Skip to main content

Singapura

NTU kekalkan markah '0' terhadap mahasiswi pada mulanya dituduh guna AI

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengekalkan markah sifar yang diberikan kepada mahasiswi yang dituduh menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif dalam tugasannya.

Anggaran Waktu Membaca:
NTU kekalkan markah '0' terhadap mahasiswi pada mulanya dituduh guna AI

Gambar fail seorang pelajar berjalan di depan sebuah papan tanda di Universiti Teknologi Nanyang. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengekalkan markah sifar yang diberikan kepada mahasiswi yang dituduh menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif dalam tugasannya.

Kes itu terbongkar selepas mahasiswi itu memuat naik catatan di Reddit pada 19 Jun tentang dia dihukum kerana menggunakan AI dalam esei akhir untuk modulnya kerana dia membuat ralat petikan dan menggunakan penganjur sebagai rujukan.

Selepas itu, NTU menubuhkan sebuah panel dengan pakar AI untuk menilai rayuannya. Mahasiswi itu adalah salah seorang daripada tiga mahasiswa yang dihukum kerana menggunakan teknologi tersebut.

NTU menyatakan pada Jumaat (18 Jul) bahawa panel tersebut mengenal pasti 14 contoh petikan atau data palsu dalam esei yang diserahkannya, dengan menyatakan bahawa sumber yang tidak wujud telah dipetik dan ia bukan "sekadar kesilapan".

"Panel menetapkan bahawa memetik sumber yang tidak wujud adalah satu bentuk salah laku akademik yang serius kerana petikan sumber yang tepat adalah asas penyelidikan dan penulisan akademik. Petikan palsu seperti ini selalunya disebabkan oleh ketidaktepatan fakta yang dihasilkan oleh AI Generatif," kata NTU dalam kenyataannya.

Semua kes salah laku akademik didokumentasikan dalam rekod dalaman mahasiswa, dedah universiti itu.

"Keputusan panel rayuan adalah muktamad. Kami menggesa semua orang supaya menghormati integriti proses rayuan dan mengelak daripada membuat serangan peribadi terhadap mana-mana individu yang terlibat."

KESILAPAN

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai keputusan rayuannya, mahasiswi itu, yang enggan identitinya didedahkan, berkata pihak universiti mengesahkan kepadanya bahawa dia diberi markah sifar atas kesilapan dalam eseinya, dan bukannya kerana menggunakan AI.

"Keseluruhan perbincangan mereka dengan saya semasa mesyuarat adalah tentang bagaimana saya boleh mengelak daripada membuat kesilapan esei pada masa hadapan, tidak menyentuh tentang penggunaan AI sama sekali," katanya kepada Mediacorp.

Menurut mahasiswi itu, markah sifar dikekalkan disebabkan oleh piawai profesor terhadap penulisannya. Walaupun dia diyakinkan bahawa tidak akan ada rekod kekal, dia masih merasakan keadaan itu tidak adil.

"Saya hanya kecewa kerana tiada AI ditemui dan sebaliknya beralih kepada standard penulisan saya," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita