Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NSF polis maut akibat luka tembakan hilang S$10,000 dalam penipuan kerja: Mahkamah Koroner

Anggaran Waktu Membaca:
NSF polis maut akibat luka tembakan hilang S$10,000 dalam penipuan kerja: Mahkamah Koroner

Komand Operasi Khas (SOC). (Tangkap layar: Google Street View)

SINGAPURA: Seorang anggota polis perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) yang meninggal dunia akibat luka tembakan pada kepala di Komand Operasi Khas (SOC), kehilangan sekitar S$10,000 dalam penipuan pekerjaan, mahkamah koroner dimaklumkan pada Rabu (1 Feb).

Encik Finnegan Tan Yao Jie meluahkan fikirannya untuk bunuh diri kepada keluarganya dan seorang rakan sebaya, dan para penyelianya pernah mempertimbangkan untuk melarang Encik Tan daripada membawa senjata api untuk tempoh tertentu.

Encik Tan ditemui mati pada usia 21 tahun di sebuah tandas di SOC, dengan pistol revolver yang diambil dari tempat simpanan senjata polis pada 30 Ogos 2021.

Siasatan ke atas kematian Encik Tan dimulakan pada Rabu dengan keterangan diberikan oleh seorang pegawai penyiasat yang membentangkan hasil siasatannya.

Encik Tan ditemui di dalam tandas pada pagi 30 Ogos 2021. Saksi-saksi mendengar tembakan itu, dan tiada orang lain ditemui di dalam tandas berkenaan apabila Encik Tan dipercayai menembak pada kepalanya.

Apabila mayatnya ditemui, para pegawai di tempat kejadian menjerit meminta bantuan dan anggota paramedik terlatih cuba untuk merawat Encik Tan tetapi degupan jantung tidak dapat dikesan.

Beliau disahkan mati oleh pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

CATATAN INSTAGRAM

Menurut pegawai penyiasat tersebut, Encik Tan memuat naik catatan privet di Instagram sebelum kejadian tersebut. Beliau mengatakan beliau akan meninggal dunia.

Beliau berkata beliau mahu membunuh diri atas pelbagai sebab. Antara lain, beliau kerugian wang milik bapanya dalam satu penipuan. Beliau juga menyuarakan kebencian terhadap seorang rakan sekolah menengah.

Encik Tan membuat laporan polis dengan mengatakan beliau ialah mangsa penipuan kerja e-dagang. Beliau berkata beliau kehilangan lebih S$10,200, termasuk S$7,000 yang dipinjamkan oleh bapanya.

Koroner kemudian bertanya sama ada terdapat sebarang petunjuk tentang hasrat membunuh diri dalam perbualan antara Encik Tan dengan warisnya.

Pegawai penyiasat tersebut berkata ada dua individu yang mungkin maklum tentang niatnya itu - saudara perempuan Encik Tan dan sepupu Encik Tan.

Saudara perempuan Encik Tan berkata beliau menjadi penuh emosi semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Feb 2021.

Secara tiba-tiba, Encik Tan menanyakannya apa yang beliau akan lakukan sekiranya beliau hilang atau mati. Beliau tidak memberikan perincian lanjut dan saudara perempuannya tidak bertanya lebih lanjut, kata pegawai tersebut.

Semasa perjumpaan Tahun Baru Cina pada tahun itu, Encik Tan menjadi "kecewa berhubung hal-hal remeh-temeh", tambah pegawai tersebut.

Beliau pergi ke bumbung bersama sepupunya dan berkongsi bahawa beliau pernah berniat untuk membunuh diri sekitar enam bulan sebelumnya.

Encik Tan kemudian berkata beliau ingin mengambil nyawa sendiri. Memandangkan ia "hanya suatu perbualan", sepupu tersebut tidak memandang serius luahan Encik Tan itu.

Setelah kerugian wang akibat penipuan, Encik Tan bercakap dengan bapanya tentang kemungkinan berjumpa dengan ahli psikiatrik, mahkamah dimaklumkan.

"Beliau sangat kecewa dengan dirinya kerana melakukan kesilapan ini, dan beliau mencadangkan kepada (bapanya) untuk melihat sama ada beliau patut berjumpa dengan ahli psikiatrik, tetapi tidak diendahkan," kata pegawai tersebut.

Siasatan forensik dijalankan ke atas komputer riba Encik Tan selepas kematiannya. Rekod sejarah Internetnya mendedahkan bahawa dalam tempoh beberapa bulan sebelum insiden tersebut, beliau melakukan pencarian tentang membunuh diri, menembak menggunakan sarung tangan dan bagaimana untuk menulis wasiat.

PENYELIA TAN PERTIMBANG LARANGAN BAWA SENJATA API

Para penyelia Encik Tan dalam pasukan polis mempertimbangkan larangan membawa senjata api selama tempoh tertentu setelah mereka dimaklumkan tentang penipuan tersebut.

Namun kes tersebut tidak dikategorikan sebagai "tanggungan berat kewangan", melibatkan seseorang berhutang dan tidak mampu melangsaikannya.

Pegawai penyiasat memberitahu mahkamah bahawa penyelia Encik Tan sudah "melakukan usul periksa wajar" dan bercakap dengannya untuk menilai keadaannya.

Rakan setugas Encik Tan juga terdengar beliau menjerit di dalam tandas di SOC pada pertengahan 2021. Beliau berkata beliau hampir membunuh diri pada hari sebelumnya.

Rakan Encik Tan tidak mengetahui punca di sebalik luahan perasaan marah itu dan tidak bertanya Encik Tan tentangnya. Namun insiden itu dilaporkan kepada penyelia Encik Tan.

Pada ketika itu, Encik Tan dijadualkan meninggalkan tempat kerja untuk menghadiri kursus selama beberapa minggu. Sepanjang tempoh itu, Encik Tan tidak akan membawa senjata. Selepas kursus tersebut, beliau akan dipindahkan ke trup baru.

Apabila penyelianya dimaklumkan tentang insiden menjerit itu, beliau menyampaikannya kepada penyelia trup yang baru itu.

Menurut pegawai penyiasat, penyelia itu juga bercakap dengtan Encik Tan, yang memberitahu bahawa beliau tidak ada kecenderungan membunuh diri dan beliau sekadar ingin melepaskan rasa marah.

Penyelia tersebut dilatih menyediakan sokongan psikologi dan membuat penilaian sewajarnya. Beliau memperhatikan Encik Tan dan tidak mendapati beliau menanam hasrat untuk membunuh diri dan tidak kelihatan murung.

Penyelia itu juga meminta anggota-anggota trup lain untuk menjaga Encik Tan.

Beliau masih menilai Encik Tan dan sedang mempertimbangkan sama ada untuk melarangnya daripada membawa senjata api apabila insiden itu berlaku.

Koroner Negara Adam Nakhoda meminta pegawai penyiasat mengemukakan dokumen lanjut, termasuk dokumen-dokumen untuk menjelaskan catatan Instagram tersebut dan sama ada terdapat perubahan prosedur operasi standard menyusuli insiden berkenaan.

Hasil dapatan Koroner akan disampaikan pada suatu tarikh kelak.

BAGAIMANA UNTUK MINTA BANTUAN:

Hotline Samaritans of Singapore: 1767

Talian bantuan Institut Kesihatan Mental (IMH): 6389 2222

Talian bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Jika anda kenal seseorang yang amat berisiko membunuh diri, hubungi talian bantuan 24 jam perkhidmatan kecemasan perubatan.
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan