Skip to main content

Singapura

NSL Oilchem Logistics didenda S$17,000; buang sisa ke dalam pembetung awam

Sebuah syarikat pengurusan sisa toksik perindustrian didenda S$17,000 kerana membuang sisa ke dalam pembetung awam secara haram dan mengubah suai alat pemantau yang digunakan untuk mengesan perbuatan sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
NSL Oilchem Logistics didenda S$17,000; buang sisa ke dalam pembetung awam

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 09:34AM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 09:36AM

SINGAPURA: Sebuah syarikat pengurusan sisa toksik perindustrian didenda S$17,000 kerana membuang sisa ke dalam pembetung awam secara haram dan mengubah suai alat pemantau yang digunakan untuk mengesan perbuatan sedemikian.

Syarikat itu, NSL Oilchem Logistics, adalah pesalah berulang dan pernah disabit kesalahannya pada 2018 atas perbuatan serupa dan didenda S$12,200, menurut agensi air negara PUB pada Rabu (24 Nov).

Syarikat itu melakukan kesalahan tersebut sebanyak dua kali pada tahun lalu - iaitu pada 24 September dan 26 Oktober. Ia berdepan tiga tuduhan atas kesalahan-kesalahan itu dan didapati bersalah pada 12 Oktober 2021, menurut PUB dalam kenyataan medianya.

Antara Ogos dengan Oktober tahun lalu, rejim pensampelan PUB beberapa kali mengesan kandungan tinggi bahan terkawal seperti logam berat dan oksigen kimia pada sebelah malam di pembetung-pembetung awam di sekitar Tuas.

Oksigen kimia adalah jumlah oksigen terlarut yang perlu ada dalam air untuk mengoksidakan bahan organik kimia. Ia lazimnya digunakan untuk menganggarkan kesan efluen sisa air atau pelepasan paras oksigen sedemikian dalam saluran air, pembetung atau laut.

Menurut PUB, bacaan luar biasa itu dikaitkan dengan premis NSL Oilchem di Tuas Avenue 12.

Semasa menjalankan pemeriksaan rutin pada 24 September tahun lalu apabila sampel sisa berkenaan dikumpul, NSL Oilchem didapati melepaskan sisa tidak patuh peraturan yang mengandungi logam berat melebihi kadar yang dibenarkan dalam pembetung awam.

Satu pemeriksaan mengejut pada sebelah malam oleh para pegawai PUB pada bulan seterusnya membongkar perbuatan seorang kakitangan NSL Oilchem membuang sisa secara haram.

Kali ini, syarikat itu juga didapati mengubah suai alat pemantau dan tiub-tiub sampel yang diletakkan di ruang pemeriksaan bagi mengelakkan daripada dikesan oleh PUB.

Pengarah rangkaian pemulihan air PUB, Encik Maurice Neo berkata mutu air terpakai dalam pembetung dikawal dengan teliti menerusi sensor dan pensampelan yang dijalankan secara kerap.

PUB mengamalkan prinsip yang tidak bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan membuang sisa secara haram atau sebarang perbuatan mengubah suai alat pemantau dengan sengaja.

"Perbuatan sedemikian mengganggu proses rawatan sisa dan turut mengancam kesihatan dan keselamatan para pekerja kita," kata Encik Neo.

Disebabkan ia berulang kali melakukan kesalahan dan mengubah suai alat pemantau, PUB menarik balik kelulusan yang diberikan kepada NSL Oilchem untuk membuang sisa perindustrian ke dalam pembetung pada 26 Oktober tahun lalu. Kelulusan itu hanya diberikan semula pada 17 Ogos lalu setelah syarikat itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh PUB.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana membuang sisa perindustrian yang tidak mematuhi peraturan boleh didenda sehingga S$15,000 atau dihukum penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita