NSF SCDF maut selepas tidak sedarkan diri semasa lawan api di flat Henderson Road

(Gambar: SCDF/Facebook)
SINGAPURA: Seorang anggota bomba perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) meninggal dunia pada Khamis (8 Dis) selepas tidak sedarkan diri ketika memadamkan kebakaran di sebuah flat di Henderson Road.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan mengenai kebakaran di 91 Henderson Road pada kira-kira 11.10 pagi.
Setibanya di tempat itu, api sedang marak di dalam sebuah unit di tingkat empat flat HDB tersebut dan koridor flat juga dipenuhi asap tebal.
Anggota bomba SCDF yang memakai alat pernafasan memasuki flat tersebut dengan membawa dua pancutan air untuk memadamkan kebakaran.
Menurut SCDF, beberapa ketika semasa operasi memadamkan kebakaran itu, anggota NS tersebut pengsan di kawasan dapur unit berkenaan. Beliau segera dibawa keluar dari unit tersebut dan diberikan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Kakitangan ambulans SCDF di tempat kejadian turut menggunakan alat defibrilator luaran automatik ke atasnya sebelum membawa pegawai itu ke Hospital Besar Singapura.
Beliau disahkan meninggal dunia di hospital, kata SCDF.
"SCDF dan rakan sepasukannya sangat sedih dengan kematiannya, dan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.
"Anggota bomba NSF adalah sebahagian daripada kakitangan tindak balas pertama untuk kejadian kebakaran ini, dan dengan beraninya menjalankan tugas untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa dan harta benda," kata SCDF.
SCDF menambah bahawa ia menyediakan bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa dalam masa sukar ini dan siasatan sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.