Skip to main content

Singapura

NTU akan tubuh panel dengan pakar AI pertimbang rayuan pelajar didakwa lakukan penipuan akademik

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) akan menubuhkan panel semakan rayuan, melibatkan pakar kecerdasan buatan (AI) menyusuli dakwaan bahawa seorang pelajar melakukan penipuan akademik dengan menggunakan alat AI generatif.

Anggaran Waktu Membaca:
NTU akan tubuh panel dengan pakar AI pertimbang rayuan pelajar didakwa lakukan penipuan akademik

Logo Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 27 Jun 2025 12:36AM Dikemas Kini : 27 Jun 2025 01:14PM
SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) akan menubuhkan panel semakan rayuan, melibatkan pakar kecerdasan buatan (AI) menyusuli dakwaan bahawa seorang pelajar melakukan penipuan akademik dengan menggunakan alat AI generatif.

Seorang jurucakap universiti berkata pada Khamis (26 Jun) bahawa pihak sekolah sudah berjumpa secara bersemuka dengan dua daripada tiga pelajar yang dituduh melakukan salah laku akademik pada minggu ini. Tujuan pertemuan itu adalah untuk menilai asas bagi rayuan itu, namun keputusan belum dibuat.

Rayuan seorang pelajar diproses selepas sesi tersebut, manakala rayuan seorang lagi pelajar ditolak, kata jurucakap berkenaan.

Pelajar yang pertama itu memuat naik satu catatan di Reddit pada Khamis lalu, yang mengongsikan pengalamannya dituduh menyalahgunakan AI generatif oleh pensyarahnya, Penolong Profesor Sabrina Luk.

Selepas menyerahkan esei bagi satu modul berkaitan kesihatan, wabak penyakit dan politik di Sekolah Sains Kemasyarakatan pada bulan April, beliau menerima emel daripada Penolong Profesor Luk yang mempersoalkan sama ada beliau menggunakan alat AI bagi tugasan itu.

Sebagai memberi respons, pelajar itu menyediakan satu video selang masa (time-lapse) yang menunjukkan proses penulisannya, yang dirakam menggunakan sambungan Google Chrome Draftback, bagi membuktikan bahawa esei yang diserahkan ditulis olehnya.

Namun begitu, disebabkan beliau menyusun rujukan mengikut abjad menggunakan Study Crumb, iaitu sebuah laman penulisan esei yang dikuasakan AI, beliau dimaklumkan bahawa beliau sudah melakukan penipuan akademik.

Pelajar tersebut kemudian diberikan markah sifar bagi tugasan itu, yang membentuk 45 peratus daripada markah keseluruhan modul tersebut, dan menerima gred “D”.

“PERBICARAAN YANG ADIL”

Apabila pelajar itu menerima grednya pada awal bulan Jun, beliau membayar S$40 untuk memfailkan rayuan rasmi.

Pihak sekolah mengatur satu sesi pertemuan dengan sebuah panel yang terdiri daripada anggota fakulti, yang difahamkan Mediacorp merangkumi seorang pengerusi akademik, ketua programnya dan seorang timbalan provos.

Semasa sesi bersemuka yang berlangsung selama dua jam, pelajar tersebut diberi peluang untuk menunjukkan proses penulisannya dan bagaimana alat penyusun abjad itu berfungsi.

Beliau juga diuji tentang pemahamannya terhadap pelbagai sumber akademik dan ditanya bagaimana beliau mendapatkan sumber tersebut.

Pelajar itu mendakwa, panel tersebut bersetuju bahawa alat penyusun abjad yang digunakannya tidak dikategorikan sebagai AI generatif. Pelajar itu turut mendakwa bahawa mereka juga meyakinkannya bahawa walaupun kesalahan akademik itu direkodkan secara dalaman, ia tidak akan dipaparkan dalam rekod akademik kekalnya.

“Saya bersyukur kerana perbicaraan ini adil dan kali ini memang ada panel yang sewajarnya,” katanya kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa pensyarahnya sebelum ini tidak memberi ruang untuk berbincang dan berkata “tiada rundingan” akan dijalakan.

Langkah seterusnya ialah untuk menunggu keputusan rayuan – yang menurutnya merupakan jalan terakhir selepas mencuba segalanya.

KEPUTUSAN BERBEZA

Dua lagi pelajar dari kelas yang sama turut dituduh melakukan penipuan akademik dan diberikan markah sifar bagi tugasan mereka.

Salah seorang daripada mereka menggunakan alat penjana rujukan Citation Machine dan ChatGPT untuk menyusun rujukan.

Disebabkan terdapat kesilapan dalam bibliografi, tugasan tersebut dikenal pasti sebagai berkemungkinan dijana AI.

Apabila Penolong Profesor Luk bertanya sama ada beliau menggunakan alat AI, pelajar itu mengakui bahawa beliau menggunakan ChatGPT untuk penyelidikan latar belakang secara “minimum”.

Dalam transkrip ChatGPT yang dilihat oleh Mediacorp, pelajar tersebut meminta bantuan untuk projek penyelidikan berhubung tindak balas terhadap COVID-19.

Dalam satu daripada lima arahan yang diberikan, beliau meminta statistik berkaitan jumlah kes COVID-19.

Pelajar itu berkata bahawa beliau tidak menggunakan angka tersebut dalam eseinya.

“Saya mengaku tanggungjawab atas kesilapan dan kecuaian yang berlaku,” katanya kepada Mediacorp. “Tetapi hukuman yang dikenakan langsung tidak setimpal.”

Apabila beliau gagal untuk menghubungi pegawai integriti akademik sekolah, beliau menghabiskan dua bulan berikutnya untuk mendapatkan peluang bagi membincangkan kesnya.

Pada Rabu, pelajar itu bertemu dengan dua anggota fakulti, termasuk seorang timbalan pengerusi daripada Sekolah Sains Kemasyarakatan.

Namun, hasil pertemuan itu “sangat berbeza” daripada pelajar pertama, katanya.

Beliau berkata panel berkenaan menyalahkannya kerana menggunakan ChatGPT walaupun sudah ada penjelasan “jelas” bahawa alat AI tidak dibenarkan, dan hukuman terhadapnya kekal.

“Saya langsung tidak guna (ChatGPT) untuk menulis apa-apa, walau satu ayat pun dalam esei saya,” katanya.

“Mereka menghukum saya hanya kerana saya gunakannya untuk penyelidikan … kalau itu satu kesalahan, bagaimana pula dengan pelajar lain?”

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap universiti berkata bahawa pihak sekolah menolak rayuan pelajar itu kerana beliau “mengaku menggunakan AI generatif untuk esei tersebut dan telah menjelaskan bagaimana ia digunakan” pada sesi awal bersama pensyarahnya pada April.

Jurucakap itu menambah bahawa sesetengah pensyarah mungkin melarang penggunaan AI generatif atas “sebab-sebab pedagogi tertentu”.

“Dalam kes ini, pensyarah melarang penggunaan AI bagi satu tugasan bertulis tertentu untuk menilai kemahiran penyelidikan pelajar, serta keaslian dan pemikiran bebas mereka.”

Dalam satu fail pembentangan yang digunakan untuk taklimat tugasan tersebut, yang dilihat oleh Mediacorp, para siswa dari kelas tersebut dimaklumkan bahawa penggunaan ChatGPT dan alat AI tidak dibenarkan dalam “pembangunan atau penjanaan” cadangan esei dan esei panjang mereka.

“Anda akan menerima markah sifar bagi tugasan tersebut jika didapati menggunakan ChatGPT atau alat AI lain untuk menulis tugasan,” menurut pembentangan tersebut.

Pelajar itu mendakwa bahawa selain daripada pembentangan tersebut, tiada penjelasan lanjut diberikan.

Beliau menganggap bahawa walaupun AI tidak boleh digunakan untuk menjana kandungan esei, ia boleh digunakan untuk penyelidikan latar belakang dan menyusun rujukan.

“Sekarang, ia bukan lagi soal gred saya,” katanya. “Isu ini sudah menjadi lebih besar dalam soal keadilan, dan hakikat bahawa anda tidak boleh menghukum sesuatu yang tidak anda dijelaskan.”

Pelajar ketiga, juga dalam tahun akhirnya, turut dituduh melakukan penipuan akademik kerana didakwa menggunakan rujukan palsu dan tidak tepat.

Beliau menjelaskan bahawa beliau hanya menggunakan alat AI untuk meringkaskan maklumat bagi penyelidikan latar belakang dan memformatkan rujukan dalam gaya APA.

Penolong Profesor Luk kemudian memberitahunya bahawa beliau akan dikenakan potongan 10 markah.

Namun, beberapa hari kemudian, pelajar itu menerima emel daripada pegawai integriti akademik sekolah yang menyatakan bahawa keputusan itu sudah dibatalkan dan beliau akan menerima markah sifar untuk tugasan tersebut.

Apabila beliau menulis bagi mendapatkan penjelasan lanjut, pegawai tersebut membalas beberapa jam kemudian dan berkata bahawa keputusan itu dibuat mengikut dasar universiti untuk “memelihara integriti akademik dan keadilan”.

Pegawai itu turut merujuknya kepada pengurus kebajikan pelajar untuk mendapatkan sokongan, berdasarkan pertukaran emel yang dilihat oleh Mediacorp.

Pelajar tersebut berkata beliau tidak meneruskan perkara itu kerana sudah memperoleh pekerjaan dan keutamaannya adalah untuk lulus.

Beliau akhirnya mendapat gred “D” bagi modul berkenaan.

Namun, beliau bimbang jika majikannya pada masa hadapan melihat rekod akademiknya.

“Ia memusnahkan segala integriti dan reputasi yang kita ada … kerana sesuatu yang kami tidak lakukan,” katanya.

Mediacorp sudah menghubungi anggota panel berhubung dakwaan pelajar-pelajar tersebut.

Jurucakap NTU memberitahu Mediacorp bahawa banyak sekolah di bawah universiti itu, dalam pelbagai bidang, menggunakan AI sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

Secara umum, pelajar dibenarkan menggunakan AI generatif dalam tugasan mereka.

Mereka berkata pelajar diminta untuk mengisytiharkan sebarang penggunaan AI dan “bertanggungjawab sepenuhnya” terhadap kandungan yang dijana.

Pelajar juga perlu memastikan ketepatan fakta dan menyatakan sumber dengan betul.

“NTU kekal komited terhadap matlamat kami untuk membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan teknologi AI secara produktif, beretika dan kritikal,” menurutnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita