NSP bersedia urus majlis bandaran jika dipilih, kata naib presiden Mohd Ridzwan
Parti Perpaduan Nasional (NSP) bersedia menguruskan sebuah majlis bandaran sekiranya mereka dipilih, kata naib presiden parti itu, Mohd Ridzwan pada Jumaat (3 Jul).
Naib presiden NSP Mohd Ridzwan (Gambar: Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Parti Perpaduan Nasional (NSP) bersedia menguruskan sebuah majlis bandaran sekiranya mereka dipilih, kata naib presiden parti itu, Mohd Ridzwan pada Jumaat (3 Jul).
"Saya akan mengatakan ya, kami sudah bersedia kerana kami juga mempunyai latar belakang kemahiran yang berbeza," kata Encik Ridzwan, yang bertanding di GRC Tampines.
"Saya sendiri telah melakukan pelbagai projek dan ... saya juga pemegang jawatan utama dalam jawatankuasa penduduk."
NSP, bagaimanapun, menghadapi cabaran dalam mendekati penduduk, kata Encik Ridzwan, sambil menambah bahawa penduduk tidak tahu tentang komitmen dan minat mendalam mereka, dan parti itu tidak memiliki rekod pencapaian yang ketara.
"Ya, kami bersuara, kami telah memberikan idea dalam satu platform dan saya sangat yakin Pemerintah menerapkannya," katanya kepada para wartawan di sebuah kedai kopi di Tampines sebelum melakukan lawatan bertemu penduduk.
"Perkara yang sama, bila kami mengemukakan manifesto kami, orang ramai akan membacanya. Tetapi sekali lagi, jika parti pemerintah menggunakannya dan mengubahnya sedikit, mereka boleh mengaku itu milik mereka. "
Encik Ridzwan kemudian menjelaskan bahawa beliau bermaksud Parti Tindakan Rakyat (PAP) menggunakan "versi yang diperbaiki" daripada cadangan NSP.
Ketika ditanya apakah dasar-dasar yang dimaksudkan, Encik Ridzwan berkata NSP sebelum ini telah membangkitkan masalah ibu bapa tunggal, ibu tunggal serta menjadikan prasekolah sebagai isu nasional.
Bercakap mengenai peluang NSP setelah Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berpindah dari GRC Tampines untuk bertanding di GRC East Coast, Encik Ridzwan berkata beliau mahu penduduk membandingkan mereka sebagai parti dan bukannya NSP berbanding Timbalan Perdana Menteri.
Membandingkan anggota PAP dengan setiausaha agung NSP Spencer Ng dan dirinya sendiri, Encik Ridzwan berkata: “Sebagai parti, saya akan katakan bahawa kami menawarkan calon lebih baik kepada penduduk. Satu sahaja perkara yang kami tidak ada adalah rekod pencapaian yang boleh dilihat."
Encik Ridzwan disertai oleh calon NSP di Tampines, Encik Choong Hon Heng, Encik Vincent Ng dan Encik Eugene Yeo. Seorang lagi anggota pasukan, Encik Reno Fong, tidak hadir.
Menjawab soalan tentang bagaimana NSP akan membiayai dasar-dasarnya, Encik Ridzwan berkata ia adalah "mekanisme serupa" dengan bagaimana PAP membiaya dasar-dasar mereka.
"Dari mana datangnya wang - kepada PAP. Maka ia sebenarnya mekanisme yang serupa," katanya.
“Kami sentiasa mahu mengkaji bagaimana cara sebaiknya untuk tidak membebankan penduduk atau warga negara. Ada cara lain, ada jalan lain. Sekiranya anda mempunyai pelaburan yang sangat baik, begitulah cara mereka memperoleh pendapatan yang baik," tambahnya.
"Sekiranya kami dapat memanfaatkan mereka yang pakar dalam pengurusan harta - kami mungkin bukan pakar, tetapi berada di tempat di mana kami boleh menggabungkan semua idea ini, saya rasa ini sangat membantu."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.