NTC mahu tarik lebih ramai Penterjemah Kita yang peka tentang konteks setempat

(Gambar: MCI)
SINGAPURA: Terdapat banyak istilah bahasa yang unik kepada Singapura yang hanya boleh ditafsirkan penterjemah tempatan.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan Kementerian Perhubungan & Penerangan merangkap Pembangunan Negara, Tan Kiat How dalam sidang media pada Rabu (27 Mac).
Sesi itu diadakan menjelang ulang tahun Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) yang ke-10.
Menurut Encik Tan, seseorang penterjemah bukan sekadar mentafsir teks yang ingin diterjemahkan tetapi harus juga peka tentang konteks dan budaya tempatan.
Selain itu, penterjemahan juga boleh dijadikan landasan untuk menyatukan masyarakat untuk memahami budaya dan sejarah lain.
Sempena ulang tahunnya ke-10, NTC telah melakarkan tiga bidang utama untuk sepuluh tahun akan datang iaitu membangunkan bakat penterjemah, penggunaan teknologi dan menarik lebih ramai penterjemah masyarakat.
Encik Tan berkata, lebih banyak lagi akan dilakukan untuk menambah bilangan Penterjemah Kita (Citizen Translators).

"Berhubung pelaburan dalam bakat, kami ada Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) di mana kami melabur bakat serta memberi biasiswa untuk membiayai pengajian mereka," kata Encik Tan yang juga Pengerusi NTC.
NTC juga akan terus melabur dalam teknologi untuk membantu para penterjemah meningkatkan mutu penterjemahan serta produktiviti mereka.
"Bagaimana kami menggunakan teknologi perlu lebih terkait dengan pekerjaan kami. Kami akan terus melabur dan membantu penterjemah kami, baik profesional mahupun mereka yang berminat untuk terjemahan.
"Memberi mereka akses kepada teknologi dan menggunakannya dalam usaha penterjemahan mereka untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti mereka," kata Encik Tan.
TREND GUNAKAN APLIKASI TERJEMAHAN
Anggota NTC, Cik Nur-El-Hudaa Jaffar akur tentang trend penggunaan aplikasi terjemahan seperti yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Apa yang saya dapati sekarang ialah saya menerima lebih banyak tugas untuk menyemak terjemahan dan saya dapati terjemahan yang saya rasa diterjemahkan melalui menggunakan aplikasi terjemahan kecerdasan buatan (AI). Yang saya perasan juga, teks yang saya terima untuk disemak itu cenderung kepada nuansa bahasa Indonesia, kata Cik Nur.

"Satu perkembangan yang saya lihat menggalakkan bagi bidang penterjemahan, khususnya penterjemahan sastera, apa yang kita lihat sekarang adalah bagaimana terjemahan sastera ditonjolkan melalui aktiviti penganugerahan. Contohnya Golden Point Awards, mereka memasukkan satu kategori baharu iaitu terjemahan," kongsi Cik Nur.
GALAS TANGGUNGJAWAB LESTARI BAHASA IBUNDA
Dalam tempoh tiga tahun, Projek Penterjemah Kita sudah menarik sekitar 2,000 peserta yang mendaftar secara sukarela.
Cik Nuriana Yahya, 37 tahun, dalam kalangan 300 peserta Melayu.
"Saya terdorong untuk menjadi Penterjemah Kita secara sukarela kerana sebagai anak Melayu saya harus melestarikan Bahasa Melayu. Kedua, saya ingin menabur bakti kepada masyarakat tentang ilmu dan kepakaran saya dalam bidang penterjemahan. Saya rasa ia adalah satu wadah komunikasi jadi kalau kita tidak menggunakan secara harian, kita akan berasa canggung dan kekok untuk berbual dengan sesiapa sahaja," kongsi Cik Nuriana.

"Ada komputer, ada internet, semuanya boleh dilakukan di rumah. Kadang-kadang selepas melakukan tugasan harian, saya akan melakukan tugasan penterjemahan secara sukarela pada waktu malam. Jadi saya rasa ia amat fleksibel," kata Cik Nuriana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.