghunian asrama akan dikurangkan akibat keadaan COVID-19.

Pengumuman lebih awal pada Khamis itu - juga memaklumkan pemohon yang sedang menetap di kampus untuk mengosongkan bilik mereka selewat-lewatnya pada 15 Julai - menyebabkan para mahasiswa tempatan dan antarabangsa terkial-kial mencari tempat tinggal alternatif.

Satu petisyen di Change.org yang menggesa NTU supaya menimbangkan semula keputusannya itu menerima lebih 5,500 tandatangan setakat jam 5.00 petang Jumaat.

Dalam kemas kini pada petang Jumaat, universiti itu menyatakan ia sudahpun "menyemak semula dengan teliti" kapasiti asrama.

"Kami sudah membuka lebih banyak tempat asrama dan menghubungi para pemohon baru yang berjaya hari ini," menurut NTU dalam kenyataannya.

"Semua pemohon yang akan memasuki Tahun 1 dan 2 pada tahun akademik seterusnya akan mendapat tempat di asrama selaras dengan panduan penginapan asrama yang menjaminkan tempoh penginapan selama dua tahun," kata seorang jurucakap NTU.

"Mahasiswa antarabanga yang buat masa ini adalah penghuni asrama juga akan terus mengekalkan tempat mereka, pada dasar luar biasa, tidak kira mata asrama mereka, di tengah-tengah cabaran untuk mendapatkan penginapan alternatif di luar kampus disebabkan oleh COVID-19," tambah jurucakap itu.

Selain itu, penghuni asrama yang aktif yang memperolehi mata penuh bagi penyertaan asrama juga akan diberi tempat, menurut kenyataan tersebut.

Dalam emel penolakan yang dikirimkan pada awal Khamis kepada para mahasiswa yang memohon penginapan asrama, universiti itu menyatakan terdapat had pada jumlah mahasiswa yang tinggal di asrama "yang dikenakan oleh pihak berkuasa" disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Jumlah bilik berkurangan disebabkan oleh keperluan untuk memperuntukkan jumlah tertentu bagi tujuan pengasingan COVID-19 dan perkara-perkara berkaitan yang lain, jelas NTU.

Peruntukan asrama NTU bergantung kepada sistem mata dan mata minimum yang diperlukan ditentukan oleh permintaan serta bekalan.

Jumlah mata maksimum yang boleh diperolehi seseorang mahasiswa adalah sembilan mata. Jika mahasiswa mengumpul lebih banyak mata, mereka mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapatkan sebuah bilik di kampus.

NTU menyaksikan "permintaan tinggi yang luar biasa" bagi bilik asrama untuk tahun akademik akan datang, menurut universiti itu dalam kenyataannya pada Jumaat.

"Pada tahun-tahun sebelumnya, kami juga tidak dapat memenuhi semua pemohon bagi bilik asrama apabila permintaan lebih tinggi daripada yang dijangkakan," tambah jurucakap itu.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, mana-mana kekosongan baru yang timbul daripada mereka yang mengubah fikiran tentang menetap di kampus akan ditawarkan kepada pemohon yang tidak berjaya melalui pengundian di kemudian hari.

"Kami sedang memantau keadaan COVID-19 dan akan terus menyemak kapasti asrama bagi membenarkan lebih ramai mahasiswa untuk tinggal di kampus, jika boleh. Pemohon akan dimaklumkan secara berperingkat jika bilik asrama diperuntukkan buat mereka." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita