NSmen polis dipenjara, didenda kerana hayun e-skuter ke arah pegawai LTA, cuba elak ditangkap
Apabila seorang pegawai penguatkuasaan dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menangkap David Chan Wei Peng menunggang skuter elektriknya secara haram di laluan pejalan kaki, lelaki itu menghayunkan alat itu ke arah pegawai tersebut lalu melarikan diri.

Gambar fail
SINGAPURA: Apabila seorang pegawai penguatkuasaan dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menangkap David Chan Wei Peng menunggang skuter elektriknya secara haram di laluan pejalan kaki, lelaki itu menghayunkan alat itu ke arah pegawai tersebut lalu melarikan diri.
Pada ketika itu, anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) itu sedang dalam perjalanan untuk menjalankan tugas di Balai Polis Kejiranan Yishun North.
Chan, 24 tahun, yang bekerja sebagai seorang mekanik, dihukum penjara tujuh hari dan didenda S$1,400 pada Jumaat (28 Jan) atas tindakannya pada 4 Mac tahun lalu. Dia akan mula menjalani hukuman pada 7 Februari.
Rakyat Singapura itu mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai awam dan dua tuduhan di bawah Akta Mobiliti Aktif 2017. Dua lagi tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Chan sedang menunggang alat mobiliti peribadi (PMD), yang tidak mempunyai sijil piawaian UL2272, di laluan pejalan kaki di Gambas Avenue di Sembawang pada sekitar 8.30 pagi. Alat PMD dilarang digunakan di laluan pejalan kaki mulai 3 April 2020.
Sementara itu, tiga pegawai penguatkuasaan LTA sedang menaiki sebuah van tidak bertanda semasa menjalankan tugas. Apabila mereka melihat Chan menaiki PMD di Gambas Avenue, mereka menghentikan kenderaan itu di tepi jalan raya.
Encik Yeo Ying Xuan, yang berpakaian preman kemudian menghampiri Chan lalu mengeluarkan pas LTAnya sebelum memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai penguatkuasaan dan meminta Chan supaya berhenti.
Namun Chan serta-merta membuat pusingan U di hadapan Encik Yeo dan cuba melarikan diri.
Encik Yeo berjaya menarik beg galas yang dipakai Chan. Namun, Chan mula bergelut menyebabkan Encik mengalami luka pada lengannya.
Rakan sekerja Encik Yeo kemudian turun dari van untuk membantu menangkap Chan, yang kemudian menghayunkan e-skuternya ke arah Encik Yeo.
Atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai awam, Chan boleh dihukum penjara sehingga empat tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang sabit kesalahan menggunakan PMD tanpa piawaian UL2272 boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang gagal berhenti menunggang PMD apabila diarahkan berbuat demikian oleh pegawai atau warden berseragam di laluan pejalan kaki boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.